Sabtu, 14 April 2012

Harian Metro: Setempat

Harian Metro: Setempat


Sorok pisau di pinggang

Posted: 13 Apr 2012 11:24 AM PDT

PUCHONG: Kebimbangan pekerja dan pemilik kedai serbaneka 24 jam di sekitar Bandar Kinrara, di sini, terhadap ancaman premis mereka disamun selepas beberapa siri kes berkenaan dilaporkan sejak Februari lalu berakhir apabila tertangkapnya enam lelaki termasuk dua masih di bawah umur, minggu lalu.

Ketua Polis Daerah Serdang, Superintendan Abdul Razak Elias berkata, sejak dua bulan lalu lima kedai serbaneka kerugian lebih RM20,000 selepas disamun enam lelaki berusia lingkungan 17 hingga 20-an itu yang melarikan pelbagai barangan jualan serta wang tunai.


Menurutnya, kumpulan terbabit melakukan jenayah itu pada awal pagi ketika premis berkenaan tiada pelanggan dan mereka yang memakai topi keledar menutup muka mengancam mangsa menggunakan pisau pemotong daging.

"Suspek yang memakai topi keledar masuk ke kedai dan berpura-pura membeli barang manakala rakan subahat lain akan menunggu di luar.


"Mereka mengeluarkan pisau yang disembunyikan di pinggang mereka dan mengacukan senjata itu ke arah juruwang di kaunter serta mengarahkan mangsa menyerahkan wang dan pelbagai barangan jualan lain," katanya, semalam.


Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas melawat premis perniagaan di IOI Boulevard, di sini, bagi mengedar risalah kempen keselamatan dan cegah jenayah sempena program Jiran Niaga Prihatin yang menggalakkan kerjasama antara peniaga melaporkan polis kegiatan mencurigakan di premis masing-masing.

Abdul Razak berkata, hasil risikan polis berjaya menahan seorang anggota kumpulan samun itu berhampiran sebuah restoran makanan segera di bandar berkenaan sebelum suspek terbabit mendedahkan identiti lima lagi anggota lain.


"Seorang daripada mereka ditahan pada 6 April lalu dan ini membawa kepada penahanan tiga lagi lelaki pada hari yang sama manakala dua lagi ditahan pada keesokan hari dengan bantuan polis Sungai Besi.

"Ujian air kencing kesemua suspek didapati mereka negatif dadah, malah masing-masing turut tiada rekod jenayah lampau," katanya.


Katanya, kumpulan samun terbabit dipercayai cuba berjinak-jinak dalam kegiatan jenayah berkenaan sebagai mata pencarian utama dan menyamun kedai serbaneka bagi mendapatkan keuntungan mudah berikutan masing-masing menganggur.


"Semua suspek direman sehingga 14 hari dan akan didakwa di Mahkamah Majistret Petaling Jaya pada Isnin ini mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan kerana melakukan samun berkumpulan dan menggunakan senjata berbahaya," katanya.




Terima 6 jahitan tegur jiran bising

Posted: 13 Apr 2012 11:21 AM PDT

KUALA LUMPUR: Amukan dua beradik menyebabkan seorang pelajar lelaki berusia 21 tahun menerima enam jahitan di kepala selepas ditetak dengan parang dalam kejadian berhampiran rumahnya di Batu Muda, Jinjang, di sini, kelmarin.

Difahamkan, dua lelaki berusia 20-an itu menyerang mangsa kerana tidak berpuas hati dengan pelajar terbabit yang menegur mereka supaya tidak membuat bising di kawasan perumahan itu.


Semuanya bermula jam 9 malam apabila seorang daripada suspek iaitu si adik yang terserempak dengan mangsa mengajaknya berbincang di kawasan tangga di flat berkenaan.

Menurut sumber, mangsa yang tidak curiga dengan pelawaan itu bersetuju, tapi sebaik saja menghampiri kawasan tangga flat itu, si abang terus memukul mangsa sebelum dibantu adiknya itu.


"Seorang daripada suspek mengeluarkan parang lalu menetak kepala mangsa. Akibat tetakan itu, mangsa cedera di kepala dan rebah serta disepak dua suspek terbabit," katanya. Sumber berkata, penduduk lain yang menyaksikan kejadian itu cuba menenangkan dua beradik itu, malangnya mereka turut diserang kedua-dua suspek.


"Bagaimanapun penduduk di kawasan terbabit tidak mengalami kecederaan kerana sempat melarikan diri," katanya.

Mangsa dibawa ke hospital berhampiran kawasan berkenaan dan menerima enam jahitan di kepala.


Sehubungan itu, mangsa membuat laporan di Balai Polis Jinjang, di sini, selepas keadaannya dilaporkan stabil.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Zakaria Pagan ketika dihubungi, mengesahkan menerima laporan kejadian itu dan siasatan lanjut sedang dilakukan.




Tiada ulasan:

Catat Ulasan