Selasa, 17 April 2012

Harian Metro: Setempat

Harian Metro: Setempat


Penyamun kereta mewah tumpas

Posted: 16 Apr 2012 02:38 PM PDT

KUALA LUMPUR: Selepas sejam mengejar, polis melepaskan enam tembakan dengan dua daripadanya mengenai tayar depan kereta dinaiki empat lelaki di Jalan Gurney di sini, sebelum menahan tiga daripada mereka yang disyaki melarikan kereta Toyota Camry milik seorang lelaki di Kepong, di sini, beberapa jam sebelum itu, kelmarin.

Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Abdul Rahim Abdullah berkata, sebelum kejadian, empat suspek berkenaan yang berusia antara 28 hingga 35 tahun, menyamun sebuah Toyota Camry di Taman Ehsan, Kepong, kira-kira jam 6.30 petang.


"Ketika kejadian, mangsa yang berada berdekatan keretanya didatangi empat lelaki bersenjatakan parang dan memintanya menyerahkan kunci kereta.

"Mangsa yang ketakutan menyerahkan kunci berkenaan kepada mereka yang datang dengan dua kereta Proton Wira sebelum empat lelaki itu melarikan diri bersama kereta mangsa yang turut mengandungi wang tunai RM1,000, buku cek dan invois ke arah Persiaran Gurney," katanya.


Pada jam 8 malam, kereta mangsa dikesan di tempat letak kereta sebuah kondominium Lanai Gurney di Persiaran Gurney dan pasukan Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gombak yang tiba di tempat kejadian pada jam 9.15 malam, mendapati empat lelaki berada dalam Toyota Camry berkenaan yang sudah menggunakan nombor pendaftaran palsu, mahu keluar dari kawasan kondominium berkenaan.


Menurut Abdul Rahim, apabila polis memberi arahan supaya berhenti dan keluar dari kereta, mereka memecut kenderaan berkenaan menyebabkan polis mengejar kereta itu selama sejam dan apabila tiba di satu selekoh di Jalan Gurney Satu, polis melepaskan enam das tembakan ke arah kereta suspek dengan dua mengenai tayar hadapan, dua mengenai bonet belakang dan dua das lagi mengenai pintu sebelah penumpang.

Beliau berkata, empat lelaki terbabit keluar dari kereta dan cuba melarikan diri sebelum dikejar dan berlaku pergelutan menyebabkan tiga daripadanya ditahan tetapi seorang berjaya melarikan diri.


Menurutnya, suspek yang berusia 35 tahun didapati mempunyai 10 rekod jenayah, rakannya yang berusia 30 tahun ada tujuh rekod manakala seorang lagi yang berusia 28 tahun, mempunyai dua rekod jenayah.

Difahamkan, polis turut berjaya merampas dua lagi kenderaan curi beberapa jam selepas itu iaitu di Taman Intan Baiduri, Kepong dan di Pangsapuri San Peng, Cheras.




Mekanik paut bonet 15 meter

Posted: 16 Apr 2012 01:33 PM PDT

SUBANG JAYA: Seorang mekanik seperti berlakon aksi lagak ngeri apabila dia dilanggar sebuah kereta dan berpaut pada bonet kereta berkenaan sejauh 15 meter sebelum tercampak atas jalan raya di hadapan sebuah pusat beli-belah di USJ 1, di sini.

Dalam kejadian Jumaat lalu, lelaki berusia 25 tahun itu dilanggar kereta Toyota Vios dinaiki dua lelaki ketika cuba berbincang dengan mereka berikutan berlaku kemalangan kecil antara mereka lima minit sebelum itu.


Menurut sumber, dalam kejadian jam 8.15 malam itu, mangsa yang memandu Proton Tiara seorang diri di Persiaran Kewajipan menghala Bandar Sunway dipintas kereta suspek dan melanggar bahagian kanan kenderaannya.

"Tidak puas hati dengan kejadian itu, mangsa mengejar dan memintas kereta terbabit sebelum mengarahkan pemandunya memberhentikan kenderaan 10 meter dari tempat kemalangan berkenaan.


"Suspek memberhentikan kenderaan, namun mereka tidak turun sebaliknya menurunkan cermin tingkap kereta," katanya.


Menurut sumber, sebaik mangsa bertanya mengenai perbuatannya tadi, suspek menaikkan cermin tingkap dan menekan pedal minyak lalu melanggar mangsa yang ketika itu berada di hadapan keretanya menyebabkan lelaki terbabit tercampak atas bonet serta terpaksa berpaut padanya.

"Selepas 15 meter dari tempat kejadian, suspek menekan brek menyebabkan mangsa tercampak sejauh lima meter ke atas jalan raya manakala pemandu Toyota Vios itu memecut keretanya meninggalkan mangsa.


"Mangsa dibantu orang ramai yang berada di situ dan dibawa ke klinik berdekatan untuk rawatan akibat cedera," katanya.

Sejurus selepas menerima rawatan, mangsa membuat laporan polis di Balai Polis USJ 8.


Sementara itu, Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Asisten Komisioner Yahaya Ramli ketika dihubungi berkata, pihaknya menerima laporan mangsa pada jam 12.30 malam, hari kejadian.


"Kami sudah mengenal pasti dua suspek yang berusia 20-an serta gerakan memburu mereka giat dijalankan.


"Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 323 dan 506 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan kecederaan serta ugutan jenayah," katanya.




Tiada ulasan:

Catat Ulasan