Jumaat, 13 April 2012

Harian Metro: Setempat

Harian Metro: Setempat


Tak tuduh sesiapa

Posted: 12 Apr 2012 12:14 PM PDT

PETALING JAYA: Timbalan Presiden Seniman, Rozaidi Abdul Jamil, 32, atau Zed Zaidi membuat laporan di Balai Polis Mutiara Damansara, di sini semalam, mendakwa laman facebook diceroboh individu tidak dikenali.

Zed mendakwa kumpulan yang menggodam facebook miliknya dikenali 'Aaronators Crew' dan dia hanya menyedarinya ketika melayari laman sosial itu jam 6 petang, kelmarin.


Katanya, ia mungkin berkait tindakannya mempertikaikan kemenangan pelakon popular, Aaron Aziz, 36, yang menggondol Anugerah Bintang Popular Berita Harian 2011 (ABPBH11), Ahad lalu.

"Saya tidak menuduh sesiapa dan menyerahkan kepada pihak berkuasa untuk menyiasat. Namun, saya akan memanjangkan kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) esok (hari ini)," katanya.


Menurutnya, biarpun diceroboh, kumpulan itu tidak memaparkan kenyataan berbaur ugutan, fitnah dan lucah sebaliknya hanya memberitahu facebook miliknya digodam.


Katanya, selaku Timbalan Presiden Seniman, dia sedar banyak perkara dibangkitkan dalam memperjuangkan hak artis seperti memohon cermin gelap, perlindungan insurans, permohonan projek Perumahan Rakyat 1Malaysia (PR1SMA) dan terbaru mempertikaikan kemenangan Aaron.

"Saya percaya pencerobohan facebook disebabkan rasa tidak puas hati terhadap beberapa usul yang saya cadangkan. Namun, masih ramai ahli Seniman menyokong penuh usaha dijalankan," katanya.


Ketika disoal sama ada dia 'gila publisiti' Zed menjelaskan tidak pernah meminta publisiti murahan, namun kontroversi tercetus apabila dia tampil memperjuangkan hak selebriti.

"Saya bukan bodoh meminta publisiti murahan sebaliknya berjuang memohon hak artis. Apa gunanya jawatan disandang seandainya saya tidak melakukan sesuatu untuk mereka," katanya.


Berhubung kenapa tidak mempertikaikan kemenangan Aaron sebelum kemenangannya berkata: "Pada 22 Jun 2009, menerusi zedzaidi.blogspot.com.my, saya menulis mengenai lambakan selebriti asing ke negara ini, namun tiada sesiapa memandang.


"Dengan jawatan ini, saya akan terus memperjuangkan hak artis. Seandainya ada yang tidak menyokong apa dibuat, jangan undi saya untuk pemilihan seterusnya," katanya.




Ditikam ‘goda’ isteri rakan niaga

Posted: 12 Apr 2012 12:11 PM PDT

GOMBAK: Hanya dikatakan sering menggoda isterinya, seorang peniaga parah dibelasah rakan niaga selain ditikam dengan pisau di belakang badan dalam kejadian di Selayang Baru, kelmarin.

Dalam kejadian jam 5.30 petang itu, mangsa yang berusia 42 tahun menaiki van datang ke gerai makan miliknya bersama isteri berusia 38 tahun untuk menghantar bekalan makanan sebelum berjumpa rakan niaga itu.


Menurut sumber, mangsa menyapa lelaki terbabit sambil memberi senyuman, namun tidak dibalas sebaliknya bertukar tegang apabila dia dimarahi dan dihamburkan dengan kata-kata kesat.

"Pelik dengan sikap lelaki terbabit yang tiba-tiba naik angin, mangsa cuba meminta penjelasan, namun terkejut apabila lelaki itu mendakwa dia sering mengacau dan cuba menggoda isterinya.


"Bagaimanapun, mangsa menafikan dan memberitahu semua itu salah faham dan dia tidak pernah menggoda isteri lelaki itu tambahan dia sudah berkahwin," katanya.


Sumber berkata, lelaki itu enggan mempercayainya dan menumbuk muka mangsa beberapa kali menyebabkan berlaku pergaduhan sebelum kejadian itu disedari isteri mangsa yang datang membantu.

"Namun, niat wanita terbabit yang ingin meleraikan pertengkaran gagal sebaliknya dia ditumbuk di muka beberapa kali.


"Tidak tahan dipukul mangsa dan isterinya cuba melarikan diri untuk mendapatkan bantuan menyebabkan lelaki terbabit bertambah berang sebelum mengambil pisau dan menikam belakang badan mangsa menyebabkan dia mengerang kesakitan," katanya.

Menurutnya, lelaki terbabit yang panik melihat mangsa berlumuran darah melarikan diri sementara isteri mangsa yang ketakutan menjerit meminta tolong sebelum ia disedari rakan mangsa lain yang datang membantu dan menghantarnya ke Hospital Selayang.


Isteri mangsa yang bimbang dengan keselamatan diri dan suami membuat laporan di Balai Polis Selayang.


Sementara itu, Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Abdul Rahim Abdullah mengesahkan menerima laporan dan kes disiasat mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan.




Tiada ulasan:

Catat Ulasan