Jumaat, 13 April 2012

Utusan Online - Dalam Negeri

Utusan Online - Dalam Negeri


PM mahu polis penuhi dua harapan rakyat

Posted:

PM mahu polis penuhi dua harapan rakyat

PM mahu polis penuhi dua harapan rakyat

KUALA LUMPUR 12 April - Polis Diraja Malaysia (PDRM) perlu memenuhi dua harapan rakyat iaitu memastikan keselamatan awam terjamin pada setiap masa serta bijak mengimbangi keperluan hak asasi individu dengan keselamatan umum.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, harapan tersebut perlu dicapai kerana setiap agensi kerajaan khususnya organisasi kepolisan wujud kerana rakyat dan perlu memberi perkhidmatan terbaik kepada masyarakat.

Beliau yang yakin dua harapan tersebut mampu dicapai berkata, ia satu cabaran bukan sahaja kepada PDRM tetapi merangkumi Kementerian Dalam Negeri serta beliau sendiri selaku pemimpin nombor satu negara.

"Kedua-dua harapan rakyat itu perlu dipenuhi dalam konteks Malaysia sebagai sebuah negara demokrasi berparlimen, iaitu kerajaan dipilih oleh rakyat. Jadi penting bagi setiap agensi kerajaan itu wujud untuk rakyat dan kerana rakyat.

"Rakyat kini jauh terpelajar dan mereka mahu hidup dalam komuniti selamat yang bebas daripada sebarang unsur jenayah. Jangkaan ini munasabah kerana sebagai insan kita tidak mahu berada dalam persekitaran tidak menentu.

"Mereka juga mahu hak asasi sebagai individu dihormati, justeru polis perlu bijak mengimbangi dengan keselamatan umum," katanya semasa berucap merasmikan Menara 1 Bukit Aman PDRM, di Bukit Aman, di sini hari ini.

Hadir sama isteri beliau, Datin Seri Rosmah Mansor; Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein; Menteri Kesihatan, Datuk Seri Liow Tiong Lai; Ketua Polis Negara, Tan Sri Ismail Omar dan Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Zulkifeli Mohd. Zin.

Sempena majlis berkenaan, Perdana Menteri meluluskan peruntukan tambahan RM1.5 juta untuk pembinaan taman asuhan kanak-kanak (Taska) selain mengesahkan bakal mewujudkan pusat Permata Negara di Bukit Aman.

Serentak dengan majlis itu juga, beliau turut merasmikan Pusat Saringan Kesihatan Bukit Aman.

Dalam perkembangan berkaitan, Najib berharap PDRM dapat meningkatkan lagi keyakinan rakyat terhadap organisasi itu yang ketika ini berada di tahap 70.5 peratus, menerusi amalan kecemerlangan dalam perkhidmatan.

Katanya, jasa PDRM dalam mengekalkan keamanan tidak boleh dinafikan sehingga Malaysia diiktiraf sebagai negara ke-19 paling selamat di dunia oleh Indeks Keamanan Global (GPI), tetapi masih ada ruang yang perlu dipertingkatkan.

Sementara itu beliau menambah, PDRM telah memberikan kerjasama yang tinggi sehingga membolehkan tiga Ordinan Darurat dimansuhkan, selain undang undang baru menggantikan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) dapat digubal.

"Dalam hal ini kita mendapatkan pandangan PDRM terlebih dahulu ketika mahu menggubal akta baru bagi memastikan kuasa yang diberi mencukupi untuk polis mencegah jenayah, menangani sindiket dan keganasan," katanya.

Penuntut Malaysia di Aceh, Padang kembali ke kuliah

Posted:

Penuntut Malaysia di Aceh, Padang kembali ke kuliah

Penuntut Malaysia di Aceh, Padang kembali ke kuliah

KUALA LUMPUR 12 April – Penuntut Malaysia di Aceh dan Padang, Indonesia yang terlibat dalam gempa bumi semalam, sudah kembali ke kediaman masing-masing dan menghadiri kuliah seperti biasa hari ini.

Setiausaha 1 Pendidikan Malaysia di Kedutaan Besar Malaysia di Jakarta, Ludinata Mismun berkata, kesemua 345 penuntut di kedua-dua wilayah itu iaitu 206 orang di Aceh dan 139 orang di Padang berada dalam keadaan selamat serta kembali menjalankan rutin harian seperti biasa.

Beliau berkata, mereka kembali ke kediaman masing-masing sejam selepas amaran tsunami ditarik balik.

''Kami telah mengarahkan penuntut di kedua-dua wilayah itu agar sentiasa berwaspada dan mematuhi prosedur standard operasi (SOP) serta membawa kelengkapan harian seperti pakaian dan makanan ke kuliah sebagai langkah bersiap-sedia.

"Walaupun amaran tsunami telah ditarik balik, tetapi kami masih mengambil langkah berjaga-jaga terhadap sebarang kemungkinan," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Beliau diminta mengulas perkembangan terkini mengenai keadaan penuntut Malaysia akibat gempa bumi kuat berukuran 8.7 pada skala Richter yang melanda luar pantai Sumatera Utara petang semalam.

Sementara itu, jurucakap Bahagian Geofizik dan Tsunami Jabatan Meteorologi Malaysia memberitahu, keadaan perairan di negara ini kini stabil dan bebas daripada sebarang ancaman tsunami mahupun kesan akibat gempa bumi susulan sejak amaran tsunami ditarik balik semalam.

Menurut jurucakap itu, semua aktiviti di perairan termasuk aktiviti riadah di pantai kembali seperti biasa kerana kekuatan gempa bumi susulan semakin lemah dan stabil.

"Tiada sebarang tanda peningkatan paras air laut yang luar biasa di negara ini sejak semalam berbanding 0.6 meter dan 0.8 meter dilaporkan berlaku di Pantai Sabang dan Meulaboh, Indonesia," ujarnya.

SJKC, SJKT tidak dianaktirikan

Posted:

SJKC, SJKT tidak dianaktirikan

SJKC, SJKT tidak dianaktirikan

SHAH ALAM 12 April - Kerajaan tidak pernah menganaktirikan atau membeza-bezakan penumpuan penambahbaikan sistem pendidikan di negara ini sama ada melibatkan sekolah kebangsaan, sekolah jenis kebangsaan Cina (SJKC) atau Tamil (SJKT).

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, semua sekolah itu menerima peruntukan hampir sama setiap tahun malah terdapat SJKC atau SJKT yang mendapat kemudahan lebih baik berbanding sekolah kebangsaan terutama di kawasan pedalaman.

"Apa yang dilakukan sekarang adalah bagaimana warga pendidik sama ada di sekolah kebangsaan, SJKC atau SJKT boleh memberikan tumpuan dalam meningkatkan mutu pendidikan.

"Ini bagi memastikan generasi muda mempunyai ilmu pengetahuan mencukupi sekali gus melahirkan modal insan berkelulusan tinggi untuk membangunkan negara," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis pertemuan bersama kira-kira 3,000 warga pendidik SJKC dan SJKT di negeri ini sempena program Nurani Rakyat bersama Timbalan Perdana Menteri di sini hari ini.

Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran berkata, kos hampir sama juga diperuntukkan kepada semua sekolah di negara ini yang mana SJKC secara puratanya mendapat bantuan sebanyak RM2.23 juta setahun.

Katanya, bagi sekolah SJKT pula peruntukan untuk setiap sekolah itu secara puratanya adalah sebanyak RM1.99 juta setahun manakala sekolah kebangsaan pula menerima sebanyak RM2.26 juta setahun.

"Dalam hal ini, ada SJKC yang kekurangan murid namun kerajaan tidak mengambil keputusan menutup sekolah itu malah terus membenarkan ia beroperasi walaupun terdapat seorang murid," katanya.

Muhyiddin menegaskan, kerajaan Barisan Nasional (BN) sejak dahulu lagi sentiasa memberikan perhatian kepada sektor pendidikan apabila hampir 26 peratus bajet setiap tahun yang bernilai berbilion ringgit diperuntukkan kepada sektor itu.

Ia kata beliau, sama ada di peringkat prasekolah, sekolah rendah dan menengah serta pengajian tinggi.

"Kita menumpukan soal pendidikan ini kerana menyedari hanya menerusi pendidikan yang baik sahaja generasi muda dapat meningkatkan ilmu dan kemahiran seterusnya mendapatkan pekerjaan.

"Atas sebab itu kita pastikan sektor pendidikan ini tidak diabaikan," katanya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan