Khamis, 12 April 2012

Harian Metro: Mutakhir

Harian Metro: Mutakhir


Rexy letak jawatan, terima tawaran di Filipina

Posted: 12 Apr 2012 06:49 AM PDT

KUALA LUMPUR: Rexy Mainaky hari ini mengumumkan peletakan jawatannya sebagai ketua jurulatih beregu wanita negara berkuat kuasa 30 April ini.

Rexy, yang sudah tujuh tahun berkhidmat bersama Persatuan Badminton Malaysia (BAM) turut memaklumkan akan berkhidmat sebagai Pengarah Kejurulatihan Persatuan Badminton Filipina selama dua tahun mulai 1 Mei ini.

Bekas juara dunia beregu itu berkata beliau telah memaklumkan keputusan untuk meletak jawatan kepada BAM selepas Kejohanan Terbuka Switzerland bulan lepas.

"Ia keputusan muktamad," katanya kepada pemberita selepas Mesyuarat Jawatankuasa Program (JKP) di Majlis Sukan Negara (MSN), Bukit Jalil di sini.


Mengakui gembira dengan layanan BAM dan MSN terhadapnya selama tujuh tahun berkhidmat di negara ini, Rexy berkata keputusan beliau berhijrah ke Filipina adalah bagi menyahut cabaran baru walaupun mendapat tawaran lumayan dari beberapa negara lain.


"Ia bukan soal tawaran dan wang ringgit...saya ada terima tawaran dari Indonesia, England dan Russia dengan ganjaran kira-kira US$12,000 (RM36,825) sebulan tetapi saya mahukan cabaran," katanya.

Menurutnya tugasannya di Filipina boleh mencabar kerana dapat peluang membimbing pemain muda berusia antara 12 hingga 17 tahun.

"Sasaran saya adalah untuk memperbaiki tahap mereka serta membawa mereka ke tahap prestasi tinggi. Saya pergi ke Filipina di mana sukan badminton begitu asing dan ia adalah cabaran bagi saya," katanya.

Rexy memulakan khidmatnya sebagai jurulatih bermula 7 Julai 2005 dan kontraknya bersama BAM akan tamat pada Jun ini.

Sementara itu, Setiausaha Kehormat BAM Ng Chin Chai berkata badan induk badminton negara itu menerima peletakan jawatan Rexy pada bulan lepas.

"Kami terima surat peletakan jawatan dari Rexy bulan lalu dan beliau memohon supaya dia beri notis sebulan kepada kami. Kami membincangkan perkara itu dan terima permohonannya," katanya. - BERNAMA




Tangan warga emas tersepit mesin tebu terpaksa dipotong

Posted: 12 Apr 2012 05:51 AM PDT

KUALA TERENGGANU: Hasrat seorang warga emas untuk menambah pendapatan keluarga dengan menjual air tebu bertukar tragedi apabila tangan kanannya terpaksa dipotong selepas digilis mesin tebu dalam kejadian di Taman Semarak, Bukit Tunggal, dekat sini pagi semalam.

Kejadian kira-kira pukul 11.30 pagi menyebabkan tangan kanan Wan Hamzah Wan Ismail, 58, yang juga penghidap sakit jantung itu terpaksa dipotong sehingga ke pergelangan tangan.

Anak mangsa, Wan Nor Hazha, 35, berkata ketika kejadian dia sedang membersihkan tebu di belakang gerai sebelum terdengar ayahnya menjerit meminta tolong setelah tangannya tersepit pada mesin berkenaan.

"Sebaik mendengar jeritan itu saya terus berlari ke arah ayah dan segera menutup suis mesin tebu. Saya lihat tangan ayah sehingga ke pergelangan sudah leper seperti hampas tebu.


"Saya panik ketika itu dan cuba menahan kenderaan yang lalu di depan gerai namun tiada yang berhenti. Saya kemudiannya meminta pertolongan daripada beberapa pekerja yang sedang menyelenggara rumah tidak jauh dari situ," katanya ketika ditemui Bernama di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) di sini, hari ini.


Menurutnya ayahnya terpaksa menahan kesakitan kira-kira sejam sebelum tangannya berjaya dikeluarkan selepas mesin itu dileraikan dengan bantuan orang ramai.

Mangsa yang telah tujuh tahun berniaga air tebu, kemudian dihantar ke HSNZ untuk rawatan lanjut.

Katanya tangan kanan ayahnya itu terpaksa dipotong kerana kecederaan parah yang dialami.

Sementara itu mangsa yang juga penerima bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dijadual ke Institut Jantung Negara (IJN), 18 Mac ini untuk menjalani pemeriksaan selepas membuat pembedahan kecil kira-kira tiga bulan lalu.

"Doktor memaklumkan keadaannya stabil tapi saya harap insiden ini tidak menjejaskan kesihatan jantung ayah saya yang memang sudah bermasalah," katanya. - BERNAMA




Tiada ulasan:

Catat Ulasan