Sabtu, 14 April 2012

Harian Metro: Mutakhir

Harian Metro: Mutakhir


Pemilik kilang parah kereta meletup

Posted: 13 Apr 2012 11:56 AM PDT

SEBERANG JAYA: "Saya bergegas ke rumah anak selepas terima panggilan daripada pembantu rumahnya dan terkejut melihat muka dan tubuhnya hitam terbakar," kata Lee Ah Lok, 72, bapa kepada seorang pemilik kilang menghasilkan kepingan besi yang parah apabila keretanya meletup dan terbakar dalam kejadian di Persiaran Sembilang, Taman Sembilang, pagi semalam.

Menurutnya, ketika itu dia bersarapan di kawasan Permatang Pauh berhampiran kedai runcitnya sebelum menerima panggilan berkenaan dan bergegas ke rumah anaknya itu yang terletak kira-kira tiga kilometer dari situ.


Katanya, setibanya di tempat kejadian, didapati anaknya itu dalam keadaan tidak sedarkan diri dengan keadaan muka dan badannya hitam kesan terbakar.

"Sehingga tengah hari (semalam), anak saya masih tidak sedarkan diri dan terpaksa dibawa ke Hospital Pulau Pinang (HPP) untuk menerima rawatan lanjut," katanya.


Dalam kejadian jam 8.20 pagi itu, mangsa, Lee Chong Beng, 52, parah apabila kereta Nissan X-Trail yang dipandunya meletup dan terbakar di hadapan rumahnya di Persiaran Sembilang, Taman Sembilang.


Bagaimanapun, bapa kepada empat anak berkenaan berjaya ditarik keluar oleh jirannya yang kebetulan melihat kejadian itu.

Mangsa kemudian dikejarkan ke Hospital Seberang Jaya (HSJ) dengan ambulans selepas melecur kira-kira 60 peratus.


Mangsa dikatakan baru masuk ke dalam kenderaannya untuk ke kilangnya yang terletak di Kawasan Perindustrian Perai.

Bagaimanapun, ketika mangsa cuba menghidupkan kenderaannya itu, secara tiba-tiba ia meletup sebelum terbakar.


Sementara itu, Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Ayub Yaakob berkata, siasatan awal mendapati kenderaan utiliti sukan (SUV) itu meletup dan mengeluarkan api sebelum menyambar mangsa yang berada di tempat duduk pemandu.


Menurutnya, mangsa dapat diselamatkan selepas dibantu orang ramai sebelum dikejarkan ke hospital untuk rawatan lanjut.


"Siasatan masih dijalankan bagi mengenal pasti punca kejadian dan setakat ini belum dapat ditentukan sama ada ia disebabkan kemalangan atau sabotaj.


"Unit forensik polis dan bomba kini masih menjalankan siasatan, kemungkinan juga akan memanggil Jabatan Kimia bagi membantu siasatan," katanya.


Turut hadir di tempat kejadian semalam, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Senior Asisten Komisioner Zahruddin Abdullah dan Ketua Polis Daerah Seberang Prai Tengah, Asisten Komisioner Azman Abd Lah.


Berikutan kecederaan teruk yang dialami, mangsa dirujuk ke HPP untuk menerima rawatan lanjut kira-kira jam 12 tengah hari semalam dan kini keadaannya kritikal, tetapi stabil.


Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Prai, A'azelan Hassan berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 8.30 pagi.


Menurutnya, dua jentera bersama 11 anggota berkejar ke lokasi dan tiba di tempat kejadian kira-kira tujuh minit kemudian.


Katanya, setibanya di tempat kejadian didapati mangsa sudah berada di luar kenderaannya dipercayai diselamatkan oleh orang ramai.


"Kebakaran itu dapat dipadamkan sepenuhnya pada jam 8.53 pagi. Punca kejadian masih disiasat," katanya.




Saddam jadi pelat dihentam bola

Posted: 13 Apr 2012 11:55 AM PDT

JOHOR BAHRU: "Saddam kini pelat," kata Sarimah Abdullah, 49, ibu kepada Saddam El Hafidz Shaari, 16, yang cedera selepas rahang dan giginya beralih akibat hentaman bola hasil rembatan pemain lawan, di Stadium Mersing di sini, Sabtu lalu.

Saddam yang juga penjaga gawang Sekolah Menengah Kebangsaan Anjung Batu, Mersing cedera dalam perlawanan ketika menentang satu lagi pasukan bola sepak pada kejohanan Majlis Sukan Sekolah-Sekolah Daerah Mersing (MSSDM).


Akibatnya, Sarimah berkata, anak kelima daripada enam beradik itu mengalami kesukaran bercakap dan mengunyah makanan.

"Saddam menjaga gawang pada perlawanan jam 11 pagi itu apabila terkena bola berkenaan. "Rahang Saddam beralih manakala giginya pula berkemungkinan perlu dicabut dan ditanam semula," katanya, semalam.


"Kini, saya sedih setiap kali memikirkan keadaan Saddam dan kos rawatan serta perjalanan kerana perlu berulang dari Mersing ke Johor Bahru setiap minggu untuk rawatan susulan," katanya.


Katanya, sekolah ada memberi bantuan RM300 hasil kutipan daripada pelajar sekolah itu dan ia sedikit sebanyak meringankan beban saya.

Sementara itu, jurucakap Jabatan Pelajaran Johor berkata, pihaknya menyiasat dakwaan terbabit sebelum mengambil tindakan sewajarnya.


"Kami akan mengumpul maklumat diperlukan sebelum memastikan sama ada pelajar berkenaan layak menerima bantuan kewangan atau keperluan lain yang bersesuaian," katanya.




Tiada ulasan:

Catat Ulasan