Isnin, 2 April 2012

Harian Metro: BeritaUtama

Harian Metro: BeritaUtama


Dimamah bahang

Posted: 01 Apr 2012 12:29 PM PDT

HATYAI, SONGKHLA: Menghidu asap dan menahan bahang panas api menjadi pengalaman ngeri sepasang suami isteri yang terperangkap di tempat letak kereta Hotel Lee Garden Plaza, di sini, yang menjadi lokasi letupan bom kereta, kelmarin.

Dalam kejadian itu, mangsa, Wong Sze Ee, 28, bersama suaminya, Ooi Fook Chuan, 33, dari Pulau Pinang baru selesai mendaftar keluar daripada hotel berkenaan.


Mereka ke kawasan letak kereta B2 di bawah hotel berkenaan untuk menyimpan beg pakaian di dalam kereta.

Sze Ee berkata, sebaik tiba di kereta, gegendang telinganya seakan-akan mahu pecah akibat letupan kuat hingga menggegarkan ruang bawah bangunan berkenaan.


Menurutnya, tidak lama kemudian dia melihat kepulan asap hitam memenuhi ruang tempat meletak kereta berkenaan.


"Saya lihat suami hampir lemas kerana asap tebal dan kami cuba menyelamatkan diri dengan mencari jalan keluar melalui tangga di kawasan tempat letak kereta itu yang terletak agak jauh.

"Bagaimanapun, kami tidak berjaya melarikan diri menggunakan tangga berkenaan kerana asap terlalu tebal selain bahang panas api dan berlindung di bawah tangga sementara mencari laluan lain," katanya ketika ditemui di Hospital Songkhla Nagarind (HSN), di sini, semalam.


Menurutnya, dalam keadaan kawasan itu dipenuhi asap tebal, mereka menutup mulut menggunakan baju dipakai manakala suaminya terhidu terlalu banyak asap menyebabkannya hampir pengsan.

Katanya, dalam tempoh 30 minit, mereka bagaikan sudah berputus asa untuk menyelamatkan diri kerana kawasan dipenuhi asap amat tebal menyebabkan kedua-duanya mengalami kesukaran bernafas selain tiada bantuan tiba dalam tempoh itu.


"Saya ketika itu sudah putus harapan, tetapi lega apabila terlihat cahaya lampu samar-samar daripada arah depan kawasan tempat letak kereta berkenaan sebelum terdengar suara anggota penyelamat.


"Dalam keadaan lemah, saya berteriak kepada mereka supaya membantu kami yang ketika itu hampir pengsan sebelum dibantu anggota penyelamat keluar dari kawasan berkenaan dan dihantar ke HSN, Hatyai," katanya.


Katanya, suaminya dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) hospital berkenaan selepas terhidu banyak asap dan dia mendapatkan rawatan di wad biasa.




Pengacara pijak muka

Posted: 01 Apr 2012 11:29 AM PDT

KUALA LUMPUR: Seorang pengacara rancangan gosip popular berusia 28 tahun bertindak menyerang seorang wanita yang sedang meraikan hari lahir rakannya dalam sebuah pusat hiburan di Jalan Sultan Ismail, di sini, dengan memijak muka mangsa menggunakan kasut tumit tingginya dalam kejadian awal pagi semalam.

Akibat perbuatan pengacara wanita terbabit yang juga bergelar pelakon dan pernah membintangi beberapa siri drama serta telefilem itu bersama beberapa rakannya menyebabkan mangsa yang berusia 20-an cedera di kepala dan terpaksa dirawat di Hospital Ampang (HA).

Menceritakan semula kejadian itu, sumber berkata, semuanya bermula apabila mangsa meraikan hari lahir rakannya itu dihampiri seorang wanita tidak dikenali.

"Wanita terbabit bertanya kepada mangsa adakah dia dengan tidak sengaja terpukul atau melakukan kekasaran kepada sesiapa. Bingung dengan pertanyaan itu, mangsa menafikan dakwaan itu sebelum mendiamkan diri.


"Belumpun persoalan itu selesai, mangsa dihampiri seorang lelaki bertubuh sasa yang terus menampar mukanya menyebabkannya terjatuh," katanya.

Dapatkan akhbar Harian Metro untuk berita selanjutnya.




Tiada ulasan:

Catat Ulasan