Isnin, 2 April 2012

Utusan Online - Selatan

Utusan Online - Selatan


Nelayan perlu teroka kaedah moden

Posted:

Nelayan perlu teroka kaedah moden

Nelayan perlu teroka kaedah moden

Oleh NORLIZA MOHAMAD ZAKARIA
utusanmelaka@utusan.com.my


Idris Haron (dua dari kiri) menyatakan sesuatu kepada sebahagian nelayan yang menerima elaun sara hidup sambil diperhatikan Baharin Omar (kiri) di Dewan Hang Tuah, Melaka, baru-baru ini. - UTUSAN/Azli Ahad


MELAKA 1 April - Nelayan digalakkan meneroka kaedah termoden dalam penangkapan ikan bagi meningkatkan taraf hidup serta memajukan industri perikanan negara.

Ahli Parlimen Tangga Batu, Datuk Idris Haron berkata, penerokaan kaedah baru itu bagi memastikan kualiti nelayan di negara ini setanding dengan nelayan di negara maju seperti Jepun, Korea, Kanada, Australia dan Amerika Syarikat (AS).

"Bukan hanya menggunakan kaedah tradisional tetapi mungkin mereka boleh meneroka cara tangkapan yang baru yang akan memberikan pulangan hasil yang lumayan.

"Jika pendapatan golongan ini mencecah RM1,000 ke RM2,000 sebulan, mungkin dengan meneroka kaedah baru mereka boleh memperoleh sehingga puluhan ribu ringgit," katanya.

Beliau berkata demikian selepas majlis penyampaian Elaun Sara Hidup Nelayan peringkat kawasan Selatan berjumlah RM158,400 di Dewan Hang Tuah, baru-baru ini.

Seramai 792 nelayan masing-masing menerima bantuan sara hidup sebanyak RM200.

Turut hadir Pengarah Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) Melaka dan Negeri Sembilan, Baharin Omar; Pengerusi Persatuan Nelayan negeri, Abdullah Yahya dan Pengerusi Persatuan Nelayan Kawasan Melaka Selatan, Othman Ahmad.

Idris berkata, bantuan yang diberikan oleh kerajaan itu mampu menaikkan semangat golongan tersebut untuk terus menerajui industri perikanan negara.

Menurutnya, bantuan yang diberikan itu membuktikan komitmen kerajaan untuk membantu meringankan beban hidup golongan nelayan.

Beliau turut menggalakkan golongan nelayan menceburi bidang hiliran perikanan sebagai sumber pendapatan tambahan kepada mereka.

Ibu bapa wajar pantau gerak-geri anak remaja

Posted:

Ibu bapa wajar pantau gerak-geri anak remaja

Ibu bapa wajar pantau gerak-geri anak remaja

SEREMBAN 1 April - Ibu bapa perlu lebih peka mengawasi gerak-geri serta perihal anak masing-masing terutama membabitkan golongan remaja agar mereka tidak terjerumus dengan gejala negatif yang kian membimbangkan.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Modal Insan, Belia dan Sukan negeri, Datuk Abdul Samad Ibrahim (gambar) berkata, ibu bapa tidak seharusnya menyerahkan tugas mendidik mahupun mendisiplin anak kepada pihak sekolah semata-mata.

"Sebaliknya, tugas ini harus dipikul bersama lebih-lebih lagi dengan kes lari dari rumah yang kian meningkat dan amat membimbangkan.

"Sebagai ibu bapa kita wajar pantau pergerakan anak-anak, tanya ke mana mereka mahu pergi, dengan siapa mereka berkawan dan apa aktiviti yang mereka lakukan," katanya selepas merasmikan mesyuarat agung Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) Sekolah Menengah Kebangsaan Tuanku Ja'afar di sini baru-baru ini.

Jelasnya lagi, keteguhan institusi kekeluargaan serta didikan ibu bapa diyakini berupaya membendung anak-anak terutama remaja dan belia daripada terjebak dengan gejala sosial.

Tambah Abdul Samad, sekiranya rakan mendorong ke arah kebaikan ia membawa manfaat kepada diri remaja terbabit serta keluarga mereka, namun jika sebaliknya ia sedikit sebanyak akan menghancurkan masa depan remaja berkenaan dan harapan keluarganya.

"Bukan itu sahaja, ibu bapa juga perlu beri perhatian terhadap perkembangan pembelajaran anak-anak. Bimbing mereka, luangkan masa dengan mereka, buat mereka rasa dihargai dan disayangi," ujarnya.

LTAM berpotensi jadi hab penerbangan kawasan Selatan

Posted:

LTAM berpotensi jadi hab penerbangan kawasan Selatan

LTAM berpotensi jadi hab penerbangan kawasan Selatan

MELAKA 1 April - Lapangan Terbang Antarabangsa Melaka (LTAM) Batu Berendam di sini berpotensi menjadi hab penerbangan kawasan Selatan khususnya bagi perjalanan ke Indonesia.

Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd. Ali Rustam berkata, usaha untuk menjadikan LTAM sebagai hab penerbangan pelancongan berdasarkan sambutan menggalakkan rakyat Indonesia mengunjungi negeri ini sejak beberapa tahun kebelakangan ini.

Beliau berkata, tumpuan utama adalah dalam sektor pelancongan kesihatan apabila 80,056 daripada 350,133 rakyat Indonesia yang melancong ke negeri ini adalah untuk tujuan mendapatkan rawatan kesihatan sepanjang tahun lalu.

"Pelancongan kesihatan di kalangan rakyat Indonesia cukup menggalakkan dan wajar bagi LTAM dijadikan sebagai hab penerbangan kawasan Selatan.

"Ia akan melibatkan destinasi dan kekerapan penerbangan baru yang akan ditambah untuk meningkatkan kedatangan pelancong ke negeri ini menggunakan LTAM," katanya pada majlis pelancaran penerbangan pertama pesawat Sky Aviation dari Melaka-Tanjung Pinang-Melaka di LTAM di sini baru-baru ini.

Penasihat Senior PT Sky Aviation, Chevy Hakim mengetuai sekumpulan 50 penumpang menaiki pesawat Sky Aviation dari Tanjung Pinang tiba di LTAM kira-kira pukul 11.30 pagi.

Turut hadir Pengerusi dan pemilik PT Sky Aviation, Yusof Ardhi.

Mohd. Ali berkata, destinasi baru dari Melaka ke Tanjung Pinang itu membuktikan syarikat-syarikat penerbangan dari Indonesia berminat untuk menjadikan negeri ini sebagai destinasi baru pelancongan.

Katanya, penerbangan ke Tanjung Pinang adalah setiap dua kali seminggu pada Rabu dan Ahad dengan kadar tambang RM170 bagi perjalanan sehala.

Selain Tanjung Pinang, kata Mohd. Ali, Sky Aviation turut merancang destinasi baru dari Jambi ke Melaka tidak lama lagi.

"Jika menjadi kenyataan penerbangan dari Melaka ke Jambi adalah seminggu sekali dan pada masa ini, ia masih di peringkat rundingan," ujarnya.

Dalam pada itu, beliau berkata, syarikat penerbangan Melaka Air milik anak syarikat kerajaan negeri akan melancarkan penerbangan ke Pulau Pinang pada 6 April ini.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan