Isnin, 16 April 2012

Berita Harian: Nasional

Berita Harian: Nasional


Cari ilmu jihad utama ummah

Posted: 16 Apr 2012 01:36 PM PDT

Nasional

MUHYIDDIN berbual dengan  Dr Ahmad Azrin (tiga dari kiri) serta Juhasni (dua dari kanan) selepas  majlis Perasmian Anugerah Tesis Terbaik Yayasan Nurul Yaqeen,  di Putrajaya, semalam. - Foto Fariz Iswadi Ismail

MUHYIDDIN berbual dengan Dr Ahmad Azrin (tiga dari kiri) serta Juhasni (dua dari kanan) selepas majlis Perasmian Anugerah Tesis Terbaik Yayasan Nurul Yaqeen, di Putrajaya, semalam. - Foto Fariz Iswadi Ismail

Muhyiddin saran umat Islam berusaha elak tercicir depani era globalisasi

PUTRAJAYA: Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, umat Islam seharusnya menjadikan pencarian ilmu sebagai jihad paling utama dalam usaha memajukan ummah bagi mengelak daripada tercicir dalam mendepani era globalisasi sekarang.

Timbalan Perdana Menteri berkata, persaingan global yang semakin sengit perlu disahut dengan meningkatkan penguasaan ilmu dan kemahiran.

Islam mementingkan pencarian ilmu serta pengamalan ilmu dan dua perkara itu tidak boleh dipisahkan dalam agama. - Muhyiddin Yassin, Timbalan Perdana Menteri

Beliau berkata, Islam mementingkan pencarian ilmu serta pengamalan ilmu dan dua perkara itu tidak boleh dipisahkan dalam agama.

"Mahasiswa di institusi pengajian tinggi khususnya mesti digalakkan untuk mempelajari, mengkaji dan menghasilkan penyelidikan berkualiti supaya dapatan kajian boleh memberi manfaat kepada masyarakat, negara dan umat seluruhnya," katanya ketika berucap pada majlis Perasmian Anugerah Tesis Terbaik Yayasan Nurul Yaqeen di sini, semalam.

Anugerah tesis terbaik peringkat Ijazah Doktor Falsafah (PhD) dimenangi Dr Ahmad Azrin Adnan dari Universiti Sains Malaysia (USM) manakala bagi kategori peringkat Ijazah Sarjana diraih Juhasni Juperi dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).

Muhyiddin yang juga Pengerusi Yayasan Nurul Yaqeen berkata, antara cabaran kepada ilmuwan Islam masa kini adalah menyebarkan pandangan sarwajagat Islam (Islamic worldview) yang tepat bahawa Islam adalah agama syumul dan merangkumi setiap aspek kehidupan manusia.
"Bagi menzahirkan ciri ilmu Islam yang syumul ini, maka kajian dan penyelidikan rentas disiplin antara ilmu Islam dan moden dalam pelbagai bidang mesti diteruskan.

"Hari ini, kita dapat saksikan Malaysia antara negara yang mendahului negara lain dalam mengembangkan disiplin ilmu Islam dalam bidang pengajian ilmu moden seperti undang-undang dan ekonomi," katanya.

Malah, katanya, ramai sarjana tempatan yang menjadi pakar rujukan pada peringkat antarabangsa dalam bidang itu.

"Kejayaan ini adalah usaha sarjana kita dalam melakukan kajian dan penyelidikan secara rentas disiplin antara ilmu Islam dan moden.

"Kemajuan yang dicapai dalam bidang berkaitan adalah antara kelebihan yang ada pada universiti kita yang boleh dimanfaatkan untuk kepentingan umat Islam di seluruh dunia," katanya.

SPR sahkan daftar pemilih bersih, tak bertindih

Posted: 16 Apr 2012 01:30 PM PDT

Nasional

KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) semalam menegaskan daftar pemilih adalah bersih tanpa wujud sebarang pertindihan nama mereka yang meninggal dunia atau warga asing.

Sehubungan itu, Pengerusinya, Tan Sri Abdul Aziz Yusof meminta mana-mana pihak supaya tidak terus memperbesarkan isu kononnya daftar pemilih itu 'kotor' demi kepentingan politik mereka.

Katanya, berdasarkan senarai daftar pemilih berjumlah 12.6 juta yang dihantar kepada Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) sehingga 25 Januari lalu, hanya 41,750 pengundi atau 0.3 peratus daripada jumlah pengundi dikategorikan sebagai pengundi meragukan iaitu sama ada mereka wujud atau sebaliknya. "Adakah dengan hanya 0.3 peratus yang meragukan ini, maka daftar pemilih boleh ditafsirkan sebagai kotor? Jumlah itu juga sudah berkurangan kerana didapati 481 orang masih hidup dan 301 dilaporkan meninggal dunia.

"Kita cuba supaya ia terus dibersihkan, tapi kuasa kita juga terhad kerana SPR tidak boleh sesuka hati membuang nama itu daripada senarai daftar pemilih tanpa bukti individu itu sudah meninggal dunia, gugur taraf warga negara, pengesahan tidak siuman atau masuk penjara," katanya selepas mengadakan pertemuan dengan semua Ahli Parlimen di bangunan Parlimen, semalam.

Abdul Aziz berkata, pada pertemuan hampir tiga jam yang diadakan buat pertama kali itu, SPR menjelaskan semua isu yang dibangkitkan Ahli Parlimen termasuk pertukaran pusat mengundi, pertindihan nama pengundi dalam satu alamat dan isu berkaitan pembersihan daftar pemilih.

"Tidak berlaku sebarang perubahan sempadan DUN (Dewan Undangan Negeri), Parlimen dan negeri.
"Apa yang berlaku adalah pembetulan penempatan lokaliti pemilih berkenaan berdasarkan semakan melalui Sistem Maklumat Geografi.

"Jumlah pemilih mendaftar pada satu alamat juga tidak berlaku kerana sebenarnya, mereka (pengundi) duduk dalam satu lokaliti, mungkin sebuah rumah pangsa, taman perumahan atau kampung yang mempunyai ramai pengundi," katanya sambil menambah, semua Ahli Parlimen berpuas hati dengan penjelasan berkenaan.

Mengenai 22 syor yang dicadangkan Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen (PSC) Berhubung Penambahbaikan Proses Pilihan Raya, Abdul Aziz berkata, pihaknya akan membincangkan perkara itu esok dan akan mengeluarkan kenyataan media mengenainya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan