Jumaat, 13 April 2012

Berita Harian: Nasional

Berita Harian: Nasional


Bursary tidak jejas Bumiputera masuk IPT

Posted: 13 Apr 2012 04:15 PM PDT

Nasional

Pelajar masih boleh dapat biasiswa, pinjaman PTPTN

BATU PAHAT: Kementerian Pelajaran memberi jaminan program Bantuan Kewangan Pengajian (Bursary) kepada lebih 1,600 pelajar cemerlang Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2011, tidak menjejaskan peluang pelajar Bumiputera melanjutkan pelajaran ke institusi pengajian tinggi dalam atau luar negara.

Timbalan Menterinya, Dr Mohd Puad Zarkashi, berkata ibu bapa dan pelajar Bumiputera tidak perlu bimbang dengan keputusan kerajaan itu kerana mereka berpeluang mendapatkan biasiswa atau pinjaman daripada Majlis Amanah Rakyat (MARA) dan Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN). "Pemberian biasiswa bestari itu tanpa mengira latar belakang atau keturunan seseorang itu bagi menyangkal tuduhan beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang mendakwa kononnya pelajar bukan Bumiputera dipinggirkan daripada menerima kemudahan kewangan kerajaan.

"Pembiayaan itu diberi kepada mereka yang memperoleh keputusan cemerlang 9A+ hingga 12A+ SPM 2011 dan sebahagian besar mereka bukan Bumiputera.

"Pembiayaan disediakan bagi meringankan beban mereka selain tidak ketinggalan mengikuti program pendidikan pada peringkat tinggi," katanya.

Beliau berkata demikian selepas menghadiri majlis penyampaian sumbangan sagu hati khas kepada 64 bekas polis zaman darurat di Ibu Pejabat Polis Daerah Batu Pahat, semalam. Hadir sama, Ketua Polis daerah, Asisten Komisioner Din Ahmad dan Timbalannya, Superintendan Razali Mat Awang.
Selain itu, katanya, bantuan kepada pelajar cemerlang itu tidak menjejaskan peluang pelajar Bumiputera lain melanjutkan pengajian ke institusi pengajian tinggi awam kerana pelbagai kemudahan kewangan disediakan agensi kerajaan.

"Keputusan menyediakan pelbagai bentuk Bursary kepada pelajar tanpa mengira latar belakang membuktikan kerajaan komited memberi bantuan pendidikan kepada golongan sasar, termasuk kira-kira 10,300 pelajar lain yang mengikuti pengajian persediaan ke universiti," katanya.

Katanya, kerajaan juga melalui Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) memberi bantuan pengajian khas kepada 50 pelajar dikategori sebagai paling cemerlang dalam peperiksaan masing-masing.

Dalam pada itu, Mohd Puad berkata, Kementerian Pelajaran tidak mengeluarkan sebarang arahan berhubung pengedaran komik karikatur pemimpin politik kepada guru seperti dilaporkan sebuah portal, semalam.

"Kementerian tidak tahu menahu mengenai pengedaran komik itu yang didakwa melalui portal itu bahawa ia diagihkan oleh Jabatan Pelajaran negeri," katanya ketika dihubungi Berita Harian.

Komen Anda

Terima kasih diatas penyertaan anda. Berita Harian berhak untuk tidak memaparkan sebarang komen yang menyentuh isu-isu sensitif dan yang berbentuk iklan komersial. Alamat IP anda akan direkodkan dan mungkin digunakan untuk menghalang penghantaran komen seterusnya jika melanggar peraturan yang ditetapkan.

Senarai komen


Tentera layak mohon rumah di tapak TUDM

Posted: 13 Apr 2012 04:12 PM PDT

Nasional

Bayaran pembelian boleh diteruskan generasi kedua

PUTRAJAYA: Anggota tentera turut diberi keutamaan memiliki rumah di tapak pangkalan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) Sungai Besi yang sedang dibangunkan sebagai projek Bandar Malaysia.

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, berkata 10,000 unit rumah akan dibina di tapak seluas 196.6 hektar oleh 1Malaysia Development Bhd (1MDB) yang dilantik kerajaan untuk membangunkan kawasan itu. "Maklumat itu (projek terperinci pembangunan Bandar Malaysia) ada pada Jabatan Perdana Menteri (JPM). Apabila kita sudah serah (pangkalan), bukan bidang kuasa kementerian ini.

"Tetapi saya difahamkan 10,000 unit rumah akan dibina 1MDB dan keutamaan membelinya turut diberi pada anggota tentera," katanya kepada Berita Harian, di sini, semalam.

Beliau berkata demikian mengulas tanda tanya pelbagai pihak mengenai status perpindahan pangkalan itu dan projek pembangunan yang tidak diketahui perinciannya oleh orang ramai.

Pangkalan TUDM lama yang dibina pada 1930 turut menempatkan Rejimen ke-31 Artileri Diraja (31 RAD) selain kuarters kediaman termasuk apartmen dan masjid yang baru dibina. Turut dipindahkan Pangkalan Gerakan Udara Polis Diraja Malaysia (PDRM) di kawasan berhampiran.
Pembangunan semula bandar di Pangkalan TUDM Sungai Besi direka untuk mengukuh daya saing global Kuala Lumpur bagi menarik lebih ramai pelabur dan perniagaan antarabangsa.

Bagi merealisasikan matlamat itu, Bandar Malaysia akan menempatkan kawasan perumahan, komersial dan rekreasi, selain kawasan hijau kegunaan orang ramai beriadah.

Ditanya rumah yang bakal dibina kelak tidak mampu dibeli orang ramai termasuk tentera yang berpendapatan rendah, Ahmad Zahid berkata, kaedah pembayaran baru membabitkan generasi kedua anak tentera dijangka dilaksana bagi mengurangkan beban pembeli.

"Tempoh bayaran panjang guna kaedah baru seperti pinjaman generasi kedua akan membolehkan mereka memiliki rumah di kawasan berkenaan," katanya.

Mengulas operasi perpindahan pangkalan berkenaan, Zahid berkata ia akan bermula selepas semua bangunan penempatan di Sendayan, Negeri Sembilan serta pusat operasi TUDM berfungsi sepenuhnya.

Beliau berkata, Markas Operasi Udara dan bangunan sokongan akan beroperasi mulai Mac 2014 manakala tapak baru penempatan dijangka beroperasi mulai Jun 2016.

"Pembinaan kuarters dijangka siap Jun 2016. Semua kawasan tanah itu (pangkalan TUDM) termasuk Pangkalan Gerakan Udara PDRM diambil 1MDB," katanya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan