Selasa, 10 April 2012

Berita Harian: Nasional

Berita Harian: Nasional


RM2.12 bilion biaya pengajian

Posted: 10 Apr 2012 06:27 PM PDT

Nasional

Kos bagi pelajar cemerlang SPM ikuti program dalam, luar negara

PUTRAJAYA: Kerajaan memperuntukkan RM2.12 bilion untuk membiayai kos pengajian lanjutan pelajar cemerlang dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) bagi mengikuti program persediaan, Program Ijazah Luar Negara (PILN) dan Program Ijazah Dalam Negara (PIDN), tahun ini.

Ini termasuk bantuan kewangan (Bursary) secara automatik daripada Kementerian Pelajaran kepada 1,609 pelajar cemerlang SPM yang mendapat keputusan 9A+ ke atas. Daripada jumlah itu 1,020 pelajar mendapat keputusan 9A+; 10A+ (492); 11A+ (90) dan 12A+ (7) yang akan mengikuti pengajian peringkat persediaan (prauniversiti) sebelum ditawar ke PILN atau PIDN.

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, berkata pemberian Bursary itu bagi mengiktiraf pelajar cemerlang SPM 2011 tanpa mengira etnik, kaum, keturunan dan latar belakang.

"Kerajaan sentiasa prihatin dengan keluhan ibu bapa pelajar yang menunjukkan keputusan peperiksaan cemerlang, tetapi tidak berjaya mendapat penajaan untuk melanjutkan pelajaran setiap kali keputusan penajaan diumumkan kerana persaingan amat sengit dan bilangan yang ramai mendapat keputusan cemerlang.

"Pada masa sama, kerajaan juga mempunyai kekangan daripada segi peruntukan kewangan berikutan kos pendidikan yang semakin meningkat," katanya dalam satu kenyataan di sini, semalam.
Beliau berkata, peruntukan termasuk penajaan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) dan kementerian itu untuk lima kategori iaitu Program Biasiswa Nasional (PBN), Bursary, Program Khas Jepun, Korea, Perancis dan Jerman, PILN dan PIDN pada 2014, iaitu selepas program persediaan.

Katanya, kerajaan menetapkan 50 pelajar paling cemerlang dalam SPM 2011 atau 'crème de la crème' mengikut senarai Kementerian Pelajaran akan memasuki senarai PBN untuk melanjutkan pelajaran ke universiti terkemuka dunia berasaskan merit akademik.

"Calon terpilih akan ditawarkan biasiswa bermula peringkat persediaan hingga Ijazah Pertama tertakluk kepada syarat ditetapkan dan pengiktirafan bidang pilihan yang menjadi minat pelajar di universiti dalam dan luar negara seperti disenaraikan JPA," katanya dalam kenyataan di sini semalam.

Bagi program persediaan dalam negara ialah Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) di semua sekolah bantuan kerajaan; Matrikulasi iaitu program prauniversiti anjuran Kementerian Pelajaran bagi kursus persediaan jurusan Sains dan Perakaunan untuk melayakkan pelajar melanjutkan pengajian Ijazah Pertama pelbagai bidang di IPT dalam negara serta memohon IPT luar negara yang menerima kemasukan lepasan Matrikulasi.

Selain itu, program persediaan termasuk Asasi di bawah Kementerian Pengajian Tinggi yang lebih menjurus kepada pengajian di IPT tertentu dalam negara dan International Baccalaurate (IB) membabitkan program dua tahun atau A Level (12 hingga 24 bulan) yang juga program persediaan universal diterima pakai sebagai kelayakan masuk ke IPT dalam dan luar negara untuk program Ijazah Pertama.

"Bagi kemasukan ke IPT awam dalam negara, kelayakan IB dan A Level hanya terhad kepada bidang selain bidang kompetitif (perubatan, pergigian dan farmasi).

"Bagi semua program prauniversiti tersenarai, pemberian Bursary tertakluk kepada pelajar sudah ditawarkan atau ditempatkan di pusat persediaan ditetapkan kerajaan," katanya.

Semakan dan pengemaskinian profil pelajar program Busary boleh dilakukan mulai 16 April dan pelajar lepasan Bursary akan ditawarkan penajaan PILN atau PIDN mulai 2014 di bawah anjuran JPA jika mereka memenuhi syarat.

Muhyiddin berkata, Program Khas Jepun, Korea, Perancis dan Jerman pula membabitkan penajaan JPA kepada 300 pelajar dalam bidang kejuruteraan ke negara terbabit.

Katanya, program penajaan ke negara itu amat diperlukan Malaysia bagi menyediakan modal insan mempunyai daya cipta, kreativiti dan daya saing tinggi, selain pemindahan pengetahuan dan teknologi tinggi.

"Pelajar yang ingin mengikuti program ini perlu memohon dalam talian melalui laman web JPA dan kriteria berdasarkan empat kategori dengan mengambil kira faktor kokurikulum, latar belakang sosio ekonomi keluarga dan temu duga.

"Disebabkan syarat kelayakan masuk ke IPT di negara itu menekankan kemahiran bahasa masing-masing selain pencapaian akademik, pelajar perlu mengikuti persediaan menekankan ciri khas diperlukan berbanding kelayakan biasa seperti IB dan A Level," katanya.

Sementara itu, katanya, penajaan PILN di bawah JPA pada 2014 juga terbuka kepada pelajar cemerlang lepasan persediaan, antaranya STPM, A Level atau IB, yang tidak ditaja di bawah Bursary dengan syarat mendapat tempat di universiti terkemuka dunia diiktiraf kerajaan.

Penajaan JPA bagi PIDN pula membabitkan 10,300 pelajar lepasan mana-mana program persediaan bagi mengikuti Ijazah Pertama dalam program diiktiraf kerajaan sama ada di IPTA atau IPTS tempatan mengikut kriteria yang telah ditetapkan kerajaan.

Komen Anda

Terima kasih diatas penyertaan anda. Berita Harian berhak untuk tidak memaparkan sebarang komen yang menyentuh isu-isu sensitif dan yang berbentuk iklan komersial. Alamat IP anda akan direkodkan dan mungkin digunakan untuk menghalang penghantaran komen seterusnya jika melanggar peraturan yang ditetapkan.

Senarai komen


'Tak usik hartanah Jalan Sultan'

Posted: 10 Apr 2012 03:00 PM PDT

Nasional

Najib beri jaminan projek MRT kekal entiti, isytihar bangunan warisan

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak memberi jaminan tidak ada hartanah di Jalan Sultan yang diambil untuk pelaksanaan projek Transit Aliran Massa (MRT).

"Ia akan diisytiharkan sebagai bangunan warisan," katanya melalui Twitter, semalam.

Ia akan diisytiharkan sebagai bangunan warisan. - Datuk Seri Najib Razak

Akhbar Oktober lalu melaporkan bahawa pelaksanaan projek MRT Sungai Buloh-Kajang yang tamat di Jalan Sultan di ibu negara tidak akan merobohkan bangunan di laluan itu, walaupun ia tidak diwartakan sebagai bangunan warisan.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Ahmad Maslan, dilaporkan sebagai memberi jaminan bahawa pemilik projek, iaitu Mass Rapid Transit Corporation Sdn Bhd, akan memastikan kerja pembinaan terowong tidak menjejaskan bangunan di sepanjang laluan terbabit.

Dalam pada itu, Najib melalui Twitter semalam juga memberi jaminan bahawa sekolah jenis kebangsaan Cina di negara ini akan seperti sedia ada.

"Sekolah vernakular Cina adalah sebahagian daripada sistem pendidikan negara," katanya.
Seterusnya, Perdana Menteri turut memberitahu pengikut Twitter beliau bahawa rang undang-undang baru menggantikan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) 1960 sudah dibentangkan di Parlimen, semalam.

"Rang undang-undang baru yang bakal menggantikan ISA sudah dibentang di Parlimen, seperti dijanjikan pada 15 September tahun lalu," katanya.

Semalam, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz, membentangkan Rang Undang-Undang Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 bagi bacaan kali pertama di Dewan Rakyat, bertujuan memansuhkan ISA.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan