Jumaat, 13 April 2012

Berita Harian: Mutakhir

Berita Harian: Mutakhir


Mahkamah tolak permohonan batal lesen Lynas

Posted: 12 Apr 2012 05:09 AM PDT

Mutakhir

KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi hari ini menolak permohonan kebenaran yang difailkan 10 penduduk tempatan bagi membatalkan lesen operasi sementara (TOL) yang dikeluarkan oleh Lembaga Pelesenan Tenaga Atom (AELB) bagi projek kilang nadir bumi, Lynas Advanced Materials Plant (LAMP), di Gebeng, Pahang.

Hakim Datuk Rohana Yusuf, dalam penghakimannya, berkata selepas menimbang teliti bantahan permulaan oleh Pejabat Peguam Negara dan AELB, permohonan itu adalah pramatang.

Katanya, perkara itu masih menunggu rayuan di hadapan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Seri Dr Maximus Ongkili, dan lima lagi penduduk tempatan turut merayu terhadap isu sama kepada Jawatankuasa Khas Parlimen (PSC) Mengenai LAMP. Rohana berkata, berikutan tindakan AELB menggantung pengeluaran TOL bagi projek itu maka mahkamah bukan menjadi forum betul untuk menyemak semula permohonan itu.

Katanya, rayuan lima penduduk kepada menteri berkenaan dilakukan menurut syarat peruntukan relevan Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 dan ia harus dihormati dengan sewajarnya.

Berdepan dengan proses rayuan di hadapan menteri, katanya, mahkamah tidak boleh menjejaskan proses tersebut.

"Sekiranya mahkamah meneruskan kuasa semakan yang ada ke atas suatu keputusan yang sebenarnya menunggu rayuan menerusi peruntukan statutori, maka mahkamah akan menyebabkan rayuan itu berserabut dan oleh itu menjadikan ia tidak bermakna dengan apa yang digubal oleh Parlimen," katanya.
Beliau berkata, permohonan itu adalah pramatang dan sekiranya dibenarkan, ia mungkin mendorong kepada kekeliruan dan memalukan andainya hasil penemuan oleh menteri berkenaan berbeza dengan mahkamah.

Rohana juga menegaskan proses rayuan di hadapan menteri dan PSC mengenai perkara berkaitan alam sekitar dan kesihatan boleh diselesaikan yang mana ahli profesional dan pakar boleh dijemput untuk memberi input masing-masing.

Lagipun, katanya, responden pertama (AELB) menerusi sepucuk surat kepada Lynas bertarikh 23 Mac lalu sudah menggantung pengeluaran lesen sehingga selesai rayuan itu.

Pada 17 Februari lalu, penduduk berkenaan memfailkan permohonan itu dengan menamakan AELB yang menyelia pengeluaran, permohonan dan penggunaan tenaga atom dan bahan radioaktif, Ketua Pengarah Kualiti Alam Sekitar dan Lynas Malaysia Sdn Bhd (Lynas) sebagai responden.

Dalam permohonan itu, penduduk berkenaan memohon perintah "certiorari" bagi membatalkan keputusan AELB pada 30 Jan lalu bagi mengeluarkan lesen semtara kepada Lynas Malaysia.

Mereka juga memohon perintah bagi melarang AELB daripada mengeluarkan sebarang lesen sementara atau tetap kepada Lynas kecuali atau sehingga syarikat itu mengemukakan laporan penilaian lengkap mengenai kesan loji itu terhadap alam sekitar kepada Ketua Pengarah Kualiti Alam Sekitar dan sehingga laporan itu diluluskan. - BERNAMA

Proses demokrasi di Myanmar berterusan: Najib

Posted: 12 Apr 2012 05:06 AM PDT

Mutakhir

PUTRAJAYA: Datuk Seri Najib Razak berkata beliau percaya proses ke arah pendemokrasian dan tadbir urus lebih inklusif di Myanmar tidak akan berubah.

Perdana Menteri berkata, beliau yakin pandangan itu turut dikongsi ramai orang di Myanmar dan atas sebab itu, Sidang Kemuncak Asean baru-baru ini mencadangkan kepada negara yang mengenakan sekatan terhadap Myanmar supaya menyemak semula atau sekurang-kurangnya menangguhkan sekatan itu.

Najib berkata, selepas mengadakan pertemuan dengan Presiden Myanmar U Thein Sein di Naypyitaw baru-baru ini, beliau percaya presiden itu ikhlas dalam melaksanakan pembaharuan di Myanmar dan ini disokong oleh kenyataan bekas tahanan politik, Aung San Suu Kyi mengenai presiden itu. Beliau menegaskan adalah penting untuk memberi sokongan kepada Thein Sein, supaya beliau berasa bersemangat sekiranya beliau mendapat sokongan daripada masyarakat antarabangsa.

"...kerana akan wujud elemen yang mahu mengambil pendekatan lebih konservatif, pendekatan bersifat lebih totalitarian (di Myanmar), yang pastinya tidak baik untuk masa depan Myanmar," katanya pada sidang akhbar bersama dengan Perdana Menteri Britian David Cameron.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan