Khamis, 12 April 2012

Berita Harian: MukaDepan

Berita Harian: MukaDepan


Panik gempa Aceh

Posted: 11 Apr 2012 03:25 PM PDT

MukaDepan

Gempa bumi di Aceh, semalam, menyebabkan penduduk di beberapa negara merasai gegaran lari menyelamatkan diri

KUALA LUMPUR: Ribuan rakyat Malaysia terutama yang tinggal di bangunan tinggi dan kawasan Pantai Barat Semenanjung merasai gegaran kuat berikutan kejadian gempa bumi berukuran 8.7 pada skala Richter di Aceh, Sumatera Utara, pada jam 4.38 petang semalam.

Kira-kira dua jam kemudian, penduduk turut dikejutkan dengan gempa susulan pada jam 6.43 petang yang berukuran 8.5 pada skala Richter. Kedua-dua kejadian itu menyebabkan penduduk merasai gegaran berterusan hampir satu minit, dan gegaran lebih kuat dialami penduduk di Perlis, Langkawi, Kedah, Pulau Pinang dan Perak. Malah, penghuni bangunan tinggi dan hotel di sepanjang pantai peranginan di Batu Feringgi dan Pulau Langkawi diarah keluar dan berlindung di kawasan tanah tinggi berikutan kebimbangan berlaku tsunami.

Pesakit di Hospital Tengku Ampuan Afzan, Pahang dipindahkan ke wad pesakit luar, manakala di Hospital Selayang, Selangor yang turut merasai gegaran diminta supaya tidak panik dan ada yang mengambil langkah berjaga-jaga apabila keluar dari bangunan hospital berkenaan.

Majlis Keselamatan Negara Kedah mengarahkan semua penduduk di pesisir pantai Kedah terutama Langkawi dan Kuala Muda bersiap sedia untuk meninggalkan kediaman masing-masing.

Timbalan Ketua Pengarah (Ramalan), Jabatan Meteorologi Malaysia, Che Gayah Ismail, berkata setakat jam 10 malam tadi, nasihat supaya rakyat menjauhi kawasan pantai ditamatkan.
"Situasi yang semakin reda terutama di sekitar Indonesia membolehkan kita menarik balik nasihat itu," katanya ketika dihubungi di sini, semalam.

Sebaik tsunami berlaku petang semalam, jabatan itu mengeluarkan nasihat berkenaan yang wajar dipatuhi bagi memastikan tiada kejadian tidak diingini berlaku.

Che Gayah berkata, hasil pemantauan yang dijalankan, ombak setinggi 0.3 meter dikesan berlaku di Sabang, Aceh iaitu susulan kejadian gempa bumi pertama dan menurun kepada hanya 0.06 meter selepas gempa susulan.

Pada 26 Disember 2004, gempa bumi berukuran 9.1 skala Richter di kawasan sama mengakibatkan tsunami mengorbankan 170,000 penduduk Aceh, selain 60,000 penduduk di India, Sri Lanka, Thailand dan Malaysia.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Seri Hassan Abd Rahman, berkata hanya dua hospital iaitu Hospital Selayang dan Hospital Tengku Ampuan Afzan merasai gegaran akibat gempa bumi, petang semalam.

"Pihak Hospital Selayang menghubungi Jabatan Bomba dan Penyelamat untuk memeriksa jika berlaku kebocoran gas, manakala di Hospital Tengku Ampuan Afzan pula, sebahagian pesakit dipindahkan ke wad pesakit luar," katanya ketika dihubungi di sini, semalam.

Ketua Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat, Datuk Wan Mohd Noor Ibrahim, berkata pihaknya menerima 83 panggilan di seluruh negara berhubung gegaran dialami.

Katanya, Pulau Pinang mencatatkan paling tinggi iaitu 35 panggilan diikuti masing-masing Kuala Lumpur dan Kedah iaitu 12 panggilan. Jentera bomba turut ke lokasi kejadian untuk pemeriksaan lanjut.

"Kebanyakan panggilan diterima daripada mereka yang tinggal di bangunan tinggi. Semua anggota dan jentera bomba di seluruh negara kini diletakkan dalam berjaga-jaga," katanya.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Kuala Lumpur, Khirudin Drahman @ Hussaini, berkata pihaknya menjalankan pemeriksaan ke semua bangunan yang merasai gegaran sejurus menerima laporan berhubung kejadian itu, bermula jam 4.47 petang di Wangsa Maju.

Gempa bumi Aceh imbau tragedi tsunami 2004

KUALA LUMPUR: Gempa bumi 8.7 skala Richter yang melanda di pantai Aceh petang semalam, membawa kepada kenangan pahit tragedi gempa bumi melanda wilayah sama pada Disember 2004 yang mengorbankan 230,000 nyawa, manakala 500,000 kehilangan tempat tinggal.

Gempa bumi berukuran 9.1 skala Richter pada 26 Disember 2004, mencetuskan tsunami yang mengorbankan 170,000 penduduk Aceh, selain 60,000 penduduk di India, Sri Lanka, Thailand dan Malaysia.

Dalam kejadian itu, beberapa bandar utama di wilayah Sumatera Utara turut musnah selepas ombak tsunami setinggi sembilan meter 'menyapu' hampir bersih Banda Aceh, Calang dan Meulaboh kesan daripada gempa yang melanda Lautan Hindi.

Indonesia adalah satu-satunya negara yang paling teruk menerima kesan bencana itu, selain Sri Lanka, Thailand, India dan Malaysia.

Gempa bumi itu disifatkan kedua paling hebat dalam sejarah manusia serta kekuatannya dikatakan 1,500 kali lebih hebat daripada kekuatan bom atom yang memusnahkan Hiroshima, Jepun yang turut membunuh ratusan ribu manusia pada Perang Dunia Kedua.

Berbeza dengan tempat lain, Aceh ketika ini bukan saja menerima kesan akibat tsunami tetapi gempa bumi yang dahsyat sebelumnya ekoran pusat gempa yang berada tidak jauh dari wilayah berkenaan.

Sebelum bencana itu, Banda Aceh mempunyai kira-kira setengah juta penduduk dan kini jumlah penduduknya dianggarkan 300,000 orang saja.

Selain Aceh, kawasan berdekatan iaitu Pulau Nias dan Pulau Simeulue turut dilanda gempa bumi berukuran 8.7 skala Richter pada 26 Mac 2005 yang mengorbankan hampir 1,000 nyawa, genap tiga bulan selepas tragedi yang menimpa Aceh.

Aceh kini sedang dalam proses pembangunan semula selepas mengalami banyak kemusnahan prasarana hasil bantuan masyarakat antarabangsa dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

Komen Anda

Terima kasih diatas penyertaan anda. Berita Harian berhak untuk tidak memaparkan sebarang komen yang menyentuh isu-isu sensitif dan yang berbentuk iklan komersial. Alamat IP anda akan direkodkan dan mungkin digunakan untuk menghalang penghantaran komen seterusnya jika melanggar peraturan yang ditetapkan.

Senarai komen

syafiq firdaus bin kamarudin

kepada umat islam di luar sana mari larr kite beramai2 berdoa agar allah elak kn kita dari semua bencana..

norshiela roob

haruslah kita mengambil iktibar rakan2 dengan ujian ini

NuNi

sm0ga ALLAH sentiasa m'lindungi kalian..

nurul asyiqin

semua ini ada pengajaran atau iktibar yg perlu kita ambil.

fakhrul nabil

YA ALLAH .. kali pertama merasakan gegaran ini buatkan aty rasa berdebar .. takut .. YA ALLAH ..

wanjeff

Ya Allah...aku bsyukur di atas nikmat hidup yg Kau berikan pd kami d sini. Kpd smua saudara seislam ku...sesungguhnya terselit satu rahmat di atas apa yg blaku. Marilah bsama2 kita dekati diri kita pd yg maha kuasa...

Pelik

Mikael Haidar Abdul Manaf, Kenapa kena kaji balik?

sharifah zakiah musanif

dasyat!!!!! bertaubat lah!!

Mikael Haidar Abdul Manaf

kepada nik ariff raja yusoff, anta kena kaji balik pasal kiamat...:)

ExGaban

Ya Allah...Besar Sungguh Kuasa Mu

AZAN B AZMI

Siapa yg dpt menolong kamu kecuali allah swt. Bertaubatlah, banyakkan amal baik dan mengingati allah.

liza

sudah berlaku kejadian ngeri yang sebegini, mengapakah manusia masih leka untuk melakukan kebaikan dan bertaubat kepada ALLAH S.W.T.siapkah yang sepatutnya bertanggung jawab diatas muka bumi ini???? manusia bukan?? jadi apalagi marilah kita bertaubat memohon keampunan kepada ALLAH S.W.T .Jangan lah menjadi seorang yang sombong .moga anda semua mengambil ikhtibar di atas apa yang telah berlaku di tas muka bumi ini

nik ariff raja yusoff

Kiamat sudah semakin hampir.Tanda-tanda kedatangan hari pembalasan sudah semakin nyata.Hanya manusia yang lalai dan tidak berfikir sahaja tidak mengaitkan gempa bumi ini dengan peringatan Allah yang Maha kuasa.Wahai umat manusia marilak kita bersama kembali melaksanakan suruihan Allah dengan mengerjakan perintahNya dan menjauhkan dari segala laranganNya.Mari bersama bertaubat mohon keampunan dari dosa masa lalu.Mari kita kembali kepada Allah.Kepada yang bukan Islam marilah beramai menganut Islam.Hanya Islam ugama yang diredhai Allah.Dengan Islam dunia dan akhirat akan selamat.Insyaallah.


Daulat Tuanku

Posted: 11 Apr 2012 03:22 PM PDT

MukaDepan

TUANKU Abdul Halim Mu'azam Shah, 84, selamat ditabalkan sebagai Yang di-Pertuan Agong Ke-14 pada upacara penuh istiadat kebesaran Raja-Raja Melayu selepas sempurnanya lafaz ikrar sebagai Ketua Negara di Istana Negara, Kuala Lumpur semalam.

Sebaik selesai kemuncak Istiadat Pertabalan itu, tiupan nafiri dan paluan nobat dengan lagu Perang bergema di Balairong Seri, dan hadirin berdiri dan melaungkan `Daulat Tuanku' sebanyak tiga kali, diketuai pemangku Datuk Maharaja Lela Azwan Effendy Zairakithnaini.

Rakyat makin matang sedia masuki era baru KUALA LUMPUR: Datuk Seri Najib Razak berkata, kerajaan percaya selepas lebih separuh kurun merdeka dan mengamalkan demokrasi, masyarakat berbilang kaum di Malaysia sudah mencapai tahap kematangan yang tinggi dan bersedia memasuki era baru.

Berpegang kepada hal ini kata Perdana Menteri, kerajaan membatalkan tiga proklamasi darurat di mana fungsi kerajaan tidak lagi dilihat sebagai mengehadkan kebebasan individu, sebaliknya memastikan hak asasi yang dilindungi Perlembagaan bagi setiap individu itu terjamin.

"Selanjutnya, satu perimbangan adil, dapat pula ditemui antara kebebasan seseorang dan keselamatan kebangsaan," katanya berucap pada istiadat pertabalan Sultan Kedah Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-14 di Istana Negara di sini, semalam.

Beliau berkata, bersesuaian dengan iltizam itu, kerajaan melalui Parlimen sudah membatalkan tiga proklamasi darurat yang masih berkuasa dan akan membiarkan semua ordinan di bawah perisytiharan itu mansuh pada Jun ini kecuali tiga ordinan yang akan dibentangkan sebagai rang undang-undang baru di Parlimen iaitu yang berkaitan dengan RELA, Rukun Tetangga dan Undang-Undang Laut Wilayah.
Perdana Menteri berkata, kerajaan juga memansuhkan Akta Kediaman Terhad, Akta Buang Negeri dan menggubal Akta Perhimpunan Aman serta meminda Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU).

Isnin ini, beliau akan membentangkan rang undang-undang bagi memansuhkan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) pada Persidangan Dewan Rakyat.

"Pada hemah kerajaan, meskipun ISA sudah banyak berjasa kepada negara, ia telah pun melampaui jangka hayat kegunaannya. Kita memerlukan kerangka baru perundangan keselamatan nasional dalam era kontemporari yang semakin kompleks," katanya.

Mengikut undang-undang baru, katanya, kerajaan mengambil keputusan menghapuskan kuasa tahanan tanpa perbicaraan dimiliki Menteri Dalam Negeri, manakala tahanan oleh pihak berkuasa bagi tujuan siasatan kini dipendekkan.

"Kuasa semakan kehakiman pula dikembalikan sepenuhnya kepada Mahkamah. Rang Undang-Undang ini juga menjamin tiada seorangpun rakyat Malaysia boleh ditahan kerana kepercayaan atau aktiviti politiknya," katanya.

Najib berkata, Rang Undang-Undang Kesalahan Keselamatan yakni Langkah-Langkah Khas yang dibacakan pertama kali di Persidangan Dewan Rakyat kelmarin, bukan saja akan memastikan pihak berkuasa mempunyai senjata perundangan yang cukup bagi memerangi keganasan global dan mempertahankan demokrasi berParlimen di Malaysia, tetapi juga untuk memelihara hak kebebasan warga negara.

"Semua prakarsa, inisiatif dan program ini adalah tidak lain dan tidak bukan untuk memastikan tempoh pemerintahan Tuanku, Insya-Allah, akan menempa sebuah kala demokrasi keemasan di Malaysia," katanya.

Menyentuh hubungan Raja dan rakyat, Perdana Menteri berkata, sejarah membuktikan apabila perhubungan antara keduanya disuburi keharmonian serta dibajai emosi dan kerohanian yang mendalam, sebarang kemelut dapat ditangani dengan jayanya.

"Kendatipun pertautan Raja dan rakyat sedang menelusuri jejak-jejak waktu, namun ia kekal relevan mendakap realiti semasa," katanya. Najib, mewakili kerajaan dan rakyat seluruhnya, turut merakamkan rasa bangga kerana tonggak institusi Yang di-Pertuan Agong sebagai kepala utama negara kembali dipegang oleh Tuanku Abdul Halim yang sangat berpengalaman dan terkenal mengasihi rakyat jelata.

Katanya, istiadat pertabalan penuh bersejarah hari ini, di mana Tuanku Abdul Halim ditabalkan sebagai Yang di-Pertuan Agong buat kedua kalinya, juga turut menjadi perlambangan betapa utuhnya institusi kebangsaan yang terzahir sejak lebih lima dekad lalu.

"Inilah cerminan kebijaksanaan pentadbiran bapa-bapa pengasas pertiwi tercinta yang bertali arus lagi sambung menyambung sejak Almarhum Tunku Abdul Rahman sampailah kini dalam mengadun dan menenun fabrik warisan lampau serta keperluan masa depan demi mencipta kestabilan nasional," katanya.

Komen Anda

Terima kasih diatas penyertaan anda. Berita Harian berhak untuk tidak memaparkan sebarang komen yang menyentuh isu-isu sensitif dan yang berbentuk iklan komersial. Alamat IP anda akan direkodkan dan mungkin digunakan untuk menghalang penghantaran komen seterusnya jika melanggar peraturan yang ditetapkan.

Senarai komen

Tengku Mokhin Tengku Ismail

Daulat Tuanku.....Daulat Tuanku....
Semoga Tuanku kekal karar memerintah Negara dgn aman dan makmur....Amin


Tiada ulasan:

Catat Ulasan