Isnin, 16 April 2012

Harian Metro: Mutakhir

Harian Metro: Mutakhir


Penganggur didenda RM2,000 kerana ugut anak, isteri

Posted: 16 Apr 2012 03:10 AM PDT

KUALA LUMPUR: Seorang penganggur hari ini didenda RM2,000 atau penjara sebulan oleh Mahkamah Majistret di sini selepas mengaku bersalah terhadap dua pertuduhan mengugut anak dan isterinya, bulan lalu.

Majistret Suzarika Sahak menjatuhi hukuman itu terhadap A John Leo, 55, kerana mengugut anaknya William Leo Pereira, 20, pembantu khidmat pelanggan sebuah syarikat telekomunikasi dengan mengancam hendak mendatangkan kematian dengan berkata "saya akan bakar rumah ini dan membunuh kamu jika tidak keluar dari rumah ini".

Bagi pertuduhan kedua, John didakwa mengugut isterinya Treasa Fernandez, 56, seorang suri rumah dengan kata-kata ugutan sama.

Dia yang membayar denda itu, didakwa melakukan kesalahan berkenaan di sebuah rumah, di 20-1, Jalan 10/40, Pusat Kepong di sini pada 11 pagi dan 11.30 malam, 17 Mac lalu.


Dia didakwa mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.


Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nor Aizam Aiza Zamran manakala tertuduh tidak diwakili peguam. - Bernama




Suami dipenjara 12 tahun sebabkan kematian isteri

Posted: 16 Apr 2012 03:07 AM PDT

KUANTAN: Mahkamah Tinggi di sini hari ini menjatuhi hukuman penjara 12 tahun terhadap seorang tukang cetak selepas mengaku bersalah menyebabkan kematian isterinya, tahun lalu.

Ketika menjatuhi hukuman itu terhadap Lee Kim Fook, 52, Hakim Datuk Mariana Yahya turut memerintahkan supaya hukuman bermula dari tarikh tertuduh ditahan iaitu pada 28 Jun 2011.

Lee mengaku bersalah terhadap pertuduhan pilihan mengikut Seksyen 304 (a) Kanun Keseksaan iaitu menyebabkan kematian isterinya, Yap Kwee Yin, 51, antara jam 7 pagi dan 10 pagi di rumah mereka di Lorong Seri Setali 78, Taman Klasik di sini pada 28 Jun tahun lalu.

Sebelum ini, dia didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman mati, jika sabit kesalahan.


Mengikut kertas pertuduhan, jiran mereka menemui mayat isteri tertuduh dalam keadaan terlentang di dalam stor rumah mereka yang dikunci dari luar jam 1 tengah hari pada hari kejadian sebelum memaklumkannya kepada polis.


Terdahulu di sebelah pagi, jiran berkenaan terdengar pasangan suami isteri itu bergaduh mengenai saman Majlis Perbandaran Kuantan (MPK) namun tidak mengetahui apa yang berlaku seterusnya.

Sejurus selepas kejadian, anggota keluarga Yap dan polis cuba menghubungi Lee yang melarikan diri selepas kejadian itu tetapi gagal sehinggalah tertuduh menghubungi adiknya pada jam 8.45 malam untuk memberitahu bahawa dia telah menyebabkan kematian isterinya.

Lee memberitahu bahawa dia telah menolak Yap ke dinding, naik ke atas badan dan menindih isterinya dengan lutut sambil mencekik lehernya setelah berang dengan tindakan Yap yang berleter mengenai saman MPK sebelum meninggalkan mangsa dengan menguncikan pintu rumah dari luar.

Selepas pengakuan itu, adik Lee menyerahkan abangnya itu kepada pihak polis untuk membantu sisatan.

Bedah siasatan yang dilakukan di Hospital Tengku Ampuan Afzan di sini mendapati kematian mangsa disebabkan 'pressure to the neck' dengan mangsa disahkan patah empat tulang rusuk sebelah kanan yang menyebabkan tertusuk ke limpa selain lebam dan pendarahan di kepala serta leher. - Bernama




Tiada ulasan:

Catat Ulasan