Selasa, 17 April 2012

Berita Harian: Mutakhir

Berita Harian: Mutakhir


3 lelaki menyamar pegawai Bukit Aman ditahan tipu RM660,000

Posted: 17 Apr 2012 03:03 AM PDT

Mutakhir

MELAKA: Polis menahan tiga lelaki yang dipercayai menipu seorang pesara kerajaan membabitkan wang tunai RM660,000 dengan menyamar sebagai pegawai polis dari Bukit Aman.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Melaka, Superintendan Soh Hock Sin, berkata seorang daripada suspek ditahan di Muar pada Sabtu lalu, manakala dua lagi ditahan hari ini di Johor Bahru.

Mengulas kes berkenaan di sini, Soh berkata pengadu mendakwa dia menerima panggilan telefon kononnya dari Bukit Aman pada Januari lalu, yang mengatakan dia sedang disiasat berhubung beberapa kes memperolehi duit secara haram. "Pengadu telah diperdaya untuk memasukkan wang tunai sebanyak 10 kali melalui akaun deposit tunai pemanggil sehingga awal April yang semuanya berjumlah RM660,000 bagi menutup kes itu," katanya.

Soh berkata pengadu menyedari diperdaya selepas mendapati dia tidak disiasat polis dan membuat laporan polis pada 9 April lalu.

Dalam satu lagi kes, polis menahan seorang wanita kerana membeli barangan bernilai RM3,000 di sebuah kompleks beli-belah di sini, menggunakan kad kredit milik individu lain pada 13 April lalu.

Soh berkata wanita terbabit ditahan di rumahnya di Tengkera semalam, susulan laporan polis yang dibuat pemilik kad kredit terbabit pada hari berkenaan.
"Pengadu hanya menyedari kad kreditnya hilang apabila menerima satu panggilan dari pihak bank bertanyakan sama ada beliau membeli beberapa barang pada hari berkenaan," katanya.

Polis katanya berjaya mengesan wanita itu menerusi rakaman kamera litar tertutup sebelum melakukan serbuan di rumahnya dan menemui dua utas jam tangan berjenama Seiko dan Solvil serta beg duit berjenama Carlo Rino yang dibeli menggunakan kad kredit terbabit. - BERNAMA

Nenek, cucu rentung dalam kebakaran di Sandakan

Posted: 17 Apr 2012 02:53 AM PDT

Mutakhir

SANDAKAN: Seorang wanita dan cucu perempuannya rentung apabila rumah mereka musnah dalam kebakaran di Kampung Minusu Jalan Pinangah Kuamut, kira-kira 170 kilometer dari sini, semalam.

Mayat Jumah Gaurod, 48, dan Adriana Chrisdayehillyn, 6, ditemui rentung di bawah rangka kayu rumah itu.

Empat lagi penghuni rumah itu yang dikenali sebagai Fulgentius Welson, 27, Cornlius Radi, 26, Adrian Radi, 23, dan adik bongsu mangsa, Nicy Fulgentius, 4, berjaya menyelamatkan diri dengan keluar melalui tingkap. Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Sandakan, Jemishin Ujin, berkata kebakaran pada 12 tengah malam itu berlaku ketika kesemua penghuni rumah berkenaan sedang tidur.

"Kami menerima panggilan kecemasan pada 12.24 tengah malam dan hanya tiba di lokasi kejadian pada pukul 5.15 pagi disebabkan lokasinya yang jauh.

"Ketika sebuah jentera dan dua kenderaan utiliti bersama sembilan anggota bomba tiba di tempat kejadian, rumah dua tingkat itu hanya tinggal rangka," katanya.

Beliau berkata punca kebakaran dan jumlah kerugian masih disiasat. - BERNAMA

Tiada ulasan:

Catat Ulasan