Ahad, 1 April 2012

Berita Harian: Mutakhir

Berita Harian: Mutakhir


Polis selesai kes simbah asid di Rawang

Posted: 01 Apr 2012 01:35 AM PDT

Mutakhir

SHAH ALAM: Siasatan kes simbah asid membabitkan seorang guru dan pelajar di hentian bas Batu 17, Rawang 27 Mac lalu selesai dengan tangkapan seorang lagi lelaki Jumaat lalu, kata polis.

Ketua Polis Selangor, Datuk Tun Hisan Tun Hamzah, berkata lelaki berusia 34 tahun itu ditahan di hadapan sebuah kedai telefon bimbit di Jalan Bandar, Rawang pada jaml 5 petang Jumaat lalu.

"Ia adalah tangkapan kedua melibatkan kes simbah asid di Rawang selepas suspek pertama ditahan pada pukul 1 pagi hari yang sama di Kuala Kubu Baharu. "Dengan tertangkapnya kedua-dua suspek itu, kami percaya kes ini telah selesai," katanya kepada pemberita di Ibu Pejabat Polis Kontinjen di sini, hari ini.

Pada 27 Mac lalu, seorang pelajar perempuan dan seorang guru wanita cedera selepas kedua-duanya disimbah cecair dipercayai asid ketika sedang menunggu bas untuk ke sekolah di perhentian bas Batu 17, Rawang.

Dalam kejadian kira-kira jam 7 pagi itu, mangsa, Nuraqilah Osman, 14, dan S. Rani, 46, difahamkan dihampiri dua lelaki tidak dikenali.

Kedua-dua suspek kemudiannya dipercayai meragut seutas rantai emas guru sekolah itu sebelum menyimbah cecair berkenaan ke arah mangsa serta pelajar itu lalu melarikan diri.
Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Abdul Rahim Abdullah pada sidang media sehari selepas kejadian berkata, kes simbah asid itu tidak mempunyai kaitan dengan kejadian simbahan asid berangkai yang berlaku di sekitar Lembah Klang sebelum ini.

Sebaliknya, kata beliau, siasatan awal mendapati kejadian membabitkan kedua-dua mangsa itu bermotifkan jenayah ragut. - BERNAMA

Polis tahan sembilan suspek kes culik di Seri Kembangan

Posted: 01 Apr 2012 01:31 AM PDT

Mutakhir

SHAH ALAM: Sembilan individu termasuk seorang Inspektor polis ditahan bagi membantu siasatan berhubung kes culik seorang pengurus projek di tapak pembinaan di kawasan perindustrian Seri Kembangan 22 Mac lalu.

Ketua Polis Selangor, Datuk Tun Hisan Tun Hamzah, berkata sembilan suspek berumur antara 26 dan 48 tahun itu ditahan di Kajang dan Rawang semalam sebaik mangsa dibebaskan pada jam 6.30 pagi hari sama.

Pegawai polis berusia 43 tahun itu, yang mempunyai rekod jenayah lampau telah digantung kerja sejak tahun 2010, katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor di sini, hari ini. Beliau berkata, polis turut menemui semula wang tebusan sebanyak RM275,850 dan merampas beberapa buah kereta, antaranya Proton Gen 2, Honda Odyssey dan Proton Waja, sebuah motosikal, sebuah treler, parang, topeng, kad Touch n Go dan Smart Tag daripada suspek.

"Kami hanya menemui semula RM275,850 daripada sejumlah RM300,000 yang dibayar oleh bapa mangsa," katanya.

Lelaki berusia 34 tahun itu diculik pada 22 Mac ketika dalam perjalanan untuk meninjau tapak pembinaan di Seri Kembangan. Laporan polis mengenai penculikan itu dibuat oleh bapa mangsa pada pukul 11 pagi hari yang sama mangsa diculik.

Suspek membawa mangsa ke Rawang dan mengurungnya di sebuah rumah di sana.
Mereka kemudian meminta wang tebusan sebanyak RM1.5 juta, dan jumlah itu dikurangkan kepada RM300,000 selepas berunding dengan bapa mangsa, yang juga rakan kongsi perniagaan dengan anaknya.

Tun Hisan berkata, tiga daripada sembilan lelaki terbabit, termasuk pegawai polis itu mempunyai rekod jenayah lampau.

Kesemua suspek ditahan reman sehingga 7 April bagi membantu siasatan, katanya. - BERNAMA

Tiada ulasan:

Catat Ulasan