Utusan Online - Utara |
- Terus dibayangi kekotoran
- Agihan petrol subsidi pulih
- Kaunter bergerak SSM mudahkan peniaga daftar syarikat
Posted: Terus dibayangi kekotoranOleh MALINDA ABDUL MALIK
PULAU PINANG 2 Mei – Di sebalik kekayaan nilai sejarah serta keunikan budaya penduduknya, Pulau Pinang terus dibayangi isu kekotoran yang selama ini dianggap kudis dalam sektor pelancongan tempatan. Walaupun banyak papan tanda larangan membuang sampah terpampang besar di merata tempat, sikap tidak bertanggungjawab segelintir penduduk gemar membuang sampah menyebabkan masalah tersebut berlarutan. Kempen 'Pulau Pinang Bersih, Hijau' yang sering dilaungkan-laungkan nampaknya hanya tinggal slogan apabila masalah kekotoran masih boleh dilihat di banyak tempat. Entah di mana silapnya, keindahan pesisir pantai yang selama ini mengangkat nama Pulau Pinang dalam kalendar pelancongan negara, kini turut berdepan ancaman kekotoran. Malah tidak keterlaluan jika dikatakan ia sudah dijadikan 'tong sampah' oleh pihak tidak bertanggungjawab. Antara kawasan terbabit adalah Persiaran Gurney dipenuhi timbunan sampah-sarap yang menyakitkan mata dapat dilihat walaupun ia sangat dikenali sebagai antara lokasi riadah yang terkenal. Dulu, Persiaran Gurney adalah pilihan penduduk tempatan dan pelancong luar untuk bersantai bersama kenalan mahupun keluarga. Tembok batu yang dibina sepanjang pesisir pantai pula membolehkan pengunjung duduk dan merasai hembusan angin selain menjadi tempat kaki pancing beradu nasib mendapat hasil laut. ''Tapi itu dulu. Pemandangan indah dengan pukulan ombak memecah desiran pasir putih sudah tiada lagi sebaliknya bertukar dipenuhi lumpur tebal kehitaman terutama apabila air surut. ''Saya takut, kalau dibiarkan, keadaan menjadi lebih teruk kelak," luah seorang peniaga, Habibul Rahman Mohamad, 43, ketika ditemui Utusan Malaysia baru-baru ini. Habibul Rahman memberitahu, selain pantai di Persiaran Gurney, banyak sungai sekitar Pulau Mutiara turut menerima nasib sama dan ia diburukkan lagi dengan longgokan sampah tidak dikutip beberapa hari. Menurutnya, lebih menyedihkan dan memalukan kerana masalah itu sudah berlarutan sejak sekian lama tetapi sehingga kini tiada langkah sewajarnya diambil bagi menanganinya. ''Masalah ini berlaku hampir di semua sungai di Pulau Pinang. Ada antaranya pernah menjadi tempat berkelah tetapi sekarang sudah jadi tempat longgokan sampah yang menjijikkan," katanya. Dia menambah, pihak berkuasa perlu mengambil langkah sewajarnya bagi memastikan pesisir pantai serta sungai-sungai di negeri ini diselamatkan daripada ancaman kekotoran yang semakin membimbangkan. ''Jangan ambil mudah isu ini kerana jika kekotoran sudah tidak dapat ditangani, maka usaha membetulkan keadaan pasti mengambil masa yang panjang malah generasi akan datang tidak lagi dapat melihat keindahan sungai," ujarnya. Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price. | ||
Posted: Agihan petrol subsidi pulihOleh ABDUL MUIN SAPIDIN BUKIT MERTAJAM 2 Mei – Lebih 300 nelayan sekitar Kuala Muda dekat sini yang tidak turun ke laut gara-gara tidak memperoleh petrol subsidi sejak Jumaat lalu kini sudah boleh menarik nafas lega apabila sistem pengagihan bahan bakar itu sudah pulih sepenuhnya hari ini. Pengarah Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) negeri, Raja Khalid Raja Ariffin berkata, syarikat perunding yang dilantik melaksanakan sistem tersebut sudah menyelesaikan masalah teknikal yang berlaku sejak beberapa hari lalu. Menurutnya, masalah berkenaan berlaku ekoran proses pelaksanaan penggunaan MyKad nelayan bagi mendapatkan petrol subsidi di stesen-stesen minyak terpilih berkuatkuasa bulan ini. "Sebelum ini, nelayan menggunakan kad pintar e-petrol untuk mendapatkan petrol tetapi apabila penggunaan MyKad mula dikuatkuasakan, kita dapati wujud sedikit masalah teknikal. "Tetapi syarikat perunding berkenaan sudah mengatasi masalah tersebut dan nelayan boleh mendapatkan petrol bersubsidi seperti biasa," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini. Kira-kira 300 nelayan Kampung Kuala Muda semalam mengadu tidak dapat turun ke laut sejak empat hari lalu kerana menghadapi masalah mendapatkan petrol subsidi di stesen-stesen minyak sekitar sini menghadapi masalah. Nelayan terbabit mendakwa, masalah itu bermula ekoran sistem kad pintar, e-petrol yang diguna pakai sebelum ini digantikan dengan penggunaan MyKad bagi mendapatkan petrol subsidi. Ekoran masalah itu, sebahagian besar daripada nelayan kawasan tersebut terpaksa membeli sendiri petrol tanpa subsidi di stesen minyak sehingga menjejaskan pendapatan mereka. Raja Khalid bagaimanapun menjelaskan, perubahan kaedah pengagihan petrol subsidi adalah sebagai menyahut seruan kerajaan untuk menjadikan MyKad sebagai kad pintar bagi pelbagai urusan di pejabat agensi kerajaan. "Tidak timbul soal kita hendak membebankan nelayan kerana masalah teknikal yang berlaku hanya bersifat sementara dan ia sudah diselesaikan. Kalau ada sebarang masalah, nelayan boleh merujuk kepada LKIM untuk tindakan lanjut," ujarnya. | ||
Kaunter bergerak SSM mudahkan peniaga daftar syarikat Posted: Kaunter bergerak SSM mudahkan peniaga daftar syarikatALOR SETAR 2 Mei - Kesibukan bukan lagi alasan untuk peniaga memohon atau memperbaharui lesen perniagaan dengan penyediaan kaunter bergerak Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) di sekitar daerah ini. Begitu juga dengan 483 peniaga di pasar besar di sini yang boleh melaksanakan urusan demikian di Kaunter Bergerak Pendaftaran Perniagaan (KBPP) di pasar terbabit. Program tersebut dijalankan dengan kerjasama SSM, Persatuan Peniaga Pasar Besar Alor Setar dan Persatuan Penjaja Kota Setar. Pengerusi Persatuan Peniaga Pasar Besar Alor Setar, Mohd. Fauzi Sharip memberitahu, program itu dilaksanakan sejak empat tahun lalu bagi memudahkan peniaga berurusan dengan agensi kerajaan tersebut. Katanya, menerusi KBPP peniaga tidak perlu meninggalkan perniagaan semata-mata mahu berurusan dengan SSM sebaliknya agensi kerajaan berkenaan datang kepada peniaga. "Peniaga boleh berniaga seperti biasa dan setelah selesai berniaga mereka boleh berurusan di kaunter itu," katanya di sini hari ini. Turut hadir meninjau kaunter yang dibuka mulai pukul 9 pagi hingga 2 petang itu ialah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kubang Rotan, Mohd. Nasir Mustafa. Dalam pada itu, Penolong Pendaftar SSM negeri, Zahidah Ibrahim memberitahu, di kaunter itu peniaga boleh membuat urusan seperti pendaftaran peniagaan dan pembaharuan lesen perniagaan. "Walaupun kaunter itu dibuka sekitar lima jam, namun ia mendapat sambutan menggalakkan daripada peniaga dengan menerima lebih 60 pelanggan pada tahun lalu," katanya. Seorang peniaga yang ditemui, Ahmad Fazli Khalid, 35, menyambut baik perkhidmatan itu kerana mereka tidak perlu pergi ke pusat bandar untuk berurusan dengan SSM. "Selepas selesai berniaga boleh terus berurusan di SSM. Ia memudahkan peniaga yang sibuk dengan rutin harian mereka," katanya. |
You are subscribed to email updates from Utusan Online - Utara To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan