Utusan Online - Timur |
- Festival Kenyir bermula esok
- Lokan jadi pilihan penggemar makanan laut
- Masih siasat kebakaran pejabat DUN
Posted: Festival Kenyir bermula esokOleh FAUZI MOHD. KUALA TERENGGANU 4 Mei - Tasik Kenyir bakal menjadi tumpuan umum dalam suasana penuh kemeriahan sepanjang tiga hari bermula Jumaat ini dengan berlangsungnya Festival Kenyir. Pengurus Besar Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (Ketengah), Hamzah Ngah berkata, pelbagai acara yang sebahagiannya belum disaksikan seperti belon udara panas dijangka menarik kira-kira 20,000 pengunjung. Program anjuran agensi itu dengan kerjasama kerajaan negeri serta Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah diadakan sempena sambutan ulang tahun ke-38 Ketengah. Katanya, program yang tertumpu di sekitar Pengkalan Gawi, Tasik Kenyir itu bertujuan meningkatkan kunjungan pelancong serta memaparkan kesesuaian tasik berkenaan untuk pelbagai jenis aktiviti rekreasi dan sukan darat, air dan udara. "Program itu juga sebagai persiapan awal dalam usaha mempromosi Tasik Kenyir sebagai zon bebas cukai yang dijangka beroperasi Ogos tahun depan. "Festival itu turut memperkenalkan program 'Kenyir Island Hopping' di mana pulau-pulau diberikan daya tarikan dengan taman orkid, taman buah-buahan tropika, taman herba, taman burung dan taman rama-rama," katanya di sini baru-baru ini. Menurut Hamzah, lebih 170 gerai pameran dan jualan daripada agensi kerajaan dan swasta di samping usahawan dari wilayah Ketengah mengambil bahagian dalam program itu. Pelbagai aktiviti air bakal menarik minat pengunjung katanya, seperti pertandingan jet ski, triathlon Kenyir, bot berhias, pertunjukan perahu naga Putrajaya dan permainan bot kawalan jauh. "Selain pertunjukan belon udara panas yang bakal mewarnai langit Tasik Kenyir, festival turut dimeriahkan dengan penampilan krew produksi dan pelakon siri kartun terkenal, Upin dan Ipin," katanya. Sementara itu, pihak penganjur turut memberi kemudahan kepada orang ramai dengan menyediakan pengangkutan bas dan van dari Bandar Kuala Berang, Hulu Terengganu ke Pengkalan Gawi. Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price. |
Lokan jadi pilihan penggemar makanan laut Posted: Lokan jadi pilihan penggemar makanan lautKOTA BHARU 4 Mei - Lokan merupakan sejenis hidupan cangkerang yang boleh dimakan seperti lala, kima, tijah dan etak yang banyak ditemui di kawasan berpasir berhampiran muara. Dikenali sebagai Polymesoda Expansa dalam bahasa saintifiknya, haiwan ini juga boleh didapati di dalam lumpur di kawasan paya nipah yang menjadi sumber mata pencarian kebanyakan masyarakat yang tinggal berhampiran sungai. Menurut seorang peraih, Nik Ramlah Nik Yusof, 45, ketika ditemui di Pantai Sri Tujuh, Tumpat di sini semalam, selama 12 tahun berniaga pelbagai jenis ikan kering, kerang, lala, etak termasuk lokan di kawasan tersebut, sambutan orang ramai tidak pernah surut. ''Kebanyakan pelanggan terdiri dari kalangan mereka yang hendak berkhemah di kawasan pantai. Mereka akan mendapatkan bekalan lokan di sini untuk dibakar, cicah dengan air asam untuk dimakan beramai-ramai. ''Ada juga yang membeli lokan untuk dimasak lemak yang dicampur dengan terung atau kobis. Di samping itu, lokan juga enak dibuat masak lemak cili padi, sambal tumis dengan taugeh atau lobak merah. Malah direbus pun sedap," katanya. Nik Ramlah menambah, di kawasan tempat tinggalnya di Tumpat, lokan juga boleh didapati di dalam pasir di kawasan paya nipah tanpa mengira musim. Bagaimanapun katanya, ia bergantung kepada kemahiran pencari lokan untuk mengenal pasti kawasan lokan yang mempunyai saiz besar. ''Kebanyakan pencari lokan adalah kalangan nelayan yang tidak turun ke laut mencari ikan atau anak-anak nelayan yang menghabiskan cuti hujung minggu atau cuti persekolahan untuk mencari wang saku. ''Seorang pencari lokan mampu memperoleh 30 kilogram lokan sehari terutama ketika air surut kerana kalau air pasang sukar pula mengharung air untuk mengorek pasir bagi memperolehinya," ujarnya yang turut menjual ikan masin seperti gelama, cencaru, pelata, tamban dan bilis. Katanya lagi, lokan yang tidak habis dijual boleh disimpan kerana haiwan tersebut dapat hidup sehingga seminggu dalam air biasa. Menurut Nik Ramlah, dia menjual lokan dengan harga RM5 bagi tiga kilogram. ''Dengan hasil jualan gerai ini termasuk lokan, saya mampu menyara hidup bersama sembilan anak yang berusia sembilan hingga 26 tahun sambil di bantu suami,'' ujarnya. Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price. |
Masih siasat kebakaran pejabat DUN Posted: Masih siasat kebakaran pejabat DUNPASIR PUTEH 4 Mei - Polis masih meneruskan siasatan berhubung kes kebakaran pejabat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pas Gaal, Dr. Nik Mazian Mohamed di sini Sabtu lalu. Ketua Polis Daerah, Deputi Supritendan Mohd. Kamal Zainal berkata, siasatan dijalankan di bawah Seksyen 436 melibatkan kes khianat ke atas bangunan. "Bagaimanapun, pihak polis tidak boleh memberi sebarang ulasan lanjut mengenai perkara itu sehingga siasatan dijalankan selesai," katanya ketika dihubungi di sini hari ini. Kebakaran dilaporkan berlaku pada pukul 3.40 pagi selepas ADUN Pas itu menang dalam pertandingan sengit merebut jawatan Yang Dipertua Pas kawasan Pasir Puteh yang diadakan Sabtu lalu. Bagaimanapun kebakaran itu berjaya dipadamkan oleh penduduk kampung yang tinggal berdekatan sebelum merebak keseluruhan bangunan berkenaan. Dalam pertandingan yang diadakan sempena muktamar dan mesyuarat agung tahunan PAS yang diadakan di Taman Rehlah Semerak, Sabtu lalu, Nik Mazian menang dengan majoriti tiga undi sahaja mengalahkan pencabarnya iaitu Ahli Parlimen Pas Pasir Puteh, Mohamad Hussin. Sementara itu, Pegawai Penjaga Balai Bomba dan Penyelamat Pasir Puteh, Kaharuddin Yahya berkata, lima anggota bomba yang diketuainya bergegas ke tempat kejadian selepas menerima panggilan kecemasan daripada orang awam yang telah berjaya memadamkan kebakaran. "Hasil pemeriksaan mendapati sebuah meja, kerusi dan permaidani dalam bangunan berkenaan hangus. Bomba masih menjalankan siasatan lanjut untuk mengesan punca kebakaran," katanya. |
You are subscribed to email updates from Utusan Online - Timur To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan