Utusan Online - Muka Hadapan |
- Disyaki menipu, salah guna lesen
- Swasta digesa kerja keras
- Sidang ASEAN tumpu penyelesaian konflik serantau
Disyaki menipu, salah guna lesen Posted: Disyaki menipu, salah guna lesenOleh NOOR AZMAH IBRAHIM KUALA LUMPUR 4 Mei - Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seri Kembangan, Ean Yong Hian Wah, Setiausaha politiknya, Teoh Beng Hock dan kontraktor, Lee Wye Wing disyaki terlibat dalam kegiatan menipu kerajaan negeri Selangor dengan menyalahgunakan lesen syarikat kontraktor bumiputera bagi mendapatkan projek serta program di bawah peruntukan wakil rakyat. Pegawai siasatan Bahagian Pemeriksaan dan Perundingan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Ahmad Shafik Abdul Rahman @ Alwee berkata, elemen kesalahan di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan dan bersubahat itu ditemui selepas beliau mengambil alih siasatan yang sebelum itu dikendalikan oleh SPRM Selangor mulai 27 Ogos 2009. Katanya, intipati kesalahan sudah mencukupi kerana Wye Wing yang merupakan kontraktor bukan bumiputera menyedari bahawa projek yang diperoleh daripada kerajaan negeri Selangor dengan meminjam nama syarikat kontraktor bumiputera, adalah dikhaskan untuk bumiputera sahaja. Bagaimanapun, siasatan lanjut terhadap kesalahan tersebut tidak dapat dilakukan berikutan kematian Beng Hock selain kontroversi dan keadaan yang tidak sesuai selepas kejadian tersebut. ''Bagi saya keterangan Beng Hock paling penting. Walaupun kes merujuk kepada Seksyen 18 (tuntutan palsu), terdapat juga kesalahan lain yang boleh disiasat seperti Seksyen 23 (salah guna kuasa) atau menipu di bawah Kanun Keseksaan. ''Saya ada berbincang dengan pihak atasan, tetapi memandangkan keadaan dan senario pada ketika itu, kita tidak boleh siasat lanjut kesalahan lain kerana kemungkinan tidak akan dapat keterangan yang diperlukan terutama keterangan Beng Hock,'' jelas beliau. Menurut Ahmad Shafik, keterangan Hian Wah yang merupakan suspek utama dalam siasatan berhubung 80 projek di kawasannya serta ADUN angkat, Kuala Kubu Bharu juga tidak dapat dirakamkan kerana keadaan semasa yang kontroversi serta telah dipolitikkan oleh pihak tertentu. Sementara kenyataan Wye Wing terpaksa dirakam beberapa kali berikutan gangguan oleh beberapa peguam termasuk yang tidak dilantik oleh kontraktor itu kerana pihak SPRM terpaksa mengikut kesesuaian masa mereka selain tidak dibenarkan menyoal siasat selepas pukul 5.30 petang. Katanya, hasil siasatan beliau bagaimanapun mendedahkan sebanyak sembilan syarikat kontraktor bumiputera digunakan oleh Wye Wing untuk meraih projek dan program di bawah peruntukan ADUN negeri Selangor. Katanya, penyalahgunaan lesen kontraktor bumiputera kelas F itu menyalahi tatacara Perbendaharaan Negeri Selangor yang terikat dengan arahan Perbendaharaan Kementerian Kewangan. Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price. |
Posted: Swasta digesa kerja kerasOleh MOHD. ASRON MUSTAPHA KUALA LUMPUR 4 Mei – Datuk Seri Najib Tun Razak menggesa sektor korporat di negara ini supaya berusaha keras bagi memastikan Malaysia terus berkembang pesat di persada dunia. Perdana Menteri berkata, usaha keras tersebut penting bagi memastikan syarikat dan produk tempatan mendapat sambutan di pasaran global yang diakui cukup kompetitif. "Sektor korporat Malaysia perlu memainkan peranan penting di pasaran global dengan penuh nilai kreativiti dan inovatif bagi memastikan syarikat tempatan mampu bersaing di pasaran antarabangsa. "Ini juga bagi memastikan apa saja bidang yang diceburi syarikat Malaysia akan mengecapi kejayaan," katanya ketika berucap pada majlis makan malam Program Tokoh Korporat anjuran Institut Pengurusan Malaysia (MID) di sini malam ini. Hadir sama Presiden MID, Tan Sri Lim Kok Wing; Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd. Sidek Hassan. Pada majlis itu, Perdana Menteri turut menerima Anugerah Kehormat MID di atas kepimpinan beliau yang berteraskan inovasi bagi memacu pertumbuhan dan kemajuan negara. Menurut Najib, keperluan kepada nilai kreativiti dan inovasi harus dititik berat oleh semua sektor korporat dan bukan hanya terhad kepada sektor korporat yang terlibat dalam bidang berteknologi tinggi sahaja. Dalam pada itu, Perdana Menteri berkata, sejak mengambil alih kepimpinan negara, beliau telah bekerja keras bagi memastikan Wawasan 2020 yang kini tinggal kurang daripada 10 tahun mampu direalisasikan dengan jayanya. "Kerajaan sedar bahawa masa sebelum tahun 2020 menjelma semakin suntuk. Sebab itulah kerajaan melakukan pelbagai inovasi dan transformasi dalam pentadbiran kerana tanpa perubahan ini cita-cita tersebut sukar dicapai," katanya. Sementara itu, pada majlis yang sama juga sebanyak lima syarikat milik kerajaan (GLC) daripada 17 buah syarikat tempatan dianugerahkan Anugerah Kepimpinan Inovatif Global atas kejayaan masing-masing. |
Sidang ASEAN tumpu penyelesaian konflik serantau Posted: Sidang ASEAN tumpu penyelesaian konflik serantauDaripada SAHARUDIN MUSTHAFA Najib Tun Razak bersama para penerima Anugerah Kepimpinan Inovatif Global anjuran Institut Pengurusan Malaysia di Kuala Lumpur, malam tadi. – UTusan/Zulkarnain Mohd. Saidin JAKARTA 4 Mei – Sidang kemuncak ASEAN yang akan berlangsung pada 7 hingga 8 Mei ini akan memberi tumpuan terhadap usaha mencari penyelesaian menangani konflik serantau. Menteri Luar Indonesia, Marty Natalegawa berkata, bagaimanapun, persidangan itu tidak akan membincangkan secara khusus isu berkaitan dengan kematian pemimpin rangkaian al-Qaeda, Osama Bin Laden. "Saya tidak fikir itu (kematian Osama) akan dibahas secara khusus. Bagaimanapun, isu berhubung bagaimana pendekatan untuk menangani keganasan tentunya akan dibahas oleh negara-negara anggota ASEAN," katanya. Osama maut dalam satu operasi ketenteraan diketuai Amerika Syarikat (AS) di Pakistan, sekali gus menamatkan pemburuan selama 10 tahun yang dilancarkan AS terhadap perancang serangan ke atas Pusat Dagangan Dunia pada 11 September 2001 itu. Persidangan kali ini juga jelas Marty, akan menilai semula pencapaian ASEAN mencakupi bidang seperti sosio politik, keamanan, ekonomi serta sosio budaya. Bagi bidang sosio politik dan keamanan, Indonesia sebagai tuan rumah persidangan ASEAN 2011, kata Marty, akan membincangkan pendekatan menangani konflik antara negara-negara ASEAN menggunakan jalan damai tanpa perlu menggunakan kekerasan. Hal tersebut diakui Marty, berkaitan dengan konflik perbatasan yang tercetus antara Kemboja dan Thailand yang sudah berkali-kali berlaku sehingga mengorbankan banyak jiwa dan memaksa puluhan ribu warganya menjadi pelarian. "Berhubung isu ekonomi, ASEAN akan memberi penekanan pada pembahasan isu yang berkaitan dengan kawalan keselamatan makanan serta kepentingan tenaga seiring dengan keperluan semasa. "Sementara dalam aspek sosio budaya pula, Indonesia akan menarik perhatian negara-negara anggota dalam usaha menjadikan ASEAN pusat masyarakat," jelas beliau lagi. Sementara itu, pejuang dan ikon demokrasi, Aung San Suu Kyi dalam persidangan video sempena Persidangan Masyarakat Sivil ASEAN mengingatkan, peranan ASEAN amat penting untuk memperjuangkan isu demokrasi terutamanya di kalangan masyarakat sivil. Sidang tahunan ASEAN ke-18 yang diadakan di Pusat Konvensyen Jakarta di sini dengan tema Komuniti ASEAN Dalam Komuniti Global akan turut dihadiri Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak serta isteri, Datin Seri Rosmah Mansor. Persidangan tahunan itu juga akan turut disertai Menteri Luar, Datuk Seri Anifah Aman serta Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed. – Utusan Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price. |
You are subscribed to email updates from Utusan Online - Muka Hadapan To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan