Utusan Online - Politik |
Mubarak berikrar bantu BN dalam pilihan raya umum Posted: Mubarak berikrar bantu BN dalam pilihan raya umumKOTA KINABALU 8 Mei - Majlis Bekas Wakil Rakyat Malaysia (Mubarak) telah berikrar untuk membantu Barisan Nasional (BN) memenangi pilihan raya umum akan datang bagi membolehkan setiap dasar dan program kerajaan sekarang dilaksanakan dengan jayanya. Ikrar tersebut terkandung dalam satu usul yang diluluskan di akhir Perhimpunan Agung kelapan Mubarak di sini malam tadi. Sambil merakamkan sokongan yang tidak berbelah bahagi terhadap kepimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, usul tersebut juga menggesa rakyat supaya terus menyokong kerajaan sedia ada demi untuk kesejahteraan bersama. Majlis itu menegaskan bahawa sejak mengambil alih tampuk pemerintahan negara pada 3 April 2009 ketika suasana politik tempatan tidak menentu, pentadbiran kerajaan kelihatan kucar kacir dan rakyat berada dalam keadaan gelisah, Najib telah memperkenalkan pelbagai dasar serta inisiatif baru untuk memulihkan semula keyakinan rakyat. Antara dasar dan inisiatif tersebut yang tujuannya khusus untuk melonjakkan proses pencapaian status negara maju menjelang tahun 2020, termasuklah konsep 1Malaysia: Rakyat Didahulukan Pencapaian Diutamakan, Model Baru Ekonomi, Program Transformasi Kerajaan serta Transformasi Ekonomi dan Transformasi Politik. Perhimpunan yang dihadiri kira-kira 500 orang perwakilan dan pemerhati dari seluruh negara itu juga meluluskan penubuhan Gabungan Koperasi Mubarak Malaysia dan cadangan penubuhan Bank Koperasi Mubarak untuk meningkatkan ekonomi anggotanya. Sebelum itu, persidangan tersebut telah memilih anggota majlis tertinggi yang baru bagi penggal 2011-2013. Mereka ialah Datuk Seri Abdul Aziz Rahman dari Pahang sebagai Presiden, Tan Sri Ahmad Nordin Md Amin (Melaka) sebagai Timbalan Presiden dan lima orang lagi Naib Presiden yang terdiri daripada Tan Sri Zaleha Ismail (Selangor), Datuk Wira Othman Abdul (Kedah), Datuk Dr. Ong Hean Tee (Pulau Pinang), Datuk Yussoff Abd Manan (Sabah) dan seorang lagi dari Sarawak yang akan dipilih kemudian setelah negeri itu menubuhkan Mubarak cawangannya. Seramai 24 orang lagi anggota Majlis Tertinggi dinamakan oleh Mubarak negeri dengan setiap negeri diwakili oleh dua orang. - BERNAMA | ||
Renungi petunjuk Allah - Shafie Posted: Renungi petunjuk Allah - ShafieOleh ZULHISHAM ISAHAK dan NORZAINURA ABDUL MAJID
BATU PAHAT 8 Mei - Musibah yang menimpa Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim sejak disingkirkan daripada kerajaan sehingga sekarang adalah petunjuk bahawa Allah tidak reda beliau menjadi Perdana Menteri. Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal berkata, semua kejadian itu perlu direnungi oleh rakyat kerana segala yang berlaku adalah ketentuan-Nya. "Ini semua menunjukkan Allah tidak reda Anwar menjadi Perdana Menteri. Banyak petunjuk yang diberikan tetapi kenapa masih ada kumpulan yang fanatik dan taksub dengannya? "Mengapa sampai sekarang masih ada lagi yang tidak nampak (kebenaran)," katanya semasa merasmikan Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Batu Pahat di sini hari ini yang turut dihadiri Ketua bahagian itu, Dr. Mohd. Puad Zarkashi dan timbalannya, Ayub Jamil. Shafie yang juga Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah berkata, rakyat perlu sedar dan tidak lagi diperbodohkan dengan sikap Anwar yang 'depan cakap lain, belakang cakap lain'. Sementara itu Mohd. Puad berkata, DAP kini adalah musuh utama UMNO dan negara kerana kerap mencetuskan huru-hara dan kegelisahan antara kaum. Menurutnya, parti itu akan memainkan apa sahaja isu yang boleh menguntungkan mereka tanpa memikirkan kesan kepada negara. "Mereka akan timbulkan kegusaran dalam kalangan orang bukan Melayu dan kemudian melarikan diri. Mereka tidak mahu negara ini aman dan sentiasa mewujudkan ketegangan," katanya. Katanya, semua itu dilakukan untuk kepentingan politik mereka selain memperalatkan Pas dan Parti Keadilan Rakyat (PKR) bagi memastikan matlamat 'sempit' parti itu tercapai. |
You are subscribed to email updates from Utusan Online - Politik To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan