Utusan Online - Pahang |
- Dekati belia secara menyeluruh
- Ambil tahu perkembangan politik
- Warga Lombok diminta jaga tatasusila ketika bekerja di Felda
Dekati belia secara menyeluruh Posted: Dekati belia secara menyeluruhOleh HARIS FADILAH AHMAD ABDUL Rahman Mohamad (berdiri, enam dari kanan) bersama pasukan bola jaring yang menyertai Karnival Sukan UMNO Lipis, di Kuala Lipis, kelmarin. KUALA LIPIS 8 Mei - Pendekatan UMNO menghampiri generasi muda tidak boleh dilihat dari sudut politik semata-mata, sebaliknya perlu merangkumi perspektif kemasyarakatan yang lebih luas. Ketua UMNO Lipis, Datuk Abdul Rahman Mohamad berkata, masalah menarik penyertaan generasi muda timbul apabila ramai di kalangan mereka tidak memahami atau meminati aspirasi perjuangan politik. Menurut beliau, golongan tersebut masih tidak mempunyai kesedaran politik dan idealisme perjuangan UMNO selain kerap diasak dakyah pihak tertentu. ''Dengan adanya kegiatan sukan dan pendidikan, golongan itu dapat dilibatkan bersama dan menarik mereka kembali yakin terhadap UMNO," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Karnival Sukan UMNO Lipis di Dataran Lipis di sini semalam. Hadir sama, Ketua Pemuda UMNO Pahang, Abu Jimi Samat dan Pengerusi Pengelola Sukan UMNO Lipis, Abdul Halim Othman. Karnival berkenaan merupakan anjuran bersama Pergerakan Pemuda dan Puteri UMNO Lipis dengan disertai 80 pasukan Futsal, masing-masing 20 pasukan bola jaring dan sepak takraw serta dan 15 pasukan petanque. Dalam pada itu, Abdul Rahman memuji penganjuran karnival tersebut kerana berjaya menarik ramai belia dan remaja kaum lain termasuk Orang Asli menyertai sukan yang dipertandingkan. Katanya, usaha UMNO Lipis itu amat penting untuk memastikan kelangsungan perjuangan parti membela masyarakat Melayu di samping mengeratkan perpaduan dengan kaum lain. |
Ambil tahu perkembangan politik Posted: Ambil tahu perkembangan politikKUANTAN 8 Mei – Penjawat awam disaran mengikuti perkembangan politik semasa walaupun tidak melibatkan diri secara langsung dengan perkara tersebut. Menteri Besar, Datuk Seri Adnan Yaakob berkata, mereka perlu mengambil tahu kerana faktor politik merupakan salah satu tunjang kestabilan sesebuah negara. "Beberapa perkara yang berlaku sejak akhir-akhir ini amat merisaukan terutama dalam memikirkan masa depan negara dan anak, cucu serta bangsa kita. "Kita bimbang sekiranya tidak berhati-hati, akan wujud dua sistem parti yang menimbulkan pelbagai konflik," katanya ketika berucap pada majlis perasmian kejohanan permainan tradisional Maksak peringkat kebangsaan di sini kelmarin. Seramai 650 peserta daripada 12 kontinjen seluruh negara menyertai acara permainan tersebut seperti menyumpit, batu seremban, congkak, dam aji dan sepak raga yang berlangsung selama empat hari bermula kelmarin. Sementara itu, menurut Adnan, permainan tradisional itu bukan sekadar permainan biasa tetapi mampu mewujudkan semangat persaudaraan dengan lebih erat. Tambah beliau seharusnya nilai dan kesantunan budaya lemah lembut yang dipamerkan melalui permainan tersebut dipraktikkan dalam sistem penyampaian awam. "Jika itu yang dilakukan terutama dalam urusan pentadbiran, maka kita akan mendapat hasil terbaik dan mewujudkan perpaduan kaum yang lebih erat," ujar beliau. |
Warga Lombok diminta jaga tatasusila ketika bekerja di Felda Posted: Warga Lombok diminta jaga tatasusila ketika bekerja di FeldaJERANTUT 8 Mei – Buruh warga Lombok dari Wilayah Nusa Tenggara Barat, Indonesia diminta memahami aspirasi budaya orang Melayu dan mematuhi undang-undang negara ini demi menjaga nama baik negara asal mereka. Gabenor Wilayah Nusa Tenggara Barat, Dr. Mohamad Zainul Majdi berkata, golongan itu perlu menjaga tatasusila dengan masyarakat tempatan khususnya di kawasan Felda yang menjadi tempat mereka mencari rezeki. Tambah beliau, sejak akhir-akhir ini, sikap segelintir golongan itu yang dipaparkan oleh media menimbulkan rasa kurang senang terhadap penduduk tempatan. ''Saya tidak menafikan di mana-mana sekalipun sama ada di Indonesia atau Malaysia hal yang serupa berlaku, tetapi lebih elok dan murni jika mereka menjaga tatasusila," katanya kepada pemberita selepas menghadiri majlis sambutan Hari Pekerja Felda peringkat Kebangsaan di Pusat Perkhidmatan Pertanian Tun Razak (PPPTR), di Tekam dekat sini baru-baru ini. Menurut Mohamad, seramai 40,000 buruh asing dari Nusa Tenggara Barat bekerja di ladang kawasan Felda negara ini dengan menerima gaji antara RM800 hingga RM1,200 sebulan. Katanya, budaya orang Melayu negara ini dengan Indonesia tidak banyak berbeza malah mudah dihayati secara integrasi oleh buruh terbabit dengan penduduk tempatan. Beliau menegaskan, pentadbiran Indonesia tidak akan berkompromi dengan mereka yang membuat kesalahan jenayah di sini dan menyerahkan kepada pemerintah Malaysia melaksanakan hukuman sewajarnya berasaskan undang-undang di sini. |
You are subscribed to email updates from Utusan Online - Pahang To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan