The Malaysian Insider :: Bahasa |
Jangan cepat label pengkhianat Islam, pemimpin PAS tegur Mufti Perlis Posted: 05 May 2011 01:13 AM PDT KUALA LUMPUR, 5 Mei – Naib Presiden PAS Salahuddin Ayub hari ini menyelar kenyataan Mufti Perlis Dr Juanda Jaya yang dilaporkan berkata pihak yang menentang penyatuan Umno dan PAS sebagai pengkhianat Islam. Sehubungan itu Salahuddin (gambar) menambah, tidak timbul soal siapa pengkhianat Islam jika Umno dan PAS tidak bersatu. Oleh itu katanya, apa yang perlu masyarakat faham ialah sebenarnya memutuskan hubungan silaturrahim sesama Islam tidak dibenarkan dalam agama. "Saya rasa kita perlu faham sebenarnya kita tidak boleh putuskan hubungan silaturahim. Apa yang terjadi sekarang ialah cuma perbezaan pandangan politik dan itu merupakan perkara biasa. "Jangan terlalu cepat mengeluarkan kata-kata pengkhianat itu. Sebuah negara demokrasi diberi kebebasan untuk berpolitik dan menubuhkan parti politik," katanya. Malah kata beliau, perpecahan tidak berlaku tetapi cuma wujud perbezaan politik. "Kita tidak memutuskan silaturrahim sehingga membawa kesan yang besar kepada umat Islam," kata beliau ketika dihubungi The Malaysian Insider. Beliau juga berkata, perpaduan atau penyatuan tidak semestinya perlu berada di bawah satu bumbung dan kenyataan Juanda semalam sama sekali tidak praktikal dan tidak wajar. Semalam, Utusan Malaysia melaporkan kenyataan Juanda Jaya menyifatkan pihak-pihak yang menentang penyatuan antara Umno dan PAS sebagai pengkhianat Islam. Selain itu Juanda berkata, mereka juga boleh dianggap pendukung fikrah puak Khawarij iaitu sebuah kumpulan yang amat bencikan kesatuan di dalam Islam. "Penyatuan (Umno dan PAS) sebenarnya adalah wajib khususnya untuk kekuatan Islam dan Malaysia amnya. Semua pihak wajib berusaha ke arah itu,'' katanya. Seorang lagi Naib Presiden PAS Datuk Mahfuz Omar berkata, terpulang kepada Mufti Perlis itu untuk berkata apa-apa sekalipun kerana ia merupakan permainan Umno. "Dia (Juanda) nak kata apa, dia punya suka nak kata apa pun. "Umno main sentimen ini kerana Umno sebenarnya dah tenat dan ada masalah penyakit dalam jiwa. Kita perlu sedia pakar sakit jiwa untuk pimpinan Umno kerana takut mereka akan tertekan sehingga menyebabkan mereka bunuh diri atau terjun bangunan. Jadi kita perlu bersedia," katanya berseloroh. Ketua Penerangan PAS, Idris Ahmad juga menganggap kenyataan Juanda sebagai seorang yang tidak memahami situasi yang berlaku antara Umno dan PAS. Beliau berkata, sebagai seorang mufti, sepatutnya sebelum mengeluarkan apa-apa pandangan perlu memahami tentang gambaran sesuatu hukum tersebut. "Dia kenal ke siapa Umno yang sebenarnya? PAS menolak tentulah ada sebab. Jangan disebabkan Juanda makan gaji dengan Umno, dia boleh mengeluarkan kata-kata sebegitu (pengkhianat Islam). "Adakah dia (Juanda) nak kita bersekongkol dengan parti yang terbukti banyak melakukan pengkhianatan terhadap amanah rakyat, dengan soal rasuah yang banyak melibatkan orang di dalam parti itu," katanya. Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price. |
Jodoh: Insya-Allah Tuhan akan makbul, titah Sultan Kelantan Posted: 05 May 2011 12:36 AM PDT KOTA BARU, 5 Mei — Kelantan bakal menerima Raja Perempuan setelah Sultan Kelantan, Sultan Muhammad V, memberi gambaran bahawa baginda bakal berkahwin. Pada satu sidang akhbar khas di Istana Negeri, Kubang Kerian, petang semalam bagi mengumumkan mengenai pelancaran Yayasan Kelantan yang akan berlangsung di Kuala Lumpur Sabtu ini, Sultan Muhammad ditanya sama ada baginda akan berkahwin dan sambil tersenyum, menjawab: "Insya-Allah saya berdoa, Insya-Allah Tuhan akan makbul." Sultan Muhammad, 42, yang mudah membahasakan diri baginda sebagai "saya" atau "kita", berharap berkat doa pemimpin dan pembesar negeri serta sahabat, perkahwinan baginda akan menjadi kenyataan. "Jadi saya fikir Insya-Allah dengan berkat doa Tok Guru, datuk-datuk, sahabat-sahabat, Insyallah berjaya," titah baginda dipetik Bernama hari ini. Sultan Muhammad, yang dimasyhurkan pada 13 September lalu bagaimanapun tidak menjelaskan lebih lanjut mengenai perkara itu. Baginda, yang terkenal dengan sifat mendekati rakyat dengan berkopiah dan berjubah, adalah putera sulung Sultan Ismail Petra. Baginda dan bekas isteri, Tengku Zubaidah Tengku Norudin, tidak dikurniakan cahaya mata. Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price. |
You are subscribed to email updates from The Malaysian Insider :: Bahasa To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan