Rabu, 4 Mei 2011

Kosmo Online - Rencana Utama

Kosmo Online - Rencana Utama


Filem pendek gaya Afiq Deen

Posted:

Filem pendek gaya Afiq Deen

Filem pendek gaya Afiq Deen

Oleh MOHD. ALIF ABU BAKAR
alif.abubakar@kosmo.com.my



RUANGAN studio merangkap kediaman Mohd. Afiq Deen Azizan itu kemas teratur. Rak-rak dipenuhi pelbagai buku berbahasa Inggeris tersusun rapi bersama-sama koleksi DVD kegemarannya. Di satu sudut, kelihatan anugerah-anugerah yang dicapai pengarah muda berusia 24 tahun itu selama tiga tahun berkecimpung dalam dunia pengarahan dan pembikinan filem pendek serta iklan.

Walaupun tempoh penglibatan tersebut masih dikira setahun jagung, namun ternyata apabila kreativiti dan keghairahan bersatu, kejayaan yang diraih anak kelahiran Pulau Mutiara itu begitu mengagumkan. Satu demi satu kejayaan dirangkul menerusi karya-karya unik nukilannya.

Walaupun tidak berkelulusan bidang penyiaran dan perfileman, graduan jurusan seni bina Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) itu mampu memacu minatnya ke peringkat membanggakan.

Afiq Deen meminjam pesanan bapa saudaranya yang mengingatkan dirinya agar melakukan perkara yang sering difikirkan sebelum tidur, dia akhirnya membuat keputusan untuk memberi tumpuan sepenuhnya dalam bidang pengarahan.

Video muzik pertama

Sejak kecil Afiq Deen atau lebih mesra dengan panggilan Afiq dilatih untuk menjadi arkitek. Jadi dia tidak banyak membantah melainkan mengikut saja perancangan keluarganya.

Detik bermulanya minat terhadap pembikinan filem berputik setelah dia memenangi anugerah pertama menerusi video muzik yang dibuat sekadar hiburan diri sendiri pada 2007.

"Ketika itu cuti semester di universiti, memandangkan ibu bapa saya tiada di rumah jadi saya terpaksa tinggal di asrama bagi tempoh seminggu. Oleh kerana terlalu bosan, saya menggunakan kamera digital untuk membuat video muzik.

"Saya tidak menyangka video tersebut tersebar dan salah seorang kawan saya menghantar video itu menyertai pertandingan di kampus dan memenangi tempat pertama," ujarnya ketika menyingkap kembali kenangan lucu tersebut.

Sejak peristiwa tersebut, Afiq tidak menunggu lama menghasilkan karya keduanya. Dua bulan selepas itu, Afiq memenangi tempat pertama Green Malaysia Short Film Competition 2007 anjuran Jerneh Insurance.

Menyedari diri masih bergelar pelajar seni bina, Afiq mengingatkan diri untuk fokus kepada pelajaran terlebih dahulu dan setelah tamat, dia memilih haluan berbeza dengan menjadikan bidang perfileman dan pengiklanan sebagai kerjaya.

Pengaruh karya


AFIQ sentiasa bereksperimen agar mampu menghasilkan karya yang lebih baik.


Jika dilihat karya-karya yang dihasilkan Afiq, pasti ramai sukar untuk memahami mesej yang ingin disampaikan.

Cenderung menghasilkan karya genre berat, Afiq menyatakan, genre sebegitu mengandungi mesej mendalam serta mampu meninggalkan kesan berpanjangan kepada penonton.

"Saya tidak berapa suka menyampaikan mesej secara langsung. Dengan menyelitkan unsur mesej tersembunyi, penceritaan akan lebih menarik serta mampu menguji pemikiran penonton.

"Jika kita lihat arena perfileman tanah air, tidak banyak pengarah yang berani mempertaruhkan genre berat kerana mungkin tidak yakin mampu menarik minat penonton untuk ke panggung," jelasnya.

Menjadikan Allahyarham Yasmin Ahmad, P. Ramlee dan pengarah Korea, Park Chan-Wook sebagai idola, Afiq melihat karya yang dihasilkan perlu mempunyai keunikan dan identiti tersendiri.

Malah, filem pendeknya berjudul 4 Peringkat Ajal turut menarik perhatian Yasmin sehingga membuatkan dia dipanggil untuk sesi temu duga bersama legenda perfileman tanah air itu.

Kekecewaan melanda Afiq apabila Yasmin meninggal dunia pada minggu temu duga sepatutnya berlangsung. Namun, nasihat Yasmin kepadanya agar tidak mengikut stail orang lain tetap tersemat dalam mindanya.

Evolusi Maria

Tidak keterlaluan jika dikatakan filem pendek terbaik yang pernah dihasilkan Afiq ialah Maria hingga melayakkannya memenangi Anugerah bagi Arahan Seni Luar Biasa di Nextgen Contentpreneur Awards (NCA) 2010 anjuran Astro.

Filem pendek yang mengangkat kisah seorang wanita muda yang dianggap sebagai pelacur itu sarat dengan keunikan yang sukar diterjemah menerusi dialog.

Maria seorang wanita yang tidak boleh merasai perasaan dalam hati sendiri menyediakan perkhidmatan kepada orang ramai yang ingin melepaskan rasa sakit hati yang ditanggung. Melalui pembebasan rasa sakit orang lain kepada dirinya, Maria berasa puas dan lengkap sebagai manusia biasa.

Sinematografi menarik dipaparkan Maria menunjukkan kreativiti Afiq sebagai pengarah berbakat. Ujar Afiq, memang menjadi kebiasaannya untuk bermain dengan sinematografi.

"Sinematografi mampu menterjemah mesej tanpa kata-kata, adakalanya cukup dengan persekitaran dan suasana dalam sesuatu filem bagi menyampaikan mesej kepada penonton.

"Malangnya teknik ini tidak dipraktikkan sepenuhnya oleh penggiat filem di Malaysia yang lebih menekankan kepada dialog panjang lebar.

"Bagi saya emosi yang ditunjukkan sesuatu karakter itu lebih berkesan daripada berdialog. Ekspresi muka mampu menyingkap seribu makna tanpa perlu berbicara," jelas penggemar buku Human, All-Too-Human karya Friedrich Nietzsche itu.

Semakin matang dalam menghasilkan sesuatu karya, Afiq memberitahu segala perkara tentang minatnya itu dipelajari sendiri menerusi video di Youtube dan buku-buku berkaitan perfileman.

Dia juga memperbaiki diri dengan menonton Di Sebalik Tabir penghasilan sesebuah filem, menonton pelbagai jenis filem serta banyak bereksperimen secara sendiri.

Karakter unik


AFIQ DEEN (sembilan dari kanan) kini mampu membentuk produksi kecil-kecilan sendiri.


Walaupun pada awalnya, keluarga Afiq tidak bersetuju dengan minat yang ditunjukkannya, namun setelah melihat sendiri potensi pengarah muda itu dalam bidang perfileman, lampu hijau diberikan kepada Afiq bagi mengejar cita-citanya.

Azizan Pawanteh, bapa kepada Afiq memberitahu bahawa anak sulung dari empat beradik itu sering mempunyai pemikiran berbeza daripada orang lain.

"Cara dia berfikir tidak sama dengan orang lain. Dia dapat melihat sesuatu sudut berpandu penterjemahan yang tidak pernah difikirkan orang.

"Jadi apabila saya melihat karya-karya yang dihasilkan Afiq, saya tahu dia mempunyai daya imaginasi tinggi dan mampu pergi jauh dalam industri ini," katanya.

Selain itu, Azizan turut memberitahu, anak lelakinya itu lebih gemar berdikari apabila kesemua peralatan yang dimiliki Afiq hari ini adalah atas hasil titik peluh sendiri.

Seorang teman rapat Afiq, Shazlan Noor Suhaimi pula berkata, setiap karya yang dihasilkan sahabatnya itu mempunyai identiti tersendiri.

"Apabila orang melihat karya Afiq, secara automatik mereka akan tahu ini merupakan karya Afiq," ujarnya yang menuntut bersama-sama Afiq ketika di UIAM.

Teraju utama filem pendek Maria, Charlene Wong menyifatkan Afiq sebagai pengarah muda imaginatif serta tahu apa yang diinginkan ketika bekerja.

Jelas Charlene, sesiapa yang bekerja dengan Afiq pasti akan berasa selesa memandangkan karakternya yang mudah didekati dan ramah dengan orang di sekelilingnya.

Pandangan masa depan

Menjadikan setahun sebagai tempoh baginya menjadi ahli industri perfileman dan pengiklanan tanah air, Afiq tidak terburu-buru dalam mengejar impian bergelar pengarah tersohor satu hari nanti.

Memilih untuk bekerja sebagai pengarah seni dan bekerja di belakang tabir dirasakan mampu memberi banyak pelajaran kepada dirinya dalam memahami selok-belok dunia perfileman.

"Buat masa ini, saya lebih banyak mengambil projek pengiklanan sementara filem pendek pula saya hasilkan untuk dihantar ke beberapa pertandingan," ujarnya.

Bakal menghasilkan sebuah filem pendek baharu sebagai persediaan bagi menyertai Festival Filem Busan 2011, Afiq semakin bijak dalam merangka pembikinan filem pendeknya itu.

Ketika ditanya tentang pelakon tempatan yang diimpikan berlakon dalam karyanya, Afiq lancar menutur nama Scha Alyahya dan Farid Kamil, tanda kedua-dua personaliti itu telah lama menjadi sasarannya.

Walaupun masih muda, Afiq berani bermimpi besar dengan berharap untuk menggenggam anugerah terulung perfileman dunia, Palme d'Or Award yang menjadi rebutan di Festival Filem Cannes.

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan