Khamis, 19 Mei 2011

Harian Metro: Setempat

Harian Metro: Setempat


Bas berhenti sesuka hati

Posted: 18 May 2011 11:11 AM PDT

KUALA LUMPUR: Sikap mementingkan diri segelintir pemandu bas awam yang menghentikan kenderaan mereka sesuka hati di sekitar persimpangan Chow Kit berhampiran Jalan Tuanku Abdul Rahman di sini, mengundang bahaya terhadap pengguna lain di sepanjang jalan itu.

Tindakan pemandu bas awam terbabit nyata tidak disenangi orang ramai berikutan jalan itu laluan utama yang menghubungkan pusat bandar raya dengan tempat lain dan menjadi tumpuan orang ramai terutama pada hujung minggu.


Tinjauan Harian Metro mendapati dakwaan orang ramai ternyata benar apabila segelintir pemandu bas awam itu menghentikan bas mereka di tengah-tengah laluan berkenaan untuk menurunkan penumpang sehingga berlaku kesesakan teruk.

Abu Bakar Ahmad, 35, berkata, kesesakan jalan di sepanjang laluan itu berpunca daripada tindakan pemandu bas yang tidak memikirkan pengguna lain dengan menurunkan penumpang walaupun berada di tengah laluan.


Katanya, tindakan segelintir pemandu bas itu bukan saja menyusahkan orang ramai malah mereka juga membahayakan nyawa orang lain terutama penunggang motosikal dan penumpang bas yang terpaksa turun walaupun keadaan jalan sesak.


"Saya sudah beberapa kali mengemukakan aduan kepada Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dan syarikat bas terbabit berhubung sikap pemandu itu.

"Tetapi, sehingga kini tiada tindakan diambil oleh pihak bertanggungjawab," katanya.


Dia berkata, sudah beberapa kali penunggang motosikal nyaris terbabit kemalangan dengan bas yang berhenti di tengah laluan dan sebelum masalah itu bertambah buruk, pihak berkuasa perlu mengambil tindakan drastik.

Menurutnya lagi, pemandu bas terbabit perlu menurunkan penumpang mereka di tempat yang sudah disediakan tetapi sikap melulu mereka yang semata-mata ingin menjimatkan masa boleh mengakibatkan kecelakaan kepada orang lain yang tidak bersalah.


"Saya berharap pihak berkuasa prihatin terhadap masalah ini dan mengambil tindakan segera untuk kepentingan semua pihak," katanya.

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.

Serah RM11,000 selepas dipukau

Posted: 18 May 2011 10:53 AM PDT

KAJANG: Seorang kakitangan sebuah restoran kerugian lebih RM11,000 selepas dipukau dalam kejadian di sebuah bank di Tanming Jaya, di sini kelmarin.

Kejadian berlaku kira-kira jam 8.30 pagi ketika mangsa dalam perjalanan dari restorannya di Jalan Duta Mas ke bank berkenaan untuk memasukkan wang keuntungan jualan, namun dipukau seseorang tidak dikenali sebelum menyerahkan wang dalam sampul itu dalam keadaan tidak sedar.


Mangsa yang hanya mahu dikenali sebagai Roslan, 32, berkata, dia ditugaskan memasukkan wang keuntungan jualan ke dalam bank setiap hari.

Katanya, penyelia restoran menyerahkan wang itu di dalam sampul kepadanya dan sebaik tiba di bank itu, dia terus dipukau.


"Saya tidak sedar langsung dan tidak tahu sama ada lelaki atau perempuan yang memukau hingga sanggup menyerahkan sejumlah wang kepada mereka.


"Saya hanya ingat wang jualan itu diberi penyelia di dalam satu sampul dan saya perlu memasukkan wang itu ke dalam bank seperti biasa, namun nasib malang menimpa apabila dipukau orang tidak dikenali," katanya di sini, semalam.

Roslan berkata, dia hanya menyedari kehilangan wang itu pada waktu petang selepas penyelianya meminta resit bank.


"Pada masa itu, kepala saya pening dan berada dalam keadaan bingung sebelum menyerahkan sekeping kertas kepada penyelia saya yang kemudian terkejut kerana keadaan saya tidak terurus.

"Berikutan keadaan saya, penyelia itu menyuruh saya pulang berehat, namun hingga kini saya masih kebingungan dan tidak mampu mengingati apa yang terjadi," katanya yang berharap individu tidak bertanggungjawab ditangkap.


Menurutnya, dia tidak dapat mengingati apa-apa dan kini masih dalam keadaan bingung dan tidak terurus kerana memikirkan kejadian itu.


Katanya, laporan mengenai kejadian itu sudah dibuat di Balai Polis Batu 9, Cheras.


Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Abdul Rashid Abdul Wahab mengesahkan laporan dan siasatan sedang dijalankan.

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan