Ahad, 8 Mei 2011

Harian Metro: Setempat

Harian Metro: Setempat


Amuk geng curi kereta

Posted: 07 May 2011 11:04 AM PDT

KUALA LUMPUR: Seorang lelaki maut manakala dua rakannya cedera parah dalam pergaduhan antara dua kumpulan curi kereta yang bersenjata pedang samurai, besi dan pisau di Taman Intan Baiduri, Kepong, di sini, awal pagi semalam, dipercayai berpunca daripada perebutan kawasan.

Sebelum pergaduhan tercetus kira-kira jam 3 pagi, satu daripada kumpulan curi kereta itu dilapor menyerang sepasukan anggota polis dari Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah Sentul (IPD) Sentul kerana menyangkakan mereka ahli kumpulan musuh.


Bagaimanapun, menyedari tersalah sasaran selain seorang daripada rakan terkena tembakan dilepaskan anggota polis, anggota kumpulan terbabit berusia antara 20 hingga 35 tahun melarikan diri.

Kumpulan tiga lelaki yang menaiki sebuah kereta Proton Wira itu kemudian berlanggar dengan sebuah kereta jenis Perodua Kancil dinaiki kumpulan sasaran mereka.


Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur, Datuk Ku Chin Wah berkata, kereta Perodua Kancil itu dinaiki empat lelaki dipercayai ahli sindiket curi kereta.


"Perlanggaran itu menyebabkan berlaku pergaduhan sebelum polis tiba di lokasi kejadian dan menahan enam suspek," katanya yang turut memberitahu, seorang lelaki berusia 34 tahun maut di tempat kejadian kerana cedera parah di kepala.

Menceritakan kejadian itu, Ku berkata, sepasukan anggota polis menerima maklumat daripada orang awam mengatakan akan berlaku pergaduhan antara dua kumpulan curi kereta sebelum bersiap sedia di kawasan berkenaan dengan melakukan rondaan.


"Kumpulan menaiki kereta Proton Wira itu mulanya mengekori sebuah kereta polis tanpa logo polis yang disangkakan musuh.

"Sebaik tiba di satu jalan mati, kumpulan suspek itu merempuh belakang kereta anggota polis berkenaan. Tiga lelaki segera keluar dengan bersenjatakan pedang samurai, besi dan sepucuk pistol.


"Menyedari keselamatan terancam, seorang daripada tiga anggota polis terbabit melepaskan tembakan dan mengenai paha kiri seorang daripada tiga suspek," katanya.


Tersentak dengan itu, tiga suspek bergegas masuk semula ke dalam kereta dan melarikan diri, manakala pasukan polis yang diserang memaklumkan kejadian kepada IPD Sentul untuk meminta bantuan.


Beliau berkata, kereta dinaiki ketiga-tiga suspek bagaimanapun berlanggar dengan sebuah kereta jenis Perodua Kancil dinaiki empat ahli kumpulan musuh kurang 200 meter dari lokasi anggota polis diserang.


"Kedua-dua kumpulan Ini kemudian bergaduh sebelum pasukan polis yang mengepung kawasan berkenaan menahan enam suspek berusia 20 hingga 35 tahun selain merampas satu batang besi dipercayai senjata digunakan dalam pergaduhan itu. Seorang daripada mereka bagaimanapun sempat melarikan diri.


"Pemeriksaan mendapati, suspek yang terkena tembakan polis ketika serangan pertama dilakukan berusia 34 tahun maut di tempat kejadian kerana cedera parah di kepala. Polis percaya, kepalanya dipukul dengan objek keras.


"Mayat si mati dibawa ke Hospital Selayang (HS) untuk bedah siasat manakala dua rakannya yang turut cedera parah dalam pergaduhan itu dirawat di hospital sama. Pemeriksaan awal mendapati si mati mempunyai 10 rekod jenayah lampau," katanya.


Difahamkan, keadaan kedua-dua suspek yang dirawat di hospital berkenaan masih kritikal.


Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan (KK).

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.

Ajal gadis sunti

Posted: 07 May 2011 11:01 AM PDT

MERSING: Akibat tidak mempedulikan nasihat ibu angkat yang melarangnya menunggang motosikal keluarga, seorang pelajar perempuan tingkatan satu maut selepas terbabit dalam nahas berhampiran persimpangan masuk ke Felda Tenggaroh 2, di sini, kelmarin.

Dalam kejadian jam 5.45 petang, motosikal ditunggang Nor Hafawati Radzuan, 13, terbabas sebelum melanggar sebuah kenderaan empat roda dari arah bertentangan iaitu menghala ke Felda Tenggaroh.


Kejadian mengakibatkan Pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Tenggaroh A yang dalam perjalanan ke rumah sepupunya di Felda Tenggaroh 2 itu tercampak dari motosikal menyebabkannya parah dan meninggal dunia di tempat kejadian.

Ibu angkat mangsa, Khasida Junid, 46, berkata sebelum itu dia dan suaminya ke Kota Tinggi pada hari kejadian, mereka melarang Nor Hafawati menggunakan motosikal itu kerana bimbangkan keselamatannya.


Menurutnya, motosikal itu turut dirantai dan dimangga oleh suaminya, Md Had Mahmud, 47, sebelum meninggalkan rumah di Felda Tenggaroh 7.


"Sebaik pulang ke rumah, kami terkejut mendapati motosikal hilang selain rantai motosikal ada kesan ketukan dan dibuang di tepi rumah.

"Apabila mendapati Nor Hafawati tiada di rumah, kami menyedari kemungkinan itu perbuatannya.


"Kami yang menanti Nor Hafawati kerana mahu menegur perbuatan itu terkejut menerima berita nahas itu petang semalam (kelmarin)," katanya yang masih sebak.

Khasida berkata, dia terkilan dengan kejadian itu memandangkan keluarganya bercadang membawa Nor Hafawati mengunjungi rumah ibu bapa kandungnya (kakak Khasida), sekali gus meraikan Hari Ibu pada hari ini.

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan