Ahad, 8 Mei 2011

Berita Harian: Mutakhir

Berita Harian: Mutakhir


Ekstremis tuntut pelbagai perkara kerana anggap kerajaan lemah: Dr M

Posted: 08 May 2011 03:07 AM PDT

Mutakhir

KUALA LUMPUR: Tindakan pihak ekstremis tertentu membuat pelbagai tuntutan sehingga sanggup mengubah apa yang termaktub dalam Perlembagaan disebabkan mereka beranggapan kerajaan ketika ini adalah lemah, kata bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

Katanya, kehilangan kuasa majoriti dua pertiga kerajaan di Parlimen menyebabkan puak terbabit berani mengambil kesempatan untuk menimbulkan pelbagai masalah berbanding suasana semasa di bawah pemerintahan beliau dahulu.

"Dulu masa saya (jadi Perdana Menteri) tidak ada. Saya mendapat sokongan daripada semua, orang Kristian, Hindu, atau orang Buddhist semua sokong, tidak ada tuntutan apa-apa. "Puak ekstremis ini buat begitu sebab dia nampak yang kerajaan lemah maka dia timbullah macam-macam masalah untuk bagi kotor lagi keadaan," katanya kepada pemberita selepas merasmikan mesyuarat perwakilan UMNO Bahagian Cheras di Dewan Utama, Pusat Rekreasi Cheras di sini.

Beliau ditanya mengenai penulisan oleh blog seperti yang dilaporkan akhbar mengenai majlis pertemuan DAP dengan paderi Kristian dari seluruh negara di sebuah hotel di Jalan Macalister, Pulau Pinang baru-baru ini.

Bagaimanapun, Dr Mahathir enggan mengulas mengenai perkara yang membabitkan agama itu kerana katanya ulasan yang pelbagai tanpa bukti yang jelas akan lebih memburukkan lagi keadaan.

Ditanya pandangannya berhubung laporan media yang mendahului pihak keselamatan yang seolah-olah menunjukkan kelemahan risikan pihak berkuasa, beliau berkata:
"Saya kena kaji sepenuhnya, saya tak berani nak buat kenyataan kerana saya tak akan menyumbang kepada keamanan dan ketenteraman negara dengan mengeluarkan pendapat yang belum mempunyai asas yang kukuh.

"Kalau ada sesuatu yang melanggar undang-undang kita boleh (ambil tindakan). Tetapi kadang-kadang yang tak langgar undang-undang pun kerana kita ada kuasa politik kita nak guna undang-undang, yang itu salahlah. Kita kena pegang pada undang-undang."

Mengulas mengenai cadangan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak supaya
PAS bekerjasama dengan UMNO, Dr Mahathir berkata cadangan itu baik kerana PAS juga pernah bersama UMNO semasa dalam Perikatan tetapi mereka perlu ikhlas, bukannya masuk untuk sekadar mencari peluang.

Dr Mahathir berkata, apa yang lebih baik yang dapat dilihat dari cadangan Perdana Menteri itu ialah PAS perlu keluar dari bersekongkol dengan individu tidak baik dan parti lain untuk memperjuangkan orang Melayu dan Islam.

"Dia (PAS) nak lawan dengan kita, lawanlah, dia nak pecah undi orang Melayu, pecahlah tetapi jangan kerjasama dengan orang yang begitu sekali dahsyat daripada pandangan orang yang waras," katanya.

Katanya, walaupun PAS beranggapan sokongan kepada pakatan pembangkang semakin bertambah berikutan pendedahan video seks yang pelakunya mirip seorang ketua pembangkang, parti yang kononnya memperjuangkan Islam itu perlu sedar terdapat pelbagai jenis manusia di dalam masyarakat Malaysia.

Dr Mahathir berkata, selepas pendedahan adegan video seks itu beliau tidak tahu apa lagi bukti yang dikehendaki rakyat bagi meyakinkan mereka bahawa itulah sifat sebenar ketua pembangkang tersebut.

"Saya tak tahu apa lagi nak meyakinkan rakyat...nak panggil rakyat pergi tengok dia buat, mustahillah begitu," katanya. - BERNAMA


Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.

Kerajaan timbang dasar derma organ jika penderma berkurangan

Posted: 08 May 2011 03:03 AM PDT

Mutakhir

KUALA LUMPUR: Kerajaan akan menimbang dasar yang sesuai untuk pendermaan organ selepas kematian sekiranya jumlah penderma organ di negara ini semakin berkurangan pada masa depan.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Liow Tiong Lai, berkata bagaimanpun perkara itu tidak perlu pada masa sekarang kerana bilangan pengikrar penderma organ di negara ini semakin meningkat dari tahun ke tahun.

Beliau berkata, seramai 147,000 orang sudah berikrar untuk menjadi penderma organ sehingga tahun lalu iaitu 59 peratus pengikrar berbangsa Cina, 24 peratus India dan 16 peratus Melayu. "Sesetengah negara seperti Singapura mengggunakan dasar 'opt-out' iaitu semua rakyat perlu menderma kecuali kalau ada yang tidak mahu menderma mereka perlu tulis surat yang mengatakan mereka tak mahu menderma.

"Tapi negara kita (gunakan) polisi 'opt-in' iaitu kalau nak menderma baru kita tulis surat (berikrar), ini juga dipraktikkan oleh banyak negara, kita akan menimbang kalau situasi mendesak sangat kita kena tengok apa polisi yang sesuai untuk negara kita," katanya kepada pemberita selepas merasmikan majlis "Caring and Sharing" di Buddhist Maha Vihara, Brickfields, di sini hari ini.

Liow berkata, halangan keluarga menjadi antara faktor pendermaan organ tidak dapat dilakukan oleh pengikrar penderma pada saat-saat akhir.

"Oleh itu kita minta orang ramai mempunyai komitmen terhadap perkara ini dan menyedari bahawa organ ini penting untuk menyelamatkan satu lagi nyawa yang amat memerlukannya.
"Lebih 6,000 kematian akibat kemalangan setahun di negara kita, tetapi hanya sebilangan kecil (daripada jumlah itu) yang menderma, kerana kesedaran tidak tinggi, jadi kita perlu meningkatkan kesedaran ini untuk membantu pesakit yang menunggu organ ini," katanya.

Beliau juga menasihatkan pesakit yang memerlukan organ melakukan transplantasi di hospital dalam negara dan mendapatkan sumbangan organ daripada keluarga atau saudara mara terdekat.

"Apa yang kita bimbang mereka (pesakit) ke hospital yang tidak diiktiraf di luar negara dan menyebabkan masalah komplikasi selepas transplantasi dibuat dan ini akan menyebabkan banyak masalah selepas itu," katanya. - BERNAMA


Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan