Isnin, 9 Mei 2011

Harian Metro: BeritaUtama

Harian Metro: BeritaUtama


Bot pulang misteri

Posted: 08 May 2011 03:01 PM PDT

SABAK BERNAM: Jeti nelayan Kampung Bagan Sungai Besar, dekat sini, gempar apabila sebuah bot yang dinaiki lima nelayan ditemui dengan kesan darah di beberapa bahagian dalam bot berkenaan, kelmarin.

Lebih mengejutkan, lima nelayan berkenaan iaitu tekong, Chia Yeow Chian, 41, pembantunya, Ismail Rejab, 41, serta tiga awak-awak warga Indonesia berusia antara 30 dan 35 tahun hilang dan gagal dikesan.


Ketika usaha mencari dan menyelamat dilakukan, pihak berkuasa menemui satu tilam yang turut mempunyai kesan percikan darah di tengah laut berhampiran perairan Sungai Besar dan adik Yeow Chian, Chia Yeow Soon, 39, mengesahkan tilam itu milik abangnya. Ketua Polis Daerah Sabak Bernam, Superintendan Noor Mushar Mohd berkata, semua mangsa dilaporkan turun ke laut seperti kebiasaan untuk menangkap ikan pada jam 7 pagi, 4 Mei lalu dari Jeti Kampung Bagan Sungai Besar.

"Bagaimanapun, pada jam 7 pagi semalam (kelmarin), adik tekong berkenaan (Yeow Soon) terkejut apabila mendapati bot dinaiki abangnya bersama yang lain berada di jeti tetapi, tiada seorang pun di situ.


"Pemeriksaan adik tekong itu kemudian mendapati ada beberapa kesan darah di bahagian dalam dan hujung bot itu sebelum dia cuba mencari abangnya dan Ismail di rumah mereka, namun mendapati nelayan terbabit masih belum pulang," katanya ketika ketika ditemui di lokasi kejadian, semalam.


Menurutnya, Yeow Soon juga mendapati motosikal abangnya yang diletakkan di jeti itu sebelum turun ke laut, turut hilang namun polis menemui semula kenderaan itu di tepi jalan di Sungai Labu, kira-kira 13 kilometer dari tempat ia hilang, kelmarin.

Yeow Soon kemudian membuat laporan di Balai Polis Sungai Besar dan pemeriksaan polis mendapati memang ada kesan darah di atas bot berkenaan namun tiada sebarang senjata ditemui.


Noor Mushar berkata, operasi mencari dan menyelamat mangsa giat dijalankan pelbagai agensi termasuk polis, pasukan polis marin, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM), Jabatan Bomba dan Penyelamat serta dibantu nelayan tempatan. Katanya, kira-kira jam 5 petang kelmarin pasukan penyelamat menemui satu tilam mempunyai kesan darah yang terapung di laut dan ia sudah dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sabak Bernam untuk siasatan.

"Siasatan awal tidak menolak kemungkinan berlaku pergaduhan di atas bot itu di tengah-tengah laut, namun siapa yang menjadi penyerang dan mangsa belum dapat diketahui.


"Polis juga belum mengetahui siapa yang membawa pulang bot berkenaan ke daratan. Ini kerana kita belum dapat mengesan seorang pun daripada kelima-lima mangsa, namun segala bukti sedang dikumpulkan," katanya.


Menurutnya, siasatan kes berkenaan setakat ini dilakukan sebagai sebagai kes orang hilang sehingga petunjuk baru ditemui.

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.

Gonggong kaki

Posted: 08 May 2011 02:59 PM PDT

KUCHING: Kaki kanan yang digonggong anjing peliharaan seorang peniaga kuih memberi petunjuk kepada penemuan mayat seorang wanita dipercayai dibakar sehingga rentung di tapak pembuangan sampah berdekatan sebuah sekolah rendah di Batu Kawah, pagi semalam.

Mayat wanita tidak diketahui identiti itu ditemui kira-kira 50 meter dari tempat kaki kanannya dilarikan anjing terbabit sambil menyalak ke arah tuannya yang secara kebetulan baru pulang dari berniaga, kira-kira jam 7 pagi.


Sebelum penemuan itu, wanita peniaga kuih berusia 50-an itu baru masuk ke rumah sewanya dan pelik apabila mendengar anjing peliharaannya menyalak tidak seperti kebiasaan.

Difahamkan, peniaga terbabit dikatakan pada mulanya tidak mempedulikan salakan anjingnya, namun hatinya tergerak untuk mengetahui punca sebenar sebelum menghampiri tempat haiwan itu berada.


Sebaik menghampiri anjingnya, dia terkejut melihat haiwan itu menggonggong kaki kanan yang tercabut dari paras lutut dalam keadaan rentung, namun tiada anggota badan ditemui di lokasi berkenaan.


Menurut sumber, wanita terbabit terus memanggil seorang anggota Ikatan Relawan Rakyat (Rela) yang secara kebetulan berada tidak jauh dari tempat kejadian sebelum menghubungi polis.

"Sebaik tiba, usaha mencari anggota badan mangsa berjaya ditemui selepas Unit Anjing Pengesan diarahkan bergegas ke lokasi kejadian.


"Seorang penduduk memberitahu ternampak kepulan asap beberapa hari lalu, namun tidak menyangka kejadian seumpama ini berlaku.

"Ini kerana penghuni menyangka ada penduduk membakar tayar kira-kira jam 11 malam. Namun, pada masa sama, penduduk turut hairan kerana pembakaran berlaku lewat malam," kata sumber berkenaan.


Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Daerah Kuching, Superintendan Fauzi Bujang ketika dihubungi mengesahkan penemuan mayat terbabit.


Katanya, siasatan awal mendapati kaki kanan bercerai daripada anggota badan mangsa dipercayai digonggong anjing sebelum dibawa ke lokasi penemuan itu.


"Pemeriksaan ke atas mayat terbabit tidak menemui sebarang dokumen peribadi, namun hanya mengesahkan mayat terbabit adalah wanita.


"Polis masih menjalankan siasatan dan kes ini disiasat mengikut Seksyen 302, Kanun Keseksaan kerana membunuh," katanya.

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan