Khamis, 19 Mei 2011

Berita Harian: Wilayah

Berita Harian: Wilayah


Nelayan laut dalam curi ikan

Posted: 18 May 2011 04:40 PM PDT

Wilayah

AHAMAD Sabki (kiri) mendengar penerangan mengenai model tukun tiruan daripada  Mohamad  selepas merasmikan seminar pembangunan dan penyelidikan tukun tiruan Kebangsaan 2011 di Hotel Vistana Pahang.

AHAMAD Sabki (kiri) mendengar penerangan mengenai model tukun tiruan daripada Mohamad selepas merasmikan seminar pembangunan dan penyelidikan tukun tiruan Kebangsaan 2011 di Hotel Vistana Pahang.

Warga asing guna bot pukat tunda jual hasil tangkapan ke negara asal

KUANTAN: Jabatan Perikanan mendakwa nelayan warga asing laut dalam yang bekerja dengan pemilik bot pukat tunda laut dalam rakyat tempatan menjual hasil tangkapan ke negara asal masing-masing bagi mengaut keuntungan, sekali gus menjejaskan pendaratan ikan bagi kegunaan rakyat tempatan.

Dakwaan itu dibuat selepas mendapati hasil tangkapan ikan oleh 1,315 bot pukat tunda laut dalam (C2) gagal menepati sasaran apabila hanya mampu mendaratkan 315,000 tan ikan atau 80 peratus berbanding sasaran pendaratan 349,500 tan sepanjang tahun lalu. Ketua Pengarahnya, Datuk Ahamad Sabki Mahmood, berkata siasatan pihaknya mendapati nelayan asing mengambil kesempatan menutup sistem pemantauan kapal (VMS) yang dipasang pada bot bagi mengelak dikesan pihak berkuasa termasuk Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM).

Justeru, beliau meminta majikan mereka yang juga pemilik bot pukat tunda laut dalam supaya memantau perkara itu dan segera melaporkan kepada pihak berkuasa.

Beliau berkata, pihaknya tidak akan teragak-agak mengambil tindakan tegas terhadap pemilik bot jika mendapati turut bersekongkol dan tidak mematuhi peraturan dan syarat pelesenan yang ditetapkan jabatan, termasuk menggantung dan pembatalan lesen bot dan peralatan yang digunakan.

"Kita akan membuat pemantauan secara berterusan bagi menjamin bot C2 yang menggunakan khidmat nelayan asing mendaratkan hasil tangkapan 100 peratus di eti pendaratan yang ditetapkan.
"Kita akan memantau operasi mereka menerusi VMS yang dipasang di setiap bot bagi menjamin hasil laut didaratkan di jeti perikanan negara," katanya pada sidang media selepas merasmikan Seminar Pembangunan dan Penyelidikan Tukun Tiruan Kebangsaan 2011 di sini, semalam.

Turut hadir, Pengarah Bahagian Pelesenan dan Pengurusan Sumber, Gulamsawar Jan Mohammad dan Pengarah Perikanan Pahang, Datuk Mohamad Mat Saman.

Sementara itu, Ahamad Sabki berkata, Jabatan Perikanan memerlukan peruntukan RM25 juta bagi meningkatkan hasil pengeluaran ikan negara sebanyak 1.76 juta tan menjelang 2020, di samping menambah 50 tapak tukun tiruan selain menjalankan pemantauan.


Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.

Seludup dadah guna motosikal

Posted: 18 May 2011 04:39 PM PDT

Wilayah

Sindiket ambil kesempatan ketika kesibukan seberangi Tambak Johor

JOHOR BAHRU: Polis sudah mengambil semua langkah berjaga-jaga, termasuk menempatkan pengintip di pintu masuk sempadan negara terutamanya di Tambak Johor di sini, bagi membanteras penyeludupan dadah antara dua negara.

Ia adalah susulan kejayaan melumpuhkan sindiket penyeludupan dadah ke Singapura, hasil tangkapan tujuh individu termasuk seorang wanita bersama lebih 4.8 kilogram heroin, selain menyita enam kenderaan yang keseluruhannya bernilai RM1.1 juta awal bulan ini. Kejayaan melumpuhkan sindiket terbabit hasil siasatan polis terhadap kegiatan penyeludupan dadah yang menggunakan modus operandi membawanya dengan motosikal, mengambil kesempatan pada kesesakan ribuan motosikal menyeberangi Tambak Johor pada waktu pagi.

Ketua Polis negeri, Datuk Mohd Mokhtar Mohd Shariff, berkata pihaknya akan meningkatkan kerjasama dengan agensi penguatkuasaan lain seperti Kastam Diraja Malaysia (KDRM) dan Jabatan Imigresen menerusi perkongsian maklumat.

"Kita sedang mengesan saki baki anggota sindiket terbabit yang dipercayai cuba merekrut atau mengupah penunggang motosikal baru sebagai pembawa dadah upahan untuk menyeludup bahan larangan terbabit ke Singapura.

"Polis juga sudah menubuhkan pasukan khas bagi menangani masalah ini. Kita sudah merangka perancangan teliti termasuk menempatkan pegawai sebagai pengintip di pintu masuk sempadan negara bagi memudahkan polis mengesan mereka yang disyaki," katanya di sini, semalam.
Mohd Mokhtar berkata, pihaknya juga meningkatkan kerjasama risikan antara Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Johor dan Biro Narkotik Pusat Singapura bagi mengesan dan melumpuhkan sindiket penyeludupan dadah berkenaan.

Berhubung penahanan tujuh individu termasuk seorang wanita berusia lingkungan 22 hingga 58 tahun yang terbabit dalam sindiket berkenaan, Mohd Mokhtar berkata, semua suspek masih dalam tahan reman bagi membantu siasatan.

"Kita mahu masyarakat juga memainkan peranan dan bekerjasama dengan polis dalam memerangi kegiatan ini. Apa saja maklumat yang mereka ketahui, boleh disalurkan kepada polis," katanya.

Sementara itu, Penolong Pengarah Bahagian Siasatan Kastam Johor, Harun Ishak, berkata pemeriksaan berkala sering dilakukan di Tambak Johor bagi membanteras kegiatan penyeludupan.

"Kita akan meningkatkan lagi pemeriksaan, malah setiap kenderaan akan diperiksa secara teliti supaya penjenayah tidak mempunyai peluang dan ruang untuk menyeludup bahan terlarang itu," katanya.


Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan