Khamis, 6 Januari 2011

Utusan Online - Utara

Utusan Online - Utara


Siput lala rezeki baru nelayan Penaga

Posted:

Siput lala rezeki baru nelayan Penaga

Siput lala rezeki baru nelayan Penaga

Oleh ABD. RAZAK OSMAN
utusanpenang@utusan.com.my


SAID Md. Ali menunjuk siput lala yang dijualnya di Pasar Lahar Endin, Penaga, Kepala Batas, baru-baru ini.


KEPALA BATAS 5 Jan. - Setiap hujung tahun, para nelayan di sekitar Penaga akan memperoleh rezeki baru, iaitu hasil tangkapan siput lala.

Siput itu yang hanya boleh diperoleh antara Oktober dan Disember membolehkan mereka menambah pendapatan dengan menjualnya di Pasar Lahar Endin di sini.

Bagaimanapun, tidak semua orang boleh menangkap siput lala kerana ia memerlukan kecekapan dan kepakaran tertentu.

Seorang nelayan, Said Md. Ali, 50, berkata, kehadiran banyak siput lala pada musim tersebut ternyata tidak dilepaskan oleh mereka.

Namun jelasnya, ia bukan satu pekerjaan yang mudah.

"Kalau kena caranya, kita pasti mendapat siput lala yang amat banyak dan kerja ini perlu dilakukan dengan penuh kesabaran, tidak boleh putus asa," katanya ketika ditemui di sini baru-baru ini.

Dia menambah, apa yang penting, nelayan perlu memiliki perahu dan palung bagi mencari siput lala di kawasan tanah berlumpur.

Menurutnya, dia boleh mendapat hasil tangkapan antara 60 hingga 100 kilogram (kg) sehari dengan hasil jualan lebih RM1,000 sebulan.

Sementara itu, Tarmizi Md. Zain, 45, memberitahu, dia mencari siput lala ketika air laut surut.

"Waktu untuk mencari siput jenis ini tidak boleh ditentukan, selalunya saya keluar rumah antara pukul 7 pagi dan balik kira-kira pukul 10 pagi," katanya.

Siput lala yang diperoleh itu dijualnya pada harga RM3 sekilogram.

"Orang ramai suka beli siput ini kerana rasanya yang enak dan isinya yang manis," ujarnya.

Seorang lagi nelayan, Zul Deris, 45, pula menjelaskan, pada bulan-bulan lain, dia hanya menumpukan kepada penangkapan ikan di laut.

"Sebaik masuk bulan Oktober hingga bulan Disember setiap tahun, saya terus berhenti dari mencari ikan kerana tertarik mencari siput lala," katanya.

Dia memberitahu, ada juga beberapa nelayan mengambil peluang mencari kerang yang turut berada di kawasan tanah berlumpur ketika musim itu.

Full Feed Generated by GetFullRSS.com, sponsored by USA Best Price.

Insurans Skim Kasih dilancar

Posted:

Insurans Skim Kasih dilancar

Insurans Skim Kasih dilancar

Oleh ABDUL MUIN SAPIDIN
muin.sapidin@utusan.com.my


ABDUL Jalil Abdul Majid (tengah) memotong riben belon sebagai simbolik pelancaran Skim Kasih anjuran Pemuda UMNO Permatang Pauh di Dewan GiatMara Permatang Ara, Bukit Mertajam, baru-baru ini.


BUKIT MERTAJAM 5 Jan. – Sempena sambutan Tahun Baru 2011, Pemuda UMNO Bahagian Permatang Pauh melancarkan Skim Kasih iaitu perlindungan insurans secara percuma kepada kira-kira 5,000 ahli pergerakan tersebut mulai tahun ini.

Melalui skim berkenaan, setiap ahli yang mendaftar dengan pergerakan itu akan menikmati perlindungan insurans termasuk wang tunai sebanyak RM1,000 kepada waris sekiranya berlaku kematian termasuk yang berpunca akibat kemalangan.

Selain itu, ahli pergerakan tersebut juga akan menikmati saraan harian sebanyak RM20 selama 90 hari sekiranya tidak dapat bekerja kerana mengalami kecederaan atau terlibat dalam kemalangan.

Ketuanya, Mohd. Zaidi Mohd. Said berkata, buat permulaan, pihaknya menyediakan peruntukan sebanyak RM20,000 bagi melaksanakan skim berkenaan yang bertujuan memberi perlindungan dan menjaga kebajikan ahli pergerakan itu.

''Kita mahu menjadi perintis kepada usaha mewujudkan skim seumpama ini dalam usaha untuk menjaga kebajikan serta memberi penghargaan kepada ahli-ahli yang sentiasa bekerja keras untuk parti dan penduduk di kawasan ini.

''Pada masa sama, kita harap ia mampu menjadi elemen baru yang dapat menarik penyertaan generasi muda pada masa-masa yang akan datang," katanya ketika berucap pada majlis pelancaran skim tersebut di sini baru-baru ini.

Pelancaran skim berkenaan diadakan sempena Program Juara Rakyat: Bulan Kerjaya anjuran pergerakan tersebut yang dirasmikan Ketua UMNO Bahagian Permatang Pauh, Datuk Abdul Jalil Abdul Majid.

Turut hadir pada Naib Ketua UMNO Bahagian Permatang Pauh, Rahim Man.

Mohd. Zaidi menambah, pihaknya berazam untuk mewujudkan lebih banyak program-program berorientasikan rakyat pada tahun ini dengan memberi tumpuan dari segi pembangunan pendidikan serta membela nasib golongan yang memerlukan.

Menurutnya, program yang dijalankan pula terus kepada golongan sasar dengan memperbanyakkan aktiviti turun padang secara berkala.

''Dengan cara ini, kita harap Pemuda UMNO dapat menjalin hubungan lebih erat dengan setiap lapisan rakyat dan mengambil tahu setiap permasalahan yang mereka hadapi dari semasa ke semasa," tambahnya.

Full Feed Generated by GetFullRSS.com, sponsored by USA Best Price.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan