Berita Harian: Mutakhir |
Kerajaan Selangor perlu perkenan Sultan untuk pindaan: Dr Mahathir Posted: 06 Jan 2011 01:57 AM PST Mutakhir SHAH ALAM: Kerajaan Parti Keadilan Rakyat (PKR) Selangor perlu mendapatkan perkenan Sultan Selangor meskipun berjaya meminda Undang-undang Tubuh Negeri untuk mengembalikan kuasa melantik tiga pegawai eksekutif negeri itu kepada Sultan dan Menteri Besar.Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, berkata tanpa tandatangan dan perkenan Sultan Sharafuddin Idris Shah, pindaan itu tidak boleh menjadi undang-undang. "Kerajaan Selangor memerlukan undi majoriti dua pertiga ADUN (Ahli Dewan Undangan Negeri) dalam sidang DUN (Dewan Undangan Negeri) untuk membolehkan Undang-undang Tubuh Negeri dipinda. Sama ada mereka dapat undi itu ataupun tidak, saya tak tahulah. Walau apapun, kalau tak dapat tandatangan daripada Raja, pindaan itu tidak boleh jadi undang-undang (meskipun ia diluluskan dengan mendapat majoriti dua pertiga di peringkat DUN). "Perkara ini akhirnya terpulang sama ada Raja bersetuju ataupun tidak," katanya kepada pemberita selepas menyampaikan ucaptama pada "Seminar Perdana: Perpaduan Asas Pembangunan Bangsa" di Universiti Teknologi MARA (UiTM) di sini hari ini.Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim, sebelum ini berkata Kerajaan Negeri Selangor akan mengadakan sidang tergempar DUN bagi meminda Undang-Undang Tubuh Negeri Selangor untuk mengembalikan kuasa melantik tiga pegawai eksekutif Selangor kepada Sultan Selangor dan Menteri Besar. Kuasa pelantikan Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK), Penasihat Undang-Undang Negeri dan Pegawai Kewangan Negeri yang sebelum ini terletak pada kerajaan negeri, ditarik balik berikutan pindaan Perlembagaan pada 1993 ketika Dr Mahathir menjadi Perdana Menteri yang turut menyebabkan undang-undang di Selangor dipinda bagi memusatkan kuasa Kerajaan Persekutuan. Dr Mahathir juga menasihatkan sesetengah pihak agar jangan mempolitikkan isu pelantikan Mohd Khusrin Munawi sebagai SUK baru.
"Itu adalah tanggungjawab baginda. Perkara ini dipolitikkan seolah-olah pegawai kerajaan mestilah memihak kepada parti dan sebagainya. Dia (pegawai kerajaan) hanya menjalankan tugas dan apa juga keputusan kerajaan, dia terpaksa melakukan dan tidak boleh bertindak secara bersendirian," katanya. Pelantikan Mohamad Khusrin, 54, sebagai SUK baru berkuat kuasa 1 Januari lalu, mencetuskan kontroversi apabila Menteri Besar dilaporkan berkata pelantikan itu belum muktamad kerana beliau tidak pernah dimaklumkan mengenainya. - BERNAMA |
Waspada individu menyamar pemeriksa meter TNB Posted: 06 Jan 2011 01:47 AM PST Mutakhir KUALA LUMPUR: Tenaga Nasional Berhad (TNB) meminta orang ramai supaya berhati-hati dengan pihak yang menyamar sebagai pemeriksa meter syarikat utiliti negara berkenaan, berikutan terdapat laporan kes samun yang dilakukan pihak yang menyamar.Menurut TNB, pemeriksa meter syarikatnya boleh dikenal pasti melalui pakaian yang dipakai mereka serta kad kuasa yang mereka miliki. "Anggota kerja TNB yang menjalankan tugas di premis pengguna diwajibkan memakai pakaian seragam syarikat berupa baju T berwarna merah yang mempunyai logo TNB beserta jaket biru dengan sulaman logo TNB berwarna merah dan mempunyai nama anggota kerja tersebut. "Anggota kerja TNB yang perlu memeriksa meter hanya akan masuk ke halaman rumah dengan kebenaran penghuni setelah menunjukkan kad kuasa," menurut TNB menerusi satu kenyataan.Kad kuasa itu adalah kad pengenalan diri pekerja TNB yang memaparkan gambar anggota kerja beserta nombor kad pengenalan dan nombor pekerja berkenaan. Dalam kejadian terbaru semalam, dua lelaki yang menyamar sebagai pekerja TNB dilaporkan menyamun seorang wanita warga emas di Teluk Kemang. TNB juga menyatakan pemeriksaan oleh anggotanya hanya dapat dibuat setakat meter di luar premis dan mereka tidak dibenarkan membuat sebarang pemeriksaan pendawaian di dalam rumah kerana ia di luar bidang kuasa petugas syarikat berkenaan. - BERNAMA |
You are subscribed to email updates from Berita Harian: Mutakhir To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan