Utusan Online - Timur |
IOA bantu ramai pelajar tercicir Posted: IOA bantu ramai pelajar tercicirOleh HAPIZAH AZIZ SEBAHAGIAN pelajar anak Orang Asli yang menjalani latihan di Pusat Pendidikan dan Latihan Islamic Outreach-ABIM di Kok Lanas, Kota Bharu. - utusan/Hapizah Aziz KOTA BHARU 5 Jan. - Pertubuhan Islamic Outreach-ABIM (IOA) ditubuhkan pada 1987 dengan matlamat untuk menyebarkan dakwah mengajak umat manusia mengenali Allah, Tuhan Yang Esa. Sepanjang lebih 15 tahun kewujudannya, IOA telah membantu lebih 5,000 saudara baru mendalami Islam menerusi pelbagai program yang dianjurkan seperti kelas agama, sesi kaunseling dan bantuan kewangan hasil sumbangan banyak pihak. Bagi menjayakan misi murninya itu, IOA telah mewujudkan cawangan di seluruh negara seperti Pulau Pinang, Selangor, Negeri Sembilan, Sabah dan Kelantan. Ia turut mengembangkan aktiviti yang dijalankan membabitkan kumpulan anak yatim, golongan kurang upaya, Orang Asli termasuk mereka yang dijangkiti HIV. Selaras dengan matlamat penubuhannya, IOA baru-baru ini telah membantu seramai 41 pelajar di kalangan saudara baru di seluruh negara yang tercicir dalam alam persekolahan. Pelajar terbabit kebanyakannya datang dari kawasan pedalaman dan mereka dibawa ke Pusat Pendidikan dan Latihan (PPL) IOA di Kok Lanas untuk diberikan pendidikan termasuk ilmu agama melalui tiga modul yang disediakan. Hasil pendidikan yang diberikan kelak, pelajar terbabit berpeluang memasuki Institut Dakwah Islam Perkim di Pengkalan Chepa dan melanjutkan pelajaran ke peringkat lebih tinggi, seterusnya berbakti kepada agama, bangsa dan negara. Ahli Jawatankuasa PPL, Kamaruddin Md. Amin berkata, tugas paling mencabar pihaknya ialah untuk mengesan pelajar terbabit terutama di kalangan anak-anak Orang Asli. "Kami terpaksa pergi ke kampung di pedalaman untuk memujuk ibu bapa supaya dibenarkan anak-anak mereka dibawa ke PPL bagi menyambung kembali persekolahan mereka," katanya. Beliau ditemui selepas Majlis Penyampaian zakat Lembaga Kebajikan Perempuan Islam Malaysia (LKPIM) Kelantan kepada anak-anak saudara baru di pusat berkenaan baru-baru ini. Pada majlis itu, seramai 60 orang penerima termasuk anak-anak saudara baru di kalangan Orang Asli menerima sumbangan daripada Pengerusi LKPIM negeri, Datin Bi Samihah Mohd. Salleh. Kamaruddin memberitahu, kebanyakan pelajar terbabit tercicir semasa di tingkatan dua dan empat disebabkan malu dengan status baru mereka. Beliau memberitahu, dalam kumpulan itu, terdapat 20 orang pelajar saudara baru suku kaum Kensiu dari Baling, Kedah yang berhenti sekolah kerana masalah pergaulan dengan rakan-rakan mereka dan masyarakat tempatan. Justeru katanya, bagi memastikan pelajar terbabit tidak terus tercicir mereka telah dibawa dan ditempatkan di PPL supaya dapat meneruskan sesi persekolahan selain diberi bimbingan khusus dalam bidang keagamaan. Katanya, ketika ini terdapat 14 orang sukarelawan di PPL yang akan mengajar pelajar tersebut mengikut jadual ditetapkan. "Pelajar tersebut juga diajar bernasyid dan menyanyi kerana itu merupakan antara budaya mereka sebelum ini. Selain itu, pendekatan tersebut juga membantu dan menjadikan proses pembelajaran menjadi lebih mudah," ujarnya. Selain itu katanya, pihaknya turut menyediakan empat orang kaunselor bertauliah iaitu seorang berketurunan Melayu, dua Orang Asli dan seorang Tionghua. "Dalam tempoh pembelajaran di PPL, mereka juga dibolehkan pulang ke kampung setiap dua atau tiga bulan sekali iaitu selama dua minggu hingga sebulan," katanya. Sementara itu, dua orang pelajar yang ditemui menyifatkan mereka amat bernasib baik kerana masih berpeluang untuk belajar seterusnya mendalami Islam. Mohd. Khairul Dauneh, 17, berkata, dia berhenti sekolah ketika di tingkatan empat dan dengan kehendak ayahnya, dia telah dihantar ke pusat berkenaan. Pelajar dari Ranau, Sabah itu berkata, sejak tinggal hampir setahun di pusat berkenaan, dia telah didedahkan dengan pelbagai ilmu mengenai Islam dan berhasrat meneruskan pengajian sehingga ke peringkat lebih tinggi untuk menjadi seorang pendakwah. "Saya mahu balik ke kampung dan menjalankan tanggungjawab untuk menyampaikan dakwah kepada orang kampung," katanya. Musliha Agei, 17, dari Pos Pasik, Gua Musang pula berkata, dia selesa belajar di pusat itu bagi melengkapkan diri sebagai seorang Muslim sejati. Anak kedua dari enam beradik itu berkata, dia ingin menjadi contoh dalam keluarga terutama di kalangan adik-adiknya. Bekas pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Sultan Yahya Petra 1 itu memberitahu, dia berhenti sekolah kerana menghadapi masalah pergaulan dengan rakan-rakan dan sepanjang dua bulan berada di PPL, dia mula selesa bergaul dan berkomunikasi dengan pelajar lain. "Selepas menamatkan pengajian di sini, saya akan balik ke kampung dan membantu masyarakat Orang Asli untuk menerima Islam dengan baik," katanya yang bercita-cita menjadi seorang ustazah. Musliha turut melahirkan rasa syukur dan penghargaan ke atas PPL dan sukarelawan di pusat berkenaan yang banyak membantu dia serta rakan-rakan lain. | ||
Posted: Segera baiki jalan rosakOleh SAMSUL BAHARI MOHAMED
KOTA BHARU 5 Jan. - Seramai 4,500 penduduk di tiga buah kampung dekat sini menggesa kerajaan negeri segera membaiki kerosakan jalan di kampung berkenaan yang berlarutan sejak enam tahun lalu. Penduduk kampung berkenaan mendakwa, kerosakan jalan sepanjang kira-kira satu kilometer itu menjejaskan aktiviti seharian mereka selain mengancam keselamatan orang ramai terutama kanak-kanak yang berulang-alik ke sekolah berdekatan dengan berbasikal. Apa yang mengecewakan penduduk di tiga kampung terbabit iaitu Kampung Pantai Sabak, Kampung Pulau Gajah dan Kampung Tanjung Kuala adalah kegagalan kerajaan negeri mengatasi masalah tersebut sehingga membiarkannya berlarutan selama enam tahun sungguhpun telah banyak aduan dibuat. Seorang penduduk, Hazan Ibrahim, 56, berkata, keadaan jalan tersebut yang tidak rata dan berlubang-lubang boleh mengundang kecelakaan kepada penduduk terutama penunggang motosikal dan kanak-kanak yang berbasikal ke sekolah. "Setakat ini, ramai juga kanak-kanak yang berbasikal ke sekolah berhampiran terjatuh semasa melalui jalan tersebut disebabkan keadaannya yang tidak rata dan berlubang-lubang. "Keadaan menjadi lebih buruk apabila musim tengkujuh di mana permukaan jalan yang berlopak dan berlubang digenangi air sehingga sukar dilihat. Kami telah menunggu selama enam tahun untuk pihak berkenaan menurapkan jalan ini, sudah banyak aduan dibuat tetapi tidak diendahkan," dakwanya ketika ditemui di sini hari ini. Seorang lagi penduduk, Zulkifli Mohamed, 42, mendakwa, dia cukup kecewa dengan kelewatan kerajaan negeri mengatasi masalah jalan tersebut sehingga terpaksa melalui saat cemas apabila tayar keretanya pancit dan rim pula bengkok selepas termasuk ke dalam lubang semasa melalui jalan berkenaan baru-baru ini. Dia turut mendakwa ada murid sekolah yang terjatuh semasa melalui jalan berkenaan sehingga terpaksa dirawat di Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II). "Apabila hujan lebat, jalan dipenuhi air dan ia amat merbahaya kepada orang ramai terutama kanak-kanak. Penduduk tiada jalan alternatif dan terpaksa juga menggunakan jalan tersebut," katanya. Azman Ibrahim, 44, pula berkata, dia amat berharap Menteri Besar, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat dapat menyelesaikan segera masalah tersebut sebelum kejadian lebih buruk berlaku. "Ini kerana, jalan tersebut merupakan laluan utama bagi penduduk serta pelancong untuk ke Pantai Dasar Sabak dan ke kampung-kampung berdekatan," katanya. |
You are subscribed to email updates from Utusan Online - Timur To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan