Utusan Online - Utara |
Sewa rumah awam tertunggak RM23j Posted: Sewa rumah awam tertunggak RM23jOleh MOHD. SHARIZA A BDULLAH ALOR SETAR 4 Jan. - Kerajaan negeri tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan tegas terhadap penyewa perumahan awam yang memiliki sewa tertunggak sehingga mencecah jumlah keseluruhan lebih RM23 juta sehingga penghujung tahun lalu. Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Kerja Raya, Pembangunan Luar Bandar dan Basmi Kemiskinan negeri, Datuk Phahrolrazi Zawawi berkata, langkah yang lebih berat termasuk mengambil tindakan undang-undang terpaksa dilakukan jika pemilik berkenaan terus gagal memberikan kerjasama. Katanya, kegagalan pemilik melunaskan sewa tertunggak menyukarkan kerajaan negeri untuk melaksanakan lebih banyak projek yang sama pada masa depan kepada keluarga-keluarga lain yang memerlukan bantuan rumah kos rendah. "Kerajaan negeri perlu bertindak tegas kerana tiada pilihan lain supaya sewa-sewa tertunggak itu dapat dijelaskan dengan memberi tumpuan kepada mereka yang mempunyai jumlah tunggakan agak besar. "Jika tidak, para pemilik yang terlibat akan terus memandang ringan terhadap pembayaran tunggakan sewa masing-masing," katanya kepada pemberita di sini hari ini. Awal tahun lalu, kerajaan negeri membuat cadangan untuk menyerahkan kepada pihak bank bagi menuntut kesemua hutang perumahan awam yang masih belum berbayar itu. Cadangan itu bagaimanapun mendapat bantahan penduduk yang terlibat termasuk dari Taman Wira, Mergong di sini kerana menyifatkan ia sebagai penindasan terutamanya kepada golongan kurang upaya, warga tua, orang miskin dan ibu tunggal yang mendiami kawasan perumahan tersebut. Phahrolrazi berkata, kerajaan negeri telah mengambil tindakan proaktif dengan menyerahkan notis peringatan agar para penyewa yang degil tampil menjelaskan pembayaran sewa bulanan masing-masing sejak tahun lalu. Menurut beliau, pihaknya turut mendapatkan perintah mahkamah dan telah mengeluarkan writ pemilikan terhadap 12 pemilik rumah yang mempunyai kes tunggakan sewa tertinggi. "Ada antara mereka yang memberikan respons dengan datang berunding mengenai cadangan pembayaran yang boleh dibuat," katanya. Dalam pada itu, beliau memberitahu, pihaknya akan turut mengambil tindakan terhadap pemilik rumah awam yang melanggar perjanjian seperti menyewakan kediaman kepada orang lain dan yang membuat pindaan rumah tanpa kebenaran kerajaan negeri. | ||
Warga emas ditahan simpan rokok seludup Posted: Warga emas ditahan simpan rokok seludup
ALOR SETAR 4 Jan. - Seorang lelaki warga emas berusia 72 tahun ditahan Unit Pencegah Penyeludupan (UUP) Kuala Kedah kerana disyaki menyimpan rokok yang diseludup di sebuah rumah di Kota Setar di sini. Lelaki itu ditahan kira-kira pukul 9 pagi semalam setelah sepasukan anggota dan pegawai UPP menyerbu rumah tersebut. Komander UPP Kedah, Mohd. Jasri Othman berkata, ketika serbuan, lelaki berkenaan berada seorang diri di dalam rumah tersebut. "Pihak kami telah menjalankan intipan ke atas rumah tersebut sejak minggu lalu. Setelah dua jam mengintip pergerakan warga emas ini semalam, kami terus menyerbu rumah tersebut. "Hasil pemeriksaan, pasukan kami menemui rokok pelbagai jenama sebanyak 598 karton dan kesemua rokok tersebut dibawa balik ke pejabat UPP Kuala Kedah untuk tindakan lanjut," katanya kepada pemberita di Kuala Kedah hari ini. Menurutnya, kesemua rokok yang dirampas bernilai hampir RM13,000 manakala duti ke atas rokok-rokok tersebut bernilai RM51,214. "Pihak kami percaya, rokok-rokok tersebut diperoleh daripada luar negara dan Pulau Langkawi. "Warga emas ini akan menjual rokok-rokok ini kepada pelanggan yang datang ke rumah tersebut," katanya. Sementara itu, Mohd. Jasri berkata, sepanjang tahun lalu, UPP Kuala Kedah berjaya merampas rokok seludup bernilai kira-kira RM20,000 dan melibatkan cukai RM113,600 dan tangkapan warga emas tersebut hari ini merupakan kes pertama bagi tahun ini. |
You are subscribed to email updates from Utusan Online - Utara To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan