Rabu, 5 Januari 2011

Harian Metro: Setempat

Harian Metro: Setempat


Polis palsu tumpas

Posted: 04 Jan 2011 11:16 AM PST

AMPANG: Dua sahabat karib yang giat menjalankan kegiatan samun dengan menyamar polis tumpas selepas seorang daripada mereka ditahan awal pagi akhir bulan lalu.

Difahamkan, kedua-dua lelaki terbabit yang berusia 30-an aktif menyamar polis sejak lebih setahun lalu dengan memakai jaket polis dan menunggang sebuah motosikal bagi mencari sasaran mereka.


Ketua Polis Ampang Jaya, Asisten Komisioner Amiruddin Jamaluddin, berkata seorang daripada suspek mempunyai 10 rekod jenayah lampau dan paling dikehendaki polis berhubung kegiatan penyamaran itu. Katanya, pada 30 Disember lalu kira-kira jam 3.30 pagi, suspek berkeliaran di Pandan Perdana, Ampang, di sini, sebelum cuba memperdaya seorang pelajar yang melalui kawasan itu.

"Suspek menahan kereta mangsa yang berusia 21 tahun itu dan memperkenalkan diri sebagai anggota polis dan mahu menjalankan pemeriksaan.


"Ketika pemeriksaan, suspek mengarahkan mangsa menyerahkan dua telefon bimbit dan wang RM20," katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ampang Jaya, di sini, semalam.


Menurutnya, ketika kejadian, sebuah kereta peronda polis yang melalui kawasan itu melihat gelagat suspek mencurigakan.

Suspek yang terkejut sejurus melihat kehadiran kereta peronda berkenaan melarikan diri, namun seorang daripada mereka diberkas dan seorang lagi meloloskan diri.


"Pemeriksaan polis menemui alat renjatan elektrik, sebilah pisau lipat dan sekeping kad tertera logo polis dipercayai digunakan mereka untuk menyamun.

"Selain itu, kami (polis) turut merampas sebuah motosikal yang digunakan mereka. Malah, siasatan lanjut mendapati motosikal itu motosikal curi yang dilaporkan hilang di Salak Selatan," katanya.


Amiruddin berkata, suspek yang paling dikehendaki itu berkaitan kes penyamaran polis di Cheras, di sini, direman sehingga 10 Januari ini bagi membantu siasatan.


Katanya, polis kini giat mengesan seorang lagi rakan suspek yang masih bebas dan percaya suspek akan ditahan dalam tempoh terdekat.


"Kami percaya dengan penahanan suspek itu, kami menyelesaikan lebih tujuh kes samun membabitkan penyamaran polis sepanjang tahun lalu," katanya.

Full Feed Generated by GetFullRSS.com, sponsored by USA Best Price.

Cekup 12 GRO asing dalam restoran

Posted: 04 Jan 2011 11:15 AM PST

PETALING JAYA: Lagi pelayan pelanggan (GRO) warga asing ditahan, kali ini 12 wanita diberkas dalam serbuan di sebuah restoran di premis dua tingkat di Taman Bukit Mayang Emas, di sini, petang semalam.

Dalam serbuan kira-kira jam 4.30 petang itu, sepasukan pegawai termasuk anggota dari Jabatan Siasatan Jenayah Maksiat, Kongsi Gelap dan Perjudian (D7) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya menyerbu premis terbabit yang dikenal pasti hanya dikunjungi pelanggan tetap.


Ketua Polis Petaling Jaya, Asisten Komisioner Arjunaidi Mohamed yang turut serta serbuan itu berkata, polis melakukan risikan sejurus menerima maklumat awam.

"Premis itu terkunci dan hasil pemantauan dan risikan, kami (polis) menyerbu masuk selepas pemilik terbabit leka dengan kunjungan 'pelanggan' tanpa menyedari pergerakan mereka diperhatikan," katanya.


Bagaimanapun, keadaan dalam premis itu gelap dan hanya disinari kerlipan lampu neon sebelum menemui GRO terbabit.


Arjunaidi berkata, polis mendapati premis itu tidak mempunyai sebarang permit hiburan yang diluluskan pihak berkuasa tempatan (PBT) dan tidak menolak kemungkinan turut menawarkan kegiatan maksiat selepas beberapa tilam dan ruangan khas turut ditemui.

Harian Metro difahamkan pusat hiburan yang terletak di bahagian atas premis bangunan kedai dua tingkat itu dilengkapi sofa dan ruang minum bagi pelanggan dan GRO terbabit.

Full Feed Generated by GetFullRSS.com, sponsored by USA Best Price.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan