Selasa, 4 Januari 2011

Utusan Online - Utara

Utusan Online - Utara


SPS dilanda banjir kilat

Posted:

SPS dilanda banjir kilat

SPS dilanda banjir kilat


Abu Hasan Ishak mendukung anak jirannya untuk dipindahkan ke tempat selamat setelah rumahnya di Kampung Sungai Kechil dinaiki air selepas hujan lebat pagi semalam.


NIBONG TEBAL 3 Jan. - Hujan lebat selama hampir lima jam pagi ini mengakibatkan beberapa kawasan di Seberang Perai Selatan (SPS) dilanda banjir kilat.

Antara kawasan yang terlibat adalah Kampung Sungai Kechil, Kampung Besar, Simpang Ampat Tasek dan sekitar Jawi apabila hujan lebat bermula sejak pukul 8.30 pagi.

Tinjauan Utusan Malaysia di Kampung Sungai Kechil di sini mendapati, sebanyak 60 buah rumah dinaiki air sedalam hampir satu meter.

Kejadian itu juga disifatkan antara yang terburuk sejak dua tahun lalu kerana air naik dengan mendadak mengakibatkan penduduk tidak sempat menyelamatkan barang-barang.

Menurut seorang penduduk, Abdul Majid Embi, 52, dia tidak sempat untuk menyelamatkan peralatan elektrik dan perabot kerana air naik terlalu cepat.

"Hujan bermula dari pagi namun tak sangka dalam masa dua jam ia dah mula masuk ke dalam rumah sehingga paras pinggang orang dewasa dan turut melimpahi jalan.

"Memang kejadian ini saya rasa paling teruk biarpun kawasan ini memang sering dilanda banjir," katanya.

Pendapat sama diakui oleh Salasiah Din, 54, yang mengakui banjir kali ini amat luar biasa kerana air mula naik sehingga satu meter dalam masa empat jam.

"Masa air mula naik saya tak ada di rumah sebelum dapat panggilan daripada adik yang maklumkan rumah saya mula dinaiki air.

"Apabila sampai di rumah memang tak banyak barang yang dapat diselamatkan terutama peralatan elektrik dan perabot yang tenggelam," ujarnya.

Bagi Rashid Ibrahim, 64, mujurlah banjir kali ini berlaku pada waktu siang kerana kalau malam mungkin sukar untuk mereka menyelamatkan diri.

"Sebelum ini beberapa kali air naik pada waktu malam menyebabkan kami kelam-kabut menyelamatkan diri dan mengemas barang-barang.

"Tapi kami juga agak sedih kerana ia berlaku ketika hari pertama persekolahan bermula dan ramai ibu bapa yang menghantar anak-anak mereka ke sekolah," katanya.

Dalam pada itu, Ketua Polis Daerah SPS, Supritendan Shafien Mamat berkata, beberapa agensi seperti polis, Jabatan Bomba dan Penyelamat, Jabatan Pertahanan Awam Malaysia dan Jabatan Kebajikan Masyarakat telah menggerakkaan anggota untuk menyelamat mangsa.

Polis juga katanya, mendapat kerjasama Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Negeri dan Persekutuan untuk menyelaras bantuan mangsa.

"Buat masa ini tiada penduduk yang dipindahkan kecuali seorang penduduk orang kelainan upaya yang dipindahkan ke dewan JKKK berhampiran.

"Pengguna kenderaan ringan juga dinasihatkan tidak menggunakan jalan kampung ini, manakala ibu bapa diminta mengawasi anak-anak kecil supaya tidak bermain banjir," ujarnya yang ditemui ketika melawat Kampung Sungai Kechil bersama Penyelaras Barisan Nasional Dewan Undangan Negeri Sungai Bakap, Fuad Mad Isa.

Full Feed Generated by GetFullRSS.com, sponsored by USA Best Price.

Harga bawang naik dua kali ganda

Posted:

Harga bawang naik dua kali ganda

Harga bawang naik dua kali ganda

Oleh HASHIM P. MAMAT
utusanperak@utusan.com.my

KUALA KANGSAR 3 Jan. - Harga beberapa barangan keperluan harian terutamanya bawang di pasar dan kedai runcit di sini didapati melambung sehingga melebihi dua kali ganda berbanding harga asal menjelang sambutan Tahun Baru Cina, Februari ini.

Kenaikan harga yang tidak munasabah itu telah menyebabkan ramai pengguna di daerah ini merungut dan mempersoalkan kewajaran tersebut kerana membebankan mereka.

Tinjauan Utusan Malaysia mendapati, kenaikan ini berlaku di hampir semua pasar serta kedai runcit di sini.

Misalnya, bawang putih yang kebiasaannya dijual antara RM4 hingga RM4.50 sekilogram telah naik hingga RM10 sekilogram.

Bawang kecil pula yang biasa dijual RM4 hingga RM5 sekilogram meningkat kepada RM11 sekilogram, manakala bawang besar yang lazimnya dijual RM1.50 hingga RM2.50 sekilogram naik kepada RM5 sekilogram.

Menurut pengguna, kenaikan ini telah berlaku sejak sebulan lalu dan ada kedai tidak lagi menjual bawang disebabkan kenaikan harga yang terlampau tinggi.

Seorang peniaga kedai runcit, Salleh Mohamad berkata, kenaikan harga bawang berpunca daripada kekurangan bekalan yang tidak dapat dielakkan.

''Saya sendiri membeli bawang pada harga tinggi dari pembekal dan sebab itu saya terpaksa menjualnya pada harga agak mahal juga," katanya.

Tambah Salleh, minyak masak paket juga sukar didapati di pasaran dan hanya minyak masak dalam botol sahaja yang ada.

''Mungkin bekalan minyak masak paket ini akan terputus dalam pasaran dan ia mungkin taktik pemborong untuk menaikkan harga barangan ini," katanya.

Seorang penjual nasi lemak, Asmah Musa, 50, pula memberitahu, kenaikan harga bawang dan santan kelapa menyebabkan kos membuat nasi lemak meningkat, sedangkan untungnya tidak seberapa.

''Saya menggunakan tidak kurang satu kilogram bawang putih dan bawang besar serta dua kilogram santan kelapa setiap hari.

''Saya tidak boleh menaikkan harga nasi lemak kerana nanti pelanggan saya akan lari," katanya.

Oleh itu, mereka meminta pihak berwajib memantau kenaikan harga barangan tersebut yang tidak munasabah dan mengambil tindakan ke atas peruncit atau pemborong terlibat.

Full Feed Generated by GetFullRSS.com, sponsored by USA Best Price.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan