Selasa, 4 Januari 2011

Harian Metro: Mutakhir

Harian Metro: Mutakhir


Bekas konstabel polis dipenjara tiga tahun jual motosikal curi

Posted: 04 Jan 2011 01:06 AM PST

KLANG: Seorang bekas anggota polis berpangkat konstabel dijatuhi hukuman penjara tiga tahun oleh Mahkamah Majistret di sini hari ini selepas didapati bersalah menjual sebuah motosikal curi yang dilaporkan hilang kepada seorang lelaki, 10 tahun lalu.

Majistret Afifah Mamat @ Yusof menjatuhkan hukuman itu selepas berpuas hati bahawa tertuduh, Zainuddin Rahmat, 32, gagal menimbulkan keraguan munasabah terhadap kes pendakwaan.


Afifah memerintahkan Zainuddin menjalani hukuman berkuat kuasa hari ini dan menolak permohonan tertuduh untuk menangguhkan pelaksanaan hukuman sementara menunggu proses rayuan di Mahkamah Tinggi.

Zainuddin, bapa kepada enam anak, didakwa sengaja memindahkan iaitu menjual sebuah motosikal jenis Honda C100, nombor pendaftaran ACY 7326 bernilai RM2,500 kepunyaan Mohamad Man dengan harga RM300 kepada Azlan Ariffin, 26, sedangkan tertuduh tahu ia adalah harta curi yang dilaporkan hilang.


Dia didakwa melakukan kesalahan itu di kaki lima depan rumah No: 62, Jalan Raja Abdul Rahman, Taman Kapar, Kapar di sini, kira-kira pukul 8 malam pada Ogos 2001.


Kesalahan mengikut Seksyen 414 Kanun Keseksaan itu memperuntukkan hukuman penjara maksimum tiga tahun atau denda atau kedua-duanya sekali. - Bernama

Full Feed Generated by GetFullRSS.com, sponsored by USA Best Price.

Bekas tentera didakwa menyamar doktor

Posted: 04 Jan 2011 12:58 AM PST

KLANG,: Seorang bekas anggota tentera dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini hari ini atas tuduhan menyamar sebagai seorang doktor dan merawat pesakit tanpa Sijil Perakuan Amalan Tahunan dari Majlis Perubatan Malaysia.

Hilme Abdul Hamid, 41, dari Seremban, Negeri Sembilan, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Majistret Afifah Mamat @ Yusof.

Tertuduh, bapa kepada sembilan orang anak didakwa melakukan kesalahan itu di
sebuah klinik di Jalan 6/KU 11, Desa Bukit Delima, Bukit Kapar, Kapar di sini,
pada 13 Mei sehingga 22 November tahun lalu.


Pertuduhan mengikut Seksyen 419 Kanun Keseksaan itu memperuntukkan hukuman

penjara maksimum tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit
kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya Nor Azilah Mat yang mengendalikan pendakwaan
membantah jaminan diberikan kepada Hilme dengan alasan kesalahan penjawat awam
itu adalah serius.

Peguam Nasrul Omar yang mewakili tertuduh pula memohon mahkamah membenarkan
anak guamnya diikat jamin dan beliau juga berkata tertuduh bukanlah seorang
penjawat awam.

Mahkamah membenarkan Hilme dibebaskan dengan jaminan RM15,000 serta dua orang penjamin dan memerintahkan tertuduh melapor diri di Balai Polis Kapar pada Sabtu pertama setiap bulan.

Afifah juga menetapkan 18 Januari ini untuk sebutan semula kes.

Pada 3 Disember lalu, Hilme mengaku tidak bersalah di mahkamah yang sama atas tuduhan mencabul seorang kakitangan klinik swasta di Kapar, pada 14 November tahun lalu.

Afifah menetapkan 11 Februari depan untuk sebutan semula kes itu bagi membolehkan tertuduh menghantar representasi kepada pihak Jabatan Peguam Negara berhubung tuduhan ke atasnya.

Akhbar sebelum ini melaporkan tertuduh yang pernah membantu kelahiran sembilan bayi ditahan ketika sedang merawat seorang pesakit yang hendak bersalin di klinik berkenaan.

Laporan akhbar menyebut penyamaran lelaki itu terbongkar apabila seorang remaja perempuan berusia 18 tahun yang bekerja di klinik berkenaan membuat laporan polis mendakwa dia dicabul oleh tertuduh.

Tertuduh dikatakan berhenti kerja pada 2006 semasa bertugas sebagai pembantu perubatan di sebuah hospital tentera di Melaka dan sejak itu dia mula menyamar sebagai doktor di beberapa buah klinik termasuk di Rawang dan Bestari Jaya. - Bernama

Full Feed Generated by GetFullRSS.com, sponsored by USA Best Price.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan