Utusan Online - Utara |
Sambut 2011 sebagai penganggur Posted: Sambut 2011 sebagai penganggurOleh MARZITA ABDULLAH
KANGAR 1 Jan. - Pada saat kebanyakan rakyat Malaysia menyambut kedatangan tahun baru dengan gembira, seramai 77 bekas pekerja rendah awam (PRA) di sini ditimpa nasib malang apabila menjadi penganggur. Ini kerana kontrak perkhidmatan mereka yang berakhir semalam tidak disambung semula oleh Kementerian Pelajaran. Sehubungan itu, mereka merayu Kementerian Pelajaran agar menimbang semula penamatan perkhidmatan mereka yang bermula 31 Disember lalu. Mereka yang merupakan antara 2,000 PRA dari seluruh negara yang mengalami nasib yang sama, telah berkhidmat di bawah Kementerian Pelajaran sejak 15 tahun lalu malah masing- masing merupakan ketua keluarga yang mempunyai tanggungan yang ramai. Rata-rata mereka berasa terkejut dan sedih dengan penamatan perkhidmatan tersebut malah masing-masing tidak menjangka menerima nasib malang itu setelah berkhidmat begitu lama dengan kementerian berkenaan. Mereka juga buntu untuk mencari pendapatan menyara anak-anak yang masih bersekolah dan ada yang menanggung ahli keluarga yang sakit malah ramai di antara mereka yang mempunyai pinjaman bank setelah membeli rumah. Justeru, mereka merayu agar Kementerian Pelajaran menyambung perkhidmatan mereka dan menyerap mereka sebagai kakitangan tetap. Salah seorang daripada mereka, Zulkhafli Md. Isa, 48 yang sebelum ini bertugas sebagai PRA di Sekolah Kebangsaan Abi berkata, penamatan perkhidmatannya itu menyebabkandia dalam dilema kerana buntu mencari wang untuk menyara ibunya, Halimah Seman, 73, yang sedang sakit. Menurut Zulkhafli, ibunya yang kini menggunakan kerusi roda tidak dapat berjalan dan menjadi nyanyuk sejak terjatuh dalam bilik air pada Mei lalu. "Ibu saya hanya mendapat bantuan Baitulmal sebanyak RM200 sebulan dan sekarang saya sudah tidak mempunyai pekerjaan untuk menyaranya," kata Zulkhafli di sini hari ini. Dia yang telah berkhidmat sebagai PRA sejak Disember 1994 telah beberapa kali menghubungi Kementerian Pelajaran untuk merayu disambung semula perkhidmatan namun sehingga kini tidak menerima jawapan. Sementara itu, Jamaluddin Husin, 49, berkata, dia dan rakan-rakannya tidak menyangka akan ditamatkan perkhidmatan secara mendadak. "Lazimnya sejak memulakan perkhidmatan pada 1995, walaupun kami menerima surat tamat perkhidmatan pada setiap hujung tahun namun pihak berkenaan akan tetap menyambung perkhidmatan kami pada tahun berikutnya," katanya. Dia berasa gusar tentang masa depan keluarganya kerana dia merupakan satu-satunya penyumbang dalam pendapatan keluarga. "Kami merupakan ketua keluarga, ada anak-anak bersekolah yang memerlukan duit untuk belanja mereka selain terpaksa memikirkan bayaran balik kepada bank setelah membuat pinjaman membeli rumah," ujarnya. Rakannya, Roslan Saad, 45, pula berkata, selain menanggung isteri dan anak, dia juga terpaksa menanggung keperluan harian bapa mertua yang uzur dan adik iparnya. "Selain saya, beberapa rakan yang menerima nasib yang sama dan dalam usia yang lewat buntu hendak mencari pekerjaan yang sesuai kerana dalam usia begini bukan mudah untuk mana-mana syarikat menerima kami sebagai pekerja," katanya. Dia juga berkata, pernah membuat rayuan kepada Jabatan Pelajaran Negeri (JPN) pada Ogos lalu supaya disambung perkhidmatan namun sehingga kini tiada maklum balas. | ||
Posted: Segera bina rumah transitLANGKAWI 1 Jan. - Kerajaan Pas Kedah digesa supaya membina segera rumah transit untuk penghuni 59 rumah di perkampungan Bukit Malut yang musnah terbakar minggu lepas. Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri, Datuk Paduka Ahmad Bashah Md. Hanipah berkata, tiada guna kerajaan negeri hanya berjanji mahu membina rumah transit itu tetapi tidak menyatakan dengan jelas bila ia akan dilakukan. Katanya, mangsa kebakaran tertanya-tanya tentang bantuan rumah transit yang dijanjikan oleh Menteri Besar, Datuk Seri Azizan Abdul Razak semasa melawat perkampungan itu pada Rabu lepas. "Tugas membina rumah untuk mangsa kebakaran adalah tanggungjawab kerajaan negeri. "Maka, saya berharap agar ia disegerakan kerana sampai bila mereka yang terlibat hendak tinggal dalam khemah atau menumpang rumah jiran dan saudara-mara," katanya selepas menyampaikan wang sumbangan kepada semua keluarga mangsa kebakaran di Bukit Malut di sini semalam. Hadir sama Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN kawasan Kuah, Datuk Ir. Nawawi Ahmad yang juga Ketua Bahagian Langkawi dan ADUN Air Hangat, Mohd. Rawi Abdul Hamid. Setiap keluarga menerima RM1,000 iaitu RM500 sumbangan UMNO Kedah dan RM500 daripada Kerajaan Pusat sementara 64 kanak-kanak sekolah mendapat pakaian dan alat tulis sumbangan UMNO Bahagian Langkawi. Ahmad Bashah berkata, wang sumbangan berkenaan adalah sebagai tanda simpati dan bagi meringankan beban keluarga berkenaan. "Semasa melawat mangsa kebakaran Selasa, kami berjanji akan memberi bantuan wang tunai. Jadi, hari ini kami memenuhi janji berkenaan. Kita sentiasa mengotakan janji," katanya. |
You are subscribed to email updates from Utusan Online - Utara To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan