Ahad, 2 Januari 2011

Berita Harian: Mutakhir

Berita Harian: Mutakhir


Lelaki hampir putus tangan ditetak

Posted: 02 Jan 2011 03:04 AM PST

Mutakhir

GEORGETOWN: Seorang lelaki hampir putus tangan kanannya selepas ditetak oleh sekumpulan lelaki yang bersenjatakan parang berhampiran sebuah hotel di Jalan Persiaran Gurney, awal pagi ini.

Ketua Polis Daerah Timur Laut, ACP Gan Kong Meng, berkata dalam kejadian 3.40 pagi itu, mangsa yang berusia 29 tahun dipercayai diserang sekumpulan lelaki menyebabkannya mengalami kecederaan parah di tangan, muka dan beberapa bahagian badan.

"Polis yang bergegas ke tempat kejadian selepas mendapat maklumat awam mendapati mangsa dalam keadaan parah, manakala semua suspek melarikan diri. "Siasatan awal di tempat kejadian menemui empat bilah parang disembunyikan di bawah kerusi batu serta tepi pokok dan kesan darah di bahagian bonet beberapa kereta di depan hotel berkenaan," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Mangsa dihantar ke Hospital Pulau Pinang (HPP) untuk rawatan.

Gan berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 26 dan Seksyen 148 Kanun Keseksaan kerana memiliki senjata maut dalam rusuhan.

"Kami telah mengenal pasti suspek namun tiada sebarang tangkapan dibuat setakat ini," katanya.
Beliau meminta kerjasama orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat mengenai kejadian itu supaya menghubungi IPDTL di talian 04-2181822 atau balai polis berhampiran. - BERNAMA


Full Feed Generated by GetFullRSS.com, sponsored by USA Best Price.

Puteri UMNO lancar program 'Barber on Wheel'

Posted: 02 Jan 2011 01:37 AM PST

Mutakhir

PETALING JAYA: Puteri UMNO hari ini melancarkan program "Barber on Wheel" yang memberikan khidmat menggunting dan mendandan rambut percuma kepada masyarakat bandar yang kurang berkemampuan dan berpendapatan rendah.

Ketuanya, Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin, berkata khidmat itu disasarkan kepada penduduk yang menerima bantuan kerajaan dan menetap di kawasan Program Perumahan Rakyat (PPR).

"Walaupun mereka penduduk bandar tetapi kehidupan mereka agak susah berbanding segelintir mereka yang hidup di luar bandar. "Apabila aktiviti ini dijalankan kita lihat ramai yang teruja, mereka yang sebelum ini tidak pernah mendapat perkhidmatan gunting rambut secara rapi. Malah boleh minta ikut fesyen potongan yang mereka mahu," katanya kepada pemberita selepas merasmikan program itu di sini.

Pada majlis itu seramai 200 kanak-kanak sekitar kawasan Lembah Subang yang akan memulakan sesi persekolahan esok berpeluang mendapat perkhidmatan mengunting rambut secara percuma.

Rosnah yang juga Timbalan Menteri Kesihatan berkata, Puteri UMNO akan menjelajah ke negeri seperti Johor, Wilayah Persekutuan dan Pulau Pinang bagi memberikan khidmat berkenaan.

Mengulas perkara berlainan, beliau berkata Puteri UMNO kini giat memperkemaskan jentera parti sebagai persiapan untuk mempertahankan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Tenang pada pilihan raya kecil kawasan itu pada 30 Januari.
"Pergerakan Puteri Johor yang akan dibantu oleh Pergerakan Puteri Labis yang akan mengetuai semua program itu dan kita akan menghantar lebih ramai dari negeri lain bagi membantu jentera pilihan raya kecil itu nanti," katanya. - BERNAMA


Full Feed Generated by GetFullRSS.com, sponsored by USA Best Price.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan