Khamis, 6 Januari 2011

Harian Metro: BeritaUtama

Harian Metro: BeritaUtama


'Saya ingat dia dah tidur'

Posted: 05 Jan 2011 11:13 AM PST

PILU...ahli keluarga mangsa tidak dapat menahan kesedihan.
PILU...ahli keluarga mangsa tidak dapat menahan kesedihan.

ALOR SETAR: "Saya ingatkan cucu sudah tidur kerana tak dengar suara dia bermain di ruang tamu, tapi saya sangat terkejut apabila melihat dia dalam keadaan nyawa-nyawa ikan," kata Chia Sew Heng, 71, nenek Tan Yin Sheng, 5, yang mati dipercayai akibat terjerut pada kain penyangkut langsir rumahnya di Taman Timah Mergong, di sini, malam kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira jam 9.30 malam, budak lelaki itu dipercayai bermain seorang diri di ruang tamu rumahnya, manakala nenek dan ibunya berada di dapur, sementara bapanya keluar bekerja.

Chia berkata, ketika kejadian, dia bersama ibu mangsa berada di dapur sambil melayan cucu keduanya iaitu adik perempuan mangsa yang berusia tujuh bulan.

"Ketika di dapur, saya dengar suara cucu bermain sambil melompat-lompat di atas sofa. Beberapa minit kemudian saya tak dengar suara dia lagi dan menganggap Yin Sheng sudah tidur di sofa berkenaan.


"Saya rasa tak sedap hati dan cuba jenguknya di ruang tamu sama ada dia tidur atau bermain.


"Alangkah terkejutnya saya melihat dia terkapai-kapai dalam kain penyangkut langsir dalam keadaan nyawa-nyawa ikan.

"Saya menjerit sambil memanggil anak perempuan di dapur sebelum kami membuka ikatan kain penyangkut itu di lehernya," katanya ketika ditemui di rumahnya, malam kelmarin.

Menurutnya, dia dan anak perempuannya membawa Yin Sheng ke sebuah hospital swasta di sini, bagaimanapun doktor mengesahkan cucunya itu sudah meninggal dunia.

"Yin Sheng seorang yang hiperaktif dan selalu bermain seorang diri di ruang tamu," katanya sedih.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kota Setar, Asisten Komisioner Adzaman Mohd Jan, berkata polis menerima maklumat kejadian terbabit pada jam 10.40 malam dan insiden itu dipercayai berlaku kira-kira jam 9.30 malam.

"Siasatan mendapati mangsa dipercayai duduk di atas sofa berdekatan kain penyangkut langsir itu sebelum bermain dengan kain berkenaan sebelum terbelit pada lehernya.

"Polis percaya mangsa mati akibat terjerut," katanya di sini, semalam.

Menurutnya, ketika kejadian mangsa tinggal bersama ibu, nenek dan adiknya berusia tujuh bulan, manakala bapa mangsa yang bekerja sebagai penjual sayur tiada di rumah kerana keluar bekerja sebelum dimaklumkan mengenai kejadian itu.

"Nenek mangsa yang tidak sedap hati selepas tidak mendengar suara mangsa menjenguk cucunya di ruang tamu rumah dan terkejut apabila mendapati mangsa terkulai di atas sofa dengan lehernya terjerut.

"Keluarga mangsa membawanya ke Pusat Perubatan Putra (PMC) untuk rawatan, bagaimanapun doktor mengesahkan mangsa sudah meninggal dunia sebelum mayatnya dibawa pulang ke rumahnya," katanya.

Beliau berkata, siasatan awal polis mendapati tiada unsur jenayah dalam kes berkenaan dan mengklasifikasikan kes sebagai kematian mengejut.

"Mayat mangsa dihantar ke Hospital Sultanah Bahiyah (HSB), di sini. Hasil bedah siasat mendapati mangsa mati tergantung dan tiada unsur jenayah," katanya.

Full Feed Generated by GetFullRSS.com, sponsored by USA Best Price.

Ditikam gagal lunas sewa rumah

Posted: 05 Jan 2011 10:47 AM PST

KUALA LUMPUR: Hanya kerana gagal melunaskan tunggakan sewa rumah selama sebulan, seorang lelaki berusia 35 tahun cedera parah akibat ditikam tiga kali di bahagian belakang badan, leher dan pipi oleh pemilik rumah terbabit di rumahnya di Jalan Ipoh di sini, pagi semalam.

Difahamkan, mangsa yang kini dirawat di Hospital Kuala Lumpur (HKL) di sini, masih tidak sedarkan diri namun keadaannya dilaporkan stabil.

Dalam kejadian kira-kira jam 6.30 pagi itu, berlaku pertengkaran antara mangsa dan suspek berusia 41 tahun ketika pemilik rumah terbabit datang memungut duit sewa.

Menurut sumber, mangsa sudah menyewa rumah milik suspek berusia 41 tahun itu sejak setahun lalu.


"Disebabkan dia kini menganggur, mangsa tidak dapat melunaskan bayaran sewa terkini lebih RM400 menyebabkan tuan rumahnya berang sebelum berlaku pertengkaran dan pergelutan antara mereka," katanya.


Timbalan Ketua Polis Sentul, Superintendan Zainuddin Ahmad ketika dihubungi, berkata kejadian itu disedari rakan mangsa berusia awal 30-an yang menumpang bermalam di rumah seorang lagi rakan mereka di bawah rumah mangsa sebaik terdengar bunyi bising.

"Disebabkan bimbang sesuatu berlaku, rakan mangsa (pengadu) segera naik ke rumah rakannya untuk melakukan pemeriksaan.

"Dia terkejut apabila mendapati mangsa terbaring di kawasan ruang tamu rumah berkenaan dalam keadaan berlumuran darah," katanya.

Zainuddin berkata, rakan mangsa segera menghubungi pihak berkuasa melaporkan kejadian berkenaan sebelum sekumpulan anggota polis bergegas ke lokasi kejadian bersama sebuah ambulans.

"Mangsa dikejarkan ke HKL untuk mendapatkan rawatan susulan. Mangsa cedera akibat ditikam di belakang badan, leher dan pipi namun keadaannya kini dilaporkan stabil," katanya.

Menurutnya, gerakan memburu suspek akhirnya membuahkan hasil apabila dia berjaya ditahan kira-kira sejam kemudian berhampiran kawasan berkenaan namun senjata yang digunakannya masih belum ditemui.

"Pemeriksaan awal mendapati suspek mempunyai dua rekod jenayah lampau membabitkan kes dadah. Kita percaya ketika bergelut dengan mangsa, suspek berada di bawah pengaruh dadah.

"Dia (suspek) akan di bawa ke mahkamah esok (hari ini) untuk mendapatkan reman. Kes disiasat mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan," katanya.

Full Feed Generated by GetFullRSS.com, sponsored by USA Best Price.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan