Utusan Online - Timur |
Posted: Lebih 2,000 petani rugi besarOleh AZRAN FITRI RAHIM
TUMPAT 4 Jan. - Lebih 2,000 pesawah dari lima buah kampung di daerah ini mengalami kerugian besar apabila sawah padi mereka digenangi air masin yang masuk melalui Sungai Golok disebabkan kelemahan sistem pengairan di kawasan tersebut. Air masin tersebut memasuki lebih 400 hektar sawah ketika musim banjir pada setiap tahun berikutan kedudukannya yang terletak berhampiran muara sungai berkenaan. Berikutan itu, pesawah terbabit di lima buah kampung iaitu Bendang Pak Yong, Simpangan, Jejulok, Mentua dan Kubang Bemban mendakwa mengalami kerugian beratus ribu ringgit disebabkan tanaman mereka musnah. Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung Persekutuan (JKKP) Jejulok, Ghazali Isa berkata, air masin yang memasuki kawasan sawah pada setiap kali musim banjir sukar untuk keluar disebabkan laluan yang terlalu sempit dan memakan masa hampir dua minggu untuk kering sepenuhnya. Beliau berkata, Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) telah membina beberapa buah pintu air tetapi ia terlalu kecil dan tidak mampu untuk mengeluarkan kesemua air masin yang melimpahi kawasan berkenaan. "Setiap kali musim banjir perkara ini berlaku dan yang terbaru di kawasan sawah seluas 200 hektar di Kubang Bemban di mana taliair baru jalan yang memisahkan antara taliair dengan sungai terlalu rendah sehingga menyebabkan air masin dapat memasuki kawasan sawah. "Air masin ini menyebabkan kerosakan tanah dan tanaman akan musnah, setiap kali musim banjir memang air akan melimpahi tetapi masalahnya, air ini tidak boleh keluar dengan cepat dan ia akan terus bertakung dalam sawah, ia mengambil masa satu hingga dua minggu untuk kering sepenuhnya," katanya ditemui pemberita di Kubang Bemban di sini hari ini. Sementara itu, seorang pesawah, Elut Ehok, 55, mendakwa, dia mengalami kerugian hampir RM10,000 apabila sawah padinya seluas empat hektar musnah digenangi air masin. Katanya, jumlah kerugian itu terlalu besar kerana dia bergantung sepenuhnya kepada hasil tanaman padi untuk menyara keluarga dan adalah sukar untuknya mengumpul semula wang sebanyak itu. "Saya mempunyai tanggungan yang ramai dan bergantung harap kepada hasil tanaman padi, sudah dua musim saya tidak mendapat hasil daripada tanaman padi. Semua ini berpunca daripada tali air yang baru dibina, tujuannya baik untuk memudahkan air keluar masuk tetapi sebaliknya yang berlaku air masin terperangkap dan tidak dapat keluar sepenuhnya," katanya. Ariffin Awang Chik, 50, pula berharap, pihak JPS mengambil tindakan segera dengan membina lebih banyak pintu air bagi memastikan aliran keluar masuk dapat dikawal. Dia yang mengusahakan tujuh hektar sawah berkata, sekiranya masalah itu tidak segera diselesaikan ia akan berulang lagi pada tahun hadapan dan menyebabkan kesemua pesawah mengalami kerugian. "Saya lihat pintu air yang dibina terlalu kecil dan dibuat ala kadar, saya faham ini melibatkan peruntukan tetapi masalah yang dihadapi penduduk di sini perlu diambil kira kerana kebanyakan kami adalah golongan yang tidak berkemampuan. "Kami juga mahu supaya Kerajaan Pas Kelantan melihat perkara ini, kami rakyat negeri ini juga dan jangan lepas tangan kepada agensi Persekutuan sahaja. Turun ke bawah dengar masalah yang dihadapi kami," katanya. Dalam pada itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pengkalan Kubor, Datuk Noor Zahidi Omar berkata, beliau akan membawa masalah tersebut ke mesyuarat Majlis Tindakan Persekutuan untuk mencari jalan penyelesaian. "Ini merupakan masalah rakyat, kita tahu untuk menyelesaikan masalah ini memerlukan peruntukan yang besar dan saya akan cuba meminta pihak JPS menyelesaikannya secepat mungkin. "Kebanyakan pesawah adalah golongan mudah miskin dan miskin, kalau ia tidak diselesaikan golongan mudah miskin akan menjadi miskin dan yang miskin pula akan menjadi miskin tegar," katanya. | ||
Kerajaan Negeri Terengganu kaji kemungkinan naikkan cukai pintu Posted: Kerajaan Negeri Terengganu kaji kemungkinan naikkan cukai pintu
KUALA TERENGGANU 4 Jan. - Kerajaan negeri akan mengkaji kemungkinan menaikkan kadar cukai pintu bandar raya ini dalam usaha meningkatkan prasarana dan perkhidmatan kepada warganya. Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said berkata, kadar cukai pintu sedia ada dalam zon pentadbirannya tidak pernah dinaikkan sejak 30 tahun lalu walaupun telah dua kali melaksanakan kajian terhadap cadangan itu. Katanya, jika kenaikan tersebut dapat dilaksanakan, kerajaan negeri yakin dapat mengurangkan beban kerajaan sebanyak RM50 juta setahun untuk membantu pihak berkuasa tempatan (PBT) itu. "Adalah wajar kerajaan negeri menaikkan cukai pintu seperti yang dilakukan di negeri-negeri lain, namun kita masih perlu memikirkan tentang kepentingan rakyat. "Jadi buat masa ini, kerajaan terpaksa mengambil langkah dengan mencari sumber lain untuk membolehkan MBKT memperoleh pendapatannya sendiri," katanya. Beliau berkata demikian selepas menyaksikan seramai 250 Ahli Majlis di seluruh negeri mengangkat sumpah dalam Majlis Pengakuan Menerima Jawatan Ahli-Ahli Majlis PBT Negeri Terengganu Tahun 2011-2012 di Taman Tamadun Islam di sini hari ini. Turut hadir Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK), Datuk Mazlan Ngah dan Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri, Datuk Tengku Putera Tengku Awang. Mengulas lanjut, Ahmad berkata, pada tahun ini kerajaan negeri memperuntukkan sebanyak RM366 juta untuk membantu PBT di negeri ini bagi membolehkan perancangan bandar dan daerah dilaksanakan. Katanya, setakat ini hanya tiga buah PBT iaitu Majlis Perbandaran Dungun, Majlis Daerah Besut dan Majlis Daerah Hulu Terengganu dilihat berpotensi untuk berdikari seperti yang berjaya dilakukan oleh Majlis Perbandaran Kemaman. Justeru itu jelasnya, dalam usaha membantu meningkatkan pendapatan PBT yang lain, kerajaan negeri telah mengarahkan kesemua PBT untuk memohon tanah bagi membolehkan ia dimajukan sekali gus menjana pendapatan kepada mereka. "Apabila PBT mampu berdikari sendiri, lebih banyak kepentingan rakyat dapat dilaksanakan tanpa perlu bergantung dengan keputusan kerajaan negeri. "PBT perlu bijak untuk menggunakan peluang yang ada untuk membangunkan daerah mereka. Jika tidak mampu, mereka boleh buat kerjasama dengan pihak swasta," ujarnya. |
You are subscribed to email updates from Utusan Online - Timur To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan