Selasa, 4 Januari 2011

Kosmo Online - Rencana Utama

Kosmo Online - Rencana Utama


Rakan kongsi dalam rumah tangga

Posted:

Rakan kongsi dalam rumah tangga

Rakan kongsi dalam rumah tangga

Oleh NOR AZIRAN YUNUS



TIADA lafaz paling keramat daripada lidah seorang lelaki yang bergelar suami kecuali talak. Bahkan jika dilihat dari satu sudut, ia adalah hak eksklusif kaum Adam terhadap kaum Hawa.

Ada benarnya kerana dalam Islam, lafaz talak atau cerai yang keluar daripada bibir isteri tidak diambil kira, walaupun wanita itu melafazkannya berulang kali dengan bersungguh-sungguh.

Dalam Islam, kedudukan dan hak wanita sangat jelas. Dahulu, wanita mungkin dianggap sebagai tempat pemuas nafsu lelaki, bagaimanapun, Islam mengangkat darjat wanita kepada martabat yang sangat mulia.

Bercerita soal hubungan, seorang penulis skrip yang banyak menghasilkan karya untuk drama-drama di televisyen, Zaini Kosnin, 30, memberitahu, perasaan cinta yang berputik di hatinya hadir tanpa diduga.

Menceritakan detik perkenalan dengan wanita yang sah menjadi isterinya pada 5 November tahun lalu iaitu Siti Norerdah Akir, 26, segala-galanya bermula apabila adik Norerdah menjadi orang tengah yang menemukan mereka.

"Cara Siti Norerdah melayan dan menghormati ayah saya, membantu keluarganya, dan sikap tanggungjawabnya cukup sempurna di mata saya," kata Zaini yang juga tercalon dalam Anugerah Skrin 2010 untuk drama bertajuk, Lillahi Taala lakonan Rita Rudaini dan Zamarul Hisyam.

Selepas tempoh perkenalan lebih kurang setahun, Zaini dan Siti Norerdah mengambil keputusan untuk menyimpul erat hubungan mereka dengan pertunangan sebelum kedua-duanya disatukan sebagai suami isteri.


TEMPOH perkenalan antara Zaini dan Siti Nurerda hanya setahun setengah sebelum mereka mengambil keputusan menjadi suami isteri.


Seperti pasangan lain, mereka juga menempuh pelbagai halangan dan dugaan sebelum mendirikan rumah tangga. Cabaran paling besar adalah sindiran daripada orang sekeliling yang mengatakan bahawa Zaini dan Siti Nurerda tidak sekufu kerana Zaini adalah Orang Kelainan Upaya (OKU).

"Walaupun saya mempunyai kerjaya yang kukuh, namun kekurangan fizikal itu masih menjadi ukuran sesetengah individu.

"Tetapi saya bersyukur kepada Allah, Siti Norerdah dan keluarganya dapat menerima saya seadanya," kata Zaini yang pernah menjadi deejay radio kampus di Universiti Utara Malaysia (UUM), Sintok lapan tahun lalu.

Zaini mengakui seseorang itu tidak dapat mengenali pasangannya seratus peratus meskipun mereka telah hidup bersama selama berpuluh-puluh tahun. Sikap manusia yang boleh berubah-ubah, menuntut persefahaman yang tinggi antara kedua-duanya.

Beliau juga mengakui, membentuk persefahaman antara satu individu dengan individu yang lain bukan satu perkara mudah. Setiap insan mempunyai cita rasa dan kehendak yang berbeza-beza. Bagaimanapun kata Zaini, persefahaman itu sebenarnya boleh diterjemahkan sebagai kesamarataan iaitu suami dapat memenuhi kehendak isteri dan sebaliknya.

"Komunikasi menjadi medium yang sangat penting. Perbincangan tentang sesuatu perkara perlu dilakukan ketika masing-masing dalam keadaan selesa dan tidak lapar. Jika perkara itu tidak, ia akan membuatkan emosi masing-masing tidak stabil dan keadaan bertambah buruk," kata Zaini ketika ditemui di kediamannya di Puchong, Selangor.

Beliau turut mengajak pasangan suami isteri berkongsi perkara yang sama kerana secara tidak langsung ia dapat membentuk perasaan dihargai sekali gus mengeratkan hubungan.

Rakan kongsi

Tidak ada seorang manusia pun yang berhak menyatakan orang lain adalah haknya. Isteri adalah rakan kongsi dan bukannya hak milik suami lantaran kedua-duanya berkongsi sebuah kehidupan. Cuma, suami diberi sedikit kuasa sebagai pemimpin atau nakhoda bahtera rumah tangganya.

Justeru, suami perlu tahu menentukan haluan bahtera rumah tangganya.

Sementara itu Siti Nurerda menjelaskan, isteri haruslah memberikan taat setia kepada suami selagi suami tidak membuat perkara-perkara yang melanggar hukum syarak.

Pada masa yang sama, isteri juga perlu bijak memberi nasihat dan pandangan kepada suami yang memimpin supaya suami tidak tersasar daripada matlamat hidup berumah tangga.

"Sentiasa ingatkan suami bahawa segala keputusan yang diambil turut memberi kesan kepada isteri dan anak-anak.

"Saya rasa dengan konsep perkongsian itu akan dapat membentuk keluarga yang lebih harmoni kerana setiap manusia tidak kira lelaki atau wanita, mempunyai hak untuk menikmati kehidupan yang bahagia," jelasnya.


DALAM hukum syarak, tidak ada istilah yang boleh menghukum seorang yang sah bergelar suami sebagai pencabul atau perogol.


Ketika ditanya tentang kes melibatkan seorang isteri yang mendakwa dicabul oleh suaminya baru-baru ini, Zaini mempunyai pandangan sendiri.

"Memang tidak dinafikan, diri kita adalah hak kita dan tidak ada seorang manusia pun yang berhak mengatakan bahawa dia berhak ke atas kita. Tetapi kita perlu ingat, sewaktu lafaz ijab kabul. Apabila nikah itu sah, maka bermulalah perkongsian hidup antara suami dan isteri," kata Zaini.

Tambahnya, perkahwinan menghalalkan seorang lelaki ke atas pasangannya lantaran segala-galanya dikongsi. Jika seseorang isteri boleh mendakwa suami mencabul dirinya ketika hubungan suami isteri masih sah, bagaimanakah dengan kesucian hubungan yang telah dihalalkan oleh akad nikah itu?

"Adakah suatu hari nanti akan ada pula suami menuntut di mahkamah dan mendakwa isteri tidak memenuhi kehendak batin suami? Adakah mahkamah boleh membuat keputusan memerintahkan isteri supaya melayan tuntutan batin suami?

"Seharusnya, suami isteri tahu hak masing-masing dan seelok-eloknya sebelum melakukan hubungan intim, mintalah izin sesama sendiri demi menghormati perasaan dan keharmonian perhubungan," jelasnya.

Penyelesaian terbaik

Sementara itu, pakar motivasi pembinaan diri dan pemikiran dan pakar pemikiran kreatif dan lateral, Datuk Jaafar Abdul Rahim berkata, dalam sesebuah perkahwinan apabila seseorang wanita sudah diijab kabulkan, suami mempunyai hak penuh ke atas isterinya.

Beliau memberitahu, seorang lelaki itu halal untuk meminta hubungan seks daripada isterinya melainkan dalam keadaan-keadaan yang dilarang.

Dalam permasalahan tersebut, beliau mengajak orang ramai agar memahami konsep hak dan segala pertimbangan dalam kehidupan, perhubungan dan rumah tangga.

"Apa-apa pun, adalah lebih manis jika masalah rumah tangga itu diselesaikan dengan cara baik dan di luar mahkamah," kata Jaafar ketika ditemui di kediamannya di Ampang Jaya, Selangor.


FAKHRUL AZMAN


Mengakui bahawa mahkamah adalah sebuah institusi keadilan terbaik, Jaafar menjelaskan, jika isu yang ingin dibawa itu hanya mencalarkan maruah sendiri dan keluarga, lebih baik masalah itu diselesaikan melalui perbincangan tertutup.

Tambah Jaafar, dalam perhubungan, lelaki perlu bijak mengambil hati isteri. Sudah menjadi fitrah manusia yang mahukan kepuasan dalam perhubungan.

Sehubungan itu, kedua-dua belah pihak hendaklah memahami konsep perkahwinan dan tidak hanya pandai berjanji tetapi apabila berlaku perselisihan pendapat, segala kebaikan bertukar menjadi kejahatan. Tidak cukup dengan itu, timbul pula ungkit-mengungkit dan menyalahkan antara satu sama lain.

Dalam hukum syarak, tidak ada istilah yang boleh menghukum seorang yang sah bergelar suami sebagai pencabul atau perogol.

Menurut peguam syarie, Fakhrul Azman Abu Hassan, mengikut prinsip-prinsip Islam, seorang suami tiada halangan untuk mendampingi isterinya. Lelaki hendaklah mendatangi isterinya dengan lemah lembut.

"Jika isteri tidak bersetuju untuk mengadakan hubungan kelamin, dia boleh memohon perintah tegahan sementara di Mahkamah Syariah," terangnya ketika dihubungi.

Perintah tersebut menurut Fakhrul, boleh dipohon sama ada oleh seorang isteri yang ingin menuntut cerai atau sebaliknya.

Menyentuh isu isteri mendakwa dicabul suami, Fakhrul menjelaskan, pasangan Islam yang telah berkahwin tetapi tidak tinggal sebumbung masih boleh bersama dengan syarat mendapat persetujuan dan kerelaan kedua-dua pihak.

Bagi hubungan intim, suami perlu mendapatkan persetujuan isteri terlebih dahulu dan memintanya secara baik bagi mengelakkan berlaku perselisihan faham.

Full Feed Generated by GetFullRSS.com, sponsored by USA Best Price.

Surat Santa dari Kowloon

Posted:

Surat Santa dari Kowloon

Surat Santa dari Kowloon


SELEPAS pengisih surat selesai menjalankan tugas hakiki, mereka akan mencari masa menulis surat untuk kanak-kanak.


IKLIM subtropika dan status sebagai negara berautonomi bebas di China tidak memungkinkan Hong Kong menjadi rumah kepada bapa Krismas, Santa Claus.

Bagaimanapun, bekas tanah jajahan British itu bukan sahaja meraikan sambutan Krismas malah pencakar langit terkenal di wilayah berkenaan diterangi lampu-lampu neon warna-warni untuk menerangi malam.

Hong Kong merupakan salah satu daripada tempat di Asia yang meraikan Krismas. Setiap kali menjelang 25 Disember, kanak-kanak yang mengirim surat kepada Santa Claus akan mendapat balasan.

Setiap tahun, Hong Kong Post akan menubuhkan pasukan yang terdiri daripada kira-kira 10 pengisih surat untuk melaksanakan tugasan menulis dan menjawab surat peribadi Santo Nick kepada 4,000 surat yang diterima dalam bahasa Inggeris dan Cina.

"Kami meletakkan pemprosesan surat sebagai keutamaan tetapi selepas pengisih surat selesai menjalankan tugas hakiki, mereka akan mencari masa menulis surat untuk kanak-kanak.

"Ia seperti satu tugasan khas bagi penulis-penulis surat ini. Kadang-kadang mereka berasa ada interaksi dan membayangkan kegembiraan yang terlakar pada wajah kanak-kanak ini," kata jurucakap Mary Chung yang menjelaskan kumpulan berkenaan dipilih oleh pihak atasan.

Kebanyakan kanak-kanak terbabit memberitahu Santa Claus mengenai senarai hadiah permainan yang mereka ingini. Ia sekali gus dapat membantu agensi Hong Kong Post mengetahui hadiah-hadiah yang popular pada tahun-tahun tertentu, kata Chung.

"Sekiranya dinosaur sangat popular maka pekerja kami akan melukis lakaran dinosaur pada kad yang akan dihantar kepada kanak-kanak ini," tambahnya.

Hubungan Hong Kong bersama Santa Claus lebih daripada hiasan di kedai runcit atau wanita yang memakai skirt ketat bertumit tinggi yang memburu keahlian gimnasium dalam komuter menanti kedatangan Krismas.

Tiada jaminan

Tahun lalu, warga Hong Kong, Jimmy Chan berjaya dinobatkan sebagai Santa Terbaik Dunia dalam satu pertandingan yang diadakan di utara Sweden sekali gus menewaskan pesaing dari seluruh pelosok dunia.

Begitupun, penulis-penulis siluman Santa di bandar tersebut tidak memberi sebarang jaminan terutamanya terdapat senarai permintaan yang inginkan permainan secara besar-besaran.

"Kami hanya menulis satu atau dua baris sahaja. Kami tidak menjanjikan apa-apa sebaliknya kami hanya berusaha untuk memenuhi permintaan mereka," kata Chung.

Terdapat surat-surat dikirimkan bertanya mengenai isteri Santa. Ada juga ayat-ayat yang menyentuh hati apabila seorang kanak-kanak lelaki membuat permintaan untuk meluangkan masa selama sehari bersama ayahnya yang telah meninggal dunia.

"Ia sangat menyentuh perasaan," kata Chung.


KANAK-KANAK sering mengharapkan Santa Claus merealisasikan impian mereka.


Hong Kong Post akan mereka kad-kadnya sendiri untuk kempen tahunan berkenaan manakala surat yang dialamatkan kepada Santa di benua lain akan dihantar menerusi agensi pos negara tersebut.

Bagi Pos Singapura pula, mereka akan menghantar semua surat yang dialamatkan kepada Santa Claus ke pejabat pos di Finland.

"Pada tahun ini, kita menerima kira-kira 340 pucuk surat yang dihantar oleh kanak-kanak," kata seorang jurucakap dan menambah Santa akan membalas kira-kira enam peratus daripada surat-surat yang diterima.

Surat-surat tersebut akan dihantar ke pejabat pos utama Santa Claus yang dikendalikan oleh Pejabat Pos Finland, Itella.

Royal Mail Britain pula menjalankan perkhidmatan menulis dan menghantar surat kepada Santa dengan menggunakan Reindeerland.

Pos Kanada berkata, mereka menerima surat daripada lebih satu juta kanak-kanak. Sehubungan itu, mereka memerlukan 11,000 orang pekerja semasa dan pekerja yang sudah bersara bagi membantu membalas surat-surat berkenaan. - AFP

Full Feed Generated by GetFullRSS.com, sponsored by USA Best Price.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan