Utusan Online - Selatan |
MPS, MPN gabung dua tahun lagi Posted: MPS, MPN gabung dua tahun lagiOleh AINOL AMRIZ ISMAIL SEREMBAN 5 Jan. – Status penggabungan Majlis Perbandaran Seremban (MPS) dan Majlis Perbandaran Nilai (MPN) untuk dijadikan satu entiti sebagai pihak berkuasa bandar raya akan direalitikan dalam tempoh dua tahun lagi. Menteri Besar, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, secara dasarnya kedua-dua entiti ini, kini sudah boleh digabungkan menjadi bandar raya berdasarkan kepada semua syarat yang ditetapkan. ''Untuk menjadi bandar raya, penggabungan MPS dan MPN kini telah pun memperlihatkan jumlah penduduknya melebihi 500,000 orang, manakala pendapatan tahunan pula sudah pun melepasi RM100 juta. ''Dengan wujudnya institusi pengajian tinggi, pelaburan, pengilangan dan sebagainya, memang pada dasarnya status bandar raya itu boleh dilakukan pada bila-bila masa sahaja," kata beliau selepas mempengerusikan mesyuarat Exco di Wisma Negeri, di sini hari ini. Bagaimanapun katanya, kerajaan negeri tidak mahu terburu-buru mendapatkan status berkenaan kerana sedang menguruskan aspek operasi kedua-dua pihak berkuasa tempatan (PBT) itu agar ia tidak menimbulkan isu selepas penggabungan berlaku. ''Ini berkaitan soal cukai pintu kerana ketika ini terdapat perbezaan bagi kedua-dua entiti berkenaan. ''Kita sedang perhalusi dan menyelaraskan kutipan cukai pintu ini agar ia sama apabila diumumkan status sebagai sebuah bandar raya. ''Kita juga mahu kedua-dua pihak ini meneliti pelbagai isu termasuk aspek berkaitan pengangkutan awam dan perihal masalah perbandaran seperti sampah, longkang dan jalan berlubang," katanya. Tambahnya, ada juga PBT dinaikkan menjadi bandar raya dan syaratnya dilonggarkan kerana kedudukannya sebagai ibu negeri, walaupun ada yang masih belum memenuhi syarat menjadi bandar raya. Ketika ini, kata Mohamad, penduduk di negeri ini sudah pun melebihi satu juta orang dengan lebih 500,000 penduduknya mendiami kawasan di dua (PBT)tersebut. Mohamad menegaskan, perkara itu juga telah diperhalusi pihak Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan, malahan mereka tidak mempunyai apa-apa masalah untuk penggabungan itu. Sehubungan itu, Mohamad telah mengarahkan MPS dan MPN meningkatkan kemudahan pengangkutan awam dan meminta dua entiti itu mengemukakan cadangan dalam sebulan mengenai keperluan pengangkutan di kawasan taman perumahan. ''Saya juga mengarahkan MPS dan MPN supaya meminta syarikat bas CityLiner mengemukakan pandangan mereka terhadap penambahan laluan dan keperluan bas di kawasan taman perumahan terutamanya di Nilai," ujarnya. Kata Mohamad, kawasan di Nilai besar dan masih terdapat kekurangan pengangkutan awam, yang ketika ini menyukarkan penduduk untuk berurusan di pusat bandar. | ||
Bekalan minyak masak di Melaka cukup Posted: Bekalan minyak masak di Melaka cukupOleh Amran Mulup
MELAKA 5 Jan. - Bekalan minyak masak di negeri ini adalah mencukupi bagi menampung keperluan orang ramai walaupun terdapat kekurangan bekalan itu di beberapa pasar raya dan kedai runcit. Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd. Ali Rustam berkata, walaupun terdapat rungutan daripada pekedai tetapi orang ramai masih boleh mendapat bekalannya. Menurutnya, ada sesetengah kedai runcit tidak mendapat bekalan minyak masak khususnya bagi paket satu kilogram tetapi ada kedai yang masih ada bekalan tersebut. "Ini tidak timbul masalah bekalan minyak masak sukar diperoleh penduduk kerana pekedai masih boleh mendapatkan bekalan daripada pemborong dan mungkin berlaku kelewatan penghantaran. "Tidak dinafikan ada sesetengah kawasan bekalan minyak masak kurang daripada biasa tetapi ini bukanlah situasi serius dan ia boleh diatasi segera. "Saya minta orang ramai tidak panik hingga menyebabkan mereka membeli minyak masak secara berlebihan kerana ini boleh menjejaskan keperluan orang lain," katanya. Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas membuat lawatan mengejut bagi meninjau kekurangan bekalan minyak masak di Pasar Besar Melaka Sentral di sini hari ini. Lawatan itu dilakukan selepas akhbar hari ini melaporkan Melaka turut menghadapi masalah kekurangan bekalan di pasar raya dan kedai runcit di negeri ini. Mengulas lanjut Mohd. Ali berkata, orang ramai perlu bertenang dan tidak panik kerana kerajaan telah memberi jaminan untuk menambah bekalan minyak masak bagi menampung keperluan pengguna. "Saya lihat harga minyak masak bagi paket satu kilo dan liam kilo dijual pada harga yang biasa dan laporan mengatakan harga minyak naik adalah tidak benar," katanya. Sementara itu, Ketua Pegawai Penguat Kuasa Pejabat Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan negeri, Abd. Hafidz A.Rahim berkata, pihaknya telah mengeluarkan arahan kepada pemborong untuk meningkatkan penghantaran bekalan minyak masak campuran dan minyak sawit kepada peruncit dan pasar raya. Menurutnya, jika mendapat aduan berlakunya kekurangan bekalan minyak masak yang serius, pihaknya akan bertindak untuk menghantar bekalan ke kawasan terbabit. "Bekalan minyak masak untuk kegunaan industri dan orang ramai adalah mencukupi walaupun ada sesetengah tempat tidak mendapat bekalan yang mencukupi," katanya. Beliau menambah, bekalan minyak masak untuk industri adalah mencukupi iaitu 20,120 metrik tan bagi pembelian secara pukal dan 952 metrik tan bagi satu kilogram. Bagi bekalan pengguna pula kata Abd. Hafidz lagi, minyak sawit berjumlah 6,093 metrik tan (1 kilogram); 9,758 (2 kilogram); 3,924 (3 kilogram); 26,025 (5 kilogram) dan 1,615 (17 kilogram). Bagi bekalan minyak masak campuran pula berjumlah 5,727 metrik tan (1 kilogram); 6,320 (2 kilogram); 1,869 (3 kilogram); 54,010 (5 kilogram) dan 19,227 (17 kilogram). Beliau berkata, orang ramai yang menghadapi masalah kekurangan bekalan minyak masak boleh menghubungi pihaknya di talian 06-2345822 dari pukul 8 pagi hingga 5 petang manakala 06-2345869 selepas waktu pejabat. |
You are subscribed to email updates from Utusan Online - Selatan To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan