Utusan Online - Selatan |
Posted: 22 lembu sakit kuku, mulutOleh SAJIDA ASARULAH KHAN JEMPOL 4 Jan. - Para penternak lembu di daerah ini bimbang dengan penularan penyakit kuku dan mulut ekoran sebanyak 22 ekor haiwan berkenaan dilaporkan mengalami tanda jangkitan wabak tersebut di negeri ini. Perkara itu dinyatakan Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Hal Ehwal Perladangan, Sumber Manusia, Alam Sekitar dan Pengaduan Awam negeri, Datuk VS Mogan selepas melawat kawasan terbabit di Taman Jaya, dekat sini baru-baru ini. Katanya, memang wujud tanda haiwan ternakan dijangkiti wabak itu, malahan ada beberapa ekor lembu dan kambing yang dilaporkan mati akibatnya. ''Saya tidak menyalahkan mana-mana pihak, tetapi saya berharap penularan penyakit kuku dan mulut yang menyerang haiwan ternakan itu dapat diatasi segera," katanya ketika dihubungi di sini hari ini. Mogan yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jeram Padang berkata, dia telah menerima aduan daripada penternak mengenai penularan wabak berkenaan dan mereka mahu Jabatan Perkhidmatan Veterinar negeri segera bertindak. ''Penyakit kuku dan mulut ini boleh tersebar sejauh lima kilometer melalui angin dan jika keadaan tidak dikawal, ia boleh membahayakan. ''Kita berharap jabatan berkaitan dapat bersama-sama penternak mencegah penyakit ini daripada menular dengan lebih serius, walaupun usaha itu sedang giat dilakukan ketika ini," jelasnya. Sementara itu, penternak lembu, K. Tamil Selvan, 36, berkata, mereka menerima bekalan haiwan tersebut melalui projek Trust 2010 daripada Jabatan Perkhidmatan Veterinar pada 16 Disember lalu. ''Seorang penternak lembu akan mendapat dua ekor lembu tenusu dan di daerah ini terdapat tiga penternak yang terpilih untuk mendapat haiwan itu. ''Selepas empat hari mendapat lembu berkenaan daripada jabatan terbabit, saya dapati haiwan peliharaan mula sakit. Masalah ini bertambah serius apabila mulut lembu itu mula mengeluarkan buih dan tidak mampu bergerak serta tidak boleh mengeluarkan susu, selain tidak mahu makan," katanya. Dakwa Tamil, masalah tersebut turut dialami oleh penternak lembu lain dan ia menjadi lebih buruk apabila tiga ekor anak lembu yang dipeliharanya telah mati. "Selepas kami maklumkan mengenai perkara itu, jabatan berkaitan datang memeriksa dan mengesahkan ia adalah jangkitan penyakit kuku dan mulut," ujarnya. Bagi R. Mageswaran, 35, dia terpaksa menanggung kerugian walaupun tidak memperoleh lembu daripada jabatan berkaitan. ''Penyakit ini tersebar sehingga ke kawasan ternakan saya. Saya memiliki 120 ekor kambing, kini tiga ekor kambing telah mati dan bakinya pula ada yang sakit. "Saya berharap jabatan berkaitan bertindak segera mengatasi masalah ini kerana saya telah mengalami kerugian dan pendapatan pula terjejas," tegasnya. |
RM2.8 juta atasi bau busuk di Krubong Posted: RM2.8 juta atasi bau busuk di KrubongMELAKA 4 Jan. - Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) perlu membelanjakan RM2.8 juta setahun atau RM240,000 sebulan bagi mengatasi pencemaran bau busuk di pusat pelupusan sampah Krubong di sini. Angka perbelanjaan itu bagaimanapun bukannya bagi kos melupuskan sampah, tetapi pembelian tanah untuk menimbus sisa sampah terbabit bagi mengelakkannya mengeluarkan bau busuk dan punca lalat di kawasan sekitarnya. Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd. Ali Rustam berkata, pada masa ini syarikat pengurusan sampah, Southern Waste Management Sdn. Bhd. (SWM) hanya mampu menggunakan 40 lori tanah sehari untuk melakukan kerja-kerja menimbus sampah di tapak pelupusan itu. Tambahnya, beliau difahamkan sekurang-kurangnya 100 lori tanah diperlukan sehari untuk menimbus sampah-sampah di pusat pelupusan Krubong bagi mengelakkannya mengeluarkan bau busuk. "Semalam, saya telah arahkan Datuk Bandar MBMB tambah lagi 100 lori tanah dengan kos RM80 bagi sebuah lori. "Ini bermakna kerajaan negeri perlu membelanjakan RM8,000 sehari, atau RM240,000 sebulan atau RM2.8 juta setahun hanya untuk menimbus sampah-sampah ini," katanya. Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mengadakan lawatan ke Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Bukit Beruang di sini hari ini. Mohd. Ali berkata, sebuah lagi kawasan baru yang sebelum ini dikenal pasti sebagai pusat pelupusan sampah sementara bagi menggantikan pusat sedia ada akan boleh beroperasi penghujung Februari ini. Tambahnya, perkara itu telah disahkan sendiri oleh Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (PPSPPA) Datuk Zaini Md. Nor. "Dengan adanya pusat pelupusan sampah sementara seluas kira-kira 24.2 hektar itu, ia akan mampu bertahan antara dua atau tiga tahun lagi," tambahnya. Difahamkan, pusat pelupusan itu melibatkan kos pengambilan tanah penduduk bernilai RM12 juta. |
You are subscribed to email updates from Utusan Online - Selatan To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan