Utusan Online - Rencana |
Taktik tuduh penyiasat SPRM ‘jahat’ Posted: Taktik tuduh penyiasat SPRM 'jahat'Oleh NORLIZA ABD. RAHMAN TREND menuduh pegawai penyiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menggunakan taktik kekerasan semasa proses soal siasat di kalangan saksi dan tertuduh dilihat semakin berleluasa. Tohmahan yang cuba dibangkitkan oleh segelintir saksi dan tertuduh terbabit seolah-olah sengaja mahu menarik simpati masyarakat agar kes rasuah mereka dilupakan dan perhatian dialihkan kepada anggota SPRM yang 'jahat'. Perbuatan tidak bermoral itu sudah tentunya mahu masyarakat lupa terhadap kesalahan dan penglibatan mereka dalam kesalahan rasuah, ironinya dakwaan itu hanya muncul selepas mereka dituduh di mahkamah. Taktik ini sebenarnya bertujuan mendapatkan simpati hakim kerana mereka percaya dengan berbuat demikian boleh membantu membebaskan diri daripada pertuduhan. Hakikatnya, perbuatan tersebut sebenarnya didorong oleh tekanan dan ketakutan kerana si saksi bimbang dituduh sebagai pembelot oleh pihak yang cuba dilindungi. Mereka juga sengaja mengada-adakan cerita yang tidak benar dengan harapan dapat membantu tertuduh terlepas daripada pertuduhan rasuah yang dihadapi. Perkara ini diakui sendiri oleh seorang pegawai penyiasat kanan SPRM, Shukri Seman yang sering mengendalikan proses soal siasat membabitkan saksi atau pesalah dalam kes rasuah di seluruh negara sejak lebih 20 tahun lalu. ''Sebenarnya, proses soal siasat saksi atau lebih dikenali sebagai proses temu duga saksi tidak dilakukan dengan menggunakan kekerasan sama sekali. Sebaliknya, pegawai penyiasat akan menggunakan kaedah dan pendekatan yang sesuai bagi setiap saksi. ''Konsep temu duga saksi yang diguna pakai oleh setiap agensi penguat kuasa di negara ini adalah mengikut kaedah yang diguna pakai di British dan negara-negara bekas jajahannya termasuk Malaysia. ''Kaedah ini kemudiannya disesuaikan dengan keadaan masyarakat dan situasi jenayah di negara ini di mana bagi proses temu duga saksi ia lebih kepada usaha mewujudkan kesedaran kepada saksi secara emosi tanpa sebarang sentuhan fizikal," katanya. Prinsip kekuatan untuk digempur dan kelemahan untuk diekploitasi digunakan dalam proses temu duga saksi atau soal siasat ke atas yang didakwa, tegas beliau. Pendekatan itu berbeza mengikut individu, situasi di mana pengendali atau pegawai penyiasat terlebih dahulu perlu membuat rujukan mengenai latar belakang dan perkara-perkara yang perlu mengenai saksi. Justeru apabila berhadapan dengan saksi satu penilaian awal akan dibuat untuk melihat kaedah bersesuaian yang boleh digunakan bagi memujuk saksi bekerjasama dan memberi maklumat. Masalah hanya akan timbul apabila ada saksi yang enggan bekerjasama dan cuba menyembunyikan fakta bagi melindungi individu yang melakukan penyelewengan. ''Bagi saksi yang berkemungkinan terlibat atau mempunyai kepentingan dalam sesuatu kes rasuah kebiasaannya akan cuba menafikan pembabitannya selain memperkecilkan peranannya dan cuba meletakkan kesalahan tersebut pada orang lain. ''Proses menimbulkan kesedaran yang diguna pakai dalam proses soal siasat pada masa kini tidak lagi menggunakan kekerasan sebaliknya menggunakan pendekatan psikologi bagi bermain dengan emosi pesalah atau saksi. ''Faktor tekanan emosi akan dirasai saksi apabila wujud rasa bersalah dalam diri mereka kerana terbabit secara langsung atau sebaliknya dalam penyelewengan atau kesalahan rasuah," jelasnya. Seman berkata, situasi itu sering dialami oleh mereka yang mempunyai status dan berpendidikan tinggi yang cenderung untuk mengalami tekanan emosi apabila diletakkan sama taraf dengan pegawai ketika proses temu duga. Malah ada antara saksi yang beranggapan bahawa wujud perolehan maklumat secara paksaan bila dipanggil untuk menjalani temu duga oleh pihak berkuasa. ''Bertitik tolak dari situlah wujudnya persepsi 'aku bakal didera' oleh pegawai penyiasat di mana ia sebenarnya tidak berlaku," katanya. Kaedah soal siasat atau dikenali sebagai proses temu duga yang dijalankan untuk saksi bagi kes membabitkan jenayah kolar putih yang diguna pakai di negara ini sudah berubah kerana pada ketika ini lebih kepada pendekatan psikologi. Presiden Association Of Certified Fraud Examiners (CFE), Datuk Akhbar Satar, berkata, pada ketika ini agensi penguatkuasaan di Malaysia lebih terarah untuk menggunakan pendekatan psikologi dan fisiologi bagi proses temu duga saksi. Katanya, kaedah ini banyak diguna pakai oleh negara maju seperti Amerika Syarikat, Singapura dan United Kingdom yang terarah kepada seni soal jawab secara terancang bagi mendapatkan maklumat yang maksimum. ''Pendekatan soal siasat saksi menggunakan fizikal memang pernah digunakan suatu ketika dahulu, tetapi perlu diingat ia bukan secara total tetapi hanya dalam kes-kes tertentu terutamanya bagi pesalah hardcore atau penjenayah tegar. ''Di sini kita melihat kaedah psikologi lebih berjaya seperti yang turut digunakan ke atas bekas-bekas ahli Parti Komunis Malaya (PKM) suatu ketika dahulu. Kaedah ini digunakan bagi memujuk mereka meletakkan senjata. ''Dalam kes jenayah kolar putih dan rasuah pula, pendekatan temu duga menggunakan kaedah psikologi lebih berkesan memandangkan ia biasanya membabitkan golongan yang berpendidikan," katanya. Akhbar berkata, dalam situasi masyarakat negara ini yang mempunyai tahap pendidikan baik, kaedah temu duga saksi perlu dipertingkatkan terutama bagi kes-kes jenayah membabitkan golongan yang berpendidikan tinggi dan berstatus. Katanya, mereka yang terbabit dalam jenayah kolar putih adalah subjek yang cerdik dan biasanya mempunyai personaliti yang bagus dan pintar. ''Oleh itu pendekatan yang sesuai ialah menggunakan kaedah temu duga yang mengganggu sensitiviti dan emosi mereka, contohnya, mengaitkan kesan yang bakal diterima oleh keluarga atau orang yang mereka sayangi. ''Bagi saksi yang terlibat dengan kes profil tinggi pula, satu unit khas terdiri dari pegawai penyiasat berpengalaman dan mempunyai kepakaran perlu diadakan bagi proses soal siasat atau temu duga saksi ini," katanya. Menurut Akhbar, saksi yang menipu semasa sesi soal siasat juga boleh dikesan melalui kaedah fisiologi dan gaya badan ketika proses temu duga. Katanya orang yang menipu atau memberi maklumat yang tidak betul ini dapat juga dikesan melalui pergerakan matanya ketika disoal dan biasanya bibir mereka akan menjadi kering. ''Ini boleh disokong dengan penggunaan poligraph, kebiasaannya 98 peratus hasil poligraph adalah tepat dan dua peratus disebabkan kelemahan penemu duga. ''Walaupun hasil poligraph belum tentu diterima sebagai bahan bukti tapi ia amat berguna bagi proses temu duga ini supaya dapat memberi panduan kepada pegawai penyiasat dalam menjalankan siasatan yang sempurna," katanya. |
Lim Kit Siang juga mudah lupa? Posted: Lim Kit Siang juga mudah lupa?Kontroversi pelantikan Datuk Mohammed Khusrin Munawi sebagai Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor yang baharu, mengingatkan saya kepada istilah "lupa," terutama seperti yang digunakan dalam ungkapan "Melayu mudah lupa." Ungkapan tersebut mungkin bertujuan "memperli" atau mempersendakan orang Melayu. Atau mungkin juga bertujuan mengingatkan bangsa Melayu agar senantiasa berhubaya-hubaya, berwaspada dan berjaga-jaga sesuai dengan satu nasihat yang terkandung dalam perbendaharaan sastera lama: "jika duduk meraut ranjau (mempertajam senjata), bila tegak meninjau jarah (melihat-lihat kiranya ada musuh yang hendak merempuh atau sedang mengendap). Jika tidak salah, ungkapan "Melayu mudah lupa" mula popular setelah digunakan oleh Tun Dr. Mahathir Mohamad satu ucapan (atau puisinya?) beberapa tahun yang lalu. Sejak itu ungkapan tersebut dikutip (dirujuk) dari semasa ke semasa untuk tujuan-tujuan tertentu. Sehubungan itu saya ingin memperkenalkan satu ungkapan lain yang juga menggunakan perkataan "lupa" iaitu: "Lim Kit Siang juga mudah lupa." Ini ada kaitannya dengan beberapa komen (atau 'arahan'?) Kit Siang mengenai pelantikan Datuk Mohammed Khusrin sebagai SUK Negeri Selangor yang baharu. Bila Kit Siang dilaporkan sebagai menyeru (mengarahkan?) supaya Ketua Setiausaha Negara (KSN) menggantung jawatan baharu Mohammed Khusrin itu, Kit Siang seakan-akan "sudah lupa" bahawa dia belum lagi menjadi Timbalan Perdana Menteri seperti yang dijanjikan oleh kuncu politiknya Anwar Ibrahim. Oleh kerana itu bila dia memandai-mandai "memberi arahan" kepada KSN, Tan Sri Sidek Hassan, orang bertanya: "Siapa Lim Kit Siang?" Sebelum itu Kit Siang juga dilaporkan sebagai mengingatkan supaya pelantikan Datuk Khusrin itu mengambil kira constitutional conventions (amalan-amalan perlembagaan yang tidak tertulis). Dengan komen yang sedemikan sekali gus dia menyindir (dan menimbulkan keraguan) seakan-akan pelantikan tersebut bercanggah dengan Perlembagaan. Dan bila merujuk kepada constitutional conventions dia seakan-akan "terlupa" konsep administrative conventions (amalan-amalan pentadbiran yang tidak tertulis). Sesungguhnya apa yang dilakukan oleh KSN adalah selaras dengan peraturan-peraturan Perlembagaan dan amalan-amalan lazim pentadbiran. Tidak ada undang-undang yang dilanggar dan tidak ada peraturan yang tidak dipatuhi. Ertinya, dari segi keabsahan Perlembagaan atau legaliti dan dari segi peraturan pentadbiran, pelantikan Mohammed Khusrin tidak boleh dipertikaikan. Apatah lagi semuanya itu telah mendapat perkenan daripada baginda Sultan. Dan satu perkara lagi yang jangan sampai "dilupakan" oleh pihak-pihak yang membantah pelantikan Mohammed Khusrin itu ialah institusi kesultanan masih merupakan satu lembaga atau tenaga (force) tersendiri yang penting dalam tatacara (proses) urus-tadbir (governance) negara ini. Sebarang usaha "membelakangi" atau "melangkahi" baginda Sultan samalah ertinya dengan menggugah asas-asas kestabilan sosial yang dengan sendirinya akan menular terhadap kestabilan politik. Atau adakah hakikat itu telah dilupakan? Atau memang sengaja diabaikan dalam satu "perjudian" atau "percubaan menguji kekuatan." Mereka yang mengikuti taktik dan telatah politik DAP pimpinan Kit Siang itu tentu menyedari betapa parti yang dirujuk oleh Dr. Ridhuan Tee sebagai "ultra kiasu" itu sering melakukan beberapa "perjudian politik" sambil "menguji kekuatan" seperti tindakan kerajaan Pulau Pinang di bawah pimpinan Lim Guan Eng yang melakukan berbagai provokasi terhadap masyarakat Melayu/Islam di pulau itu. Dan sekarang Kerajaan Negeri Selangor di bawah pimpinan seorang Menteri Besar dari PKR cuba pula dihasut untuk "menguji kekuatan" dan melakukan "perjudian politik." Adakah mereka "lupa" bahawa, tidak seperti Pulau Pinang, Selangor Darul Ehsan masih mempunyai seorang sultan yang berdaulat. Sama ada andaian (kemusykilan) kita tentang kecenderungan "Kit Siang yang sudah mudah lupa" itu, benar atau salah, kita berharap supaya pimpinan PKR dan Pas yang "tidur sebantal" DAP itu, jangan sampai "lupa" satu perkara. Pas dan PKR janganlah sampai "lupa" bahawa kekuatan DAP hampir 100 peratus bergantung kepada sokongan masyarakat Cina. Oleh kerana itu untuk mengekalkan kekuatannya, DAP tidak boleh lari daripada memprojekkan dirinya (secara terbuka atau berselindung) sebagai "juara masyarakat Cina." Kerana itulah maka DAP berbelah bagi bila pimpinan PKR (Menteri Besar Tan Sri Khalid Ibrahim) berura-ura hendak meminda Perlembagaan Negeri Selangor untuk mengembalikan kuasa Sultan seperti sebelum pindaan 1983 dan 1993. Hubaya-hubayalah. Senator Datuk Dr. Firdaus Abdullah ialah Pakar Rujuk di Akademi Pengajian Melayu, Universiti Malaya |
You are subscribed to email updates from Utusan Online - Rencana To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan