Khamis, 6 Januari 2011

Utusan Online - Mahkamah

Utusan Online - Mahkamah


Khir Toyo dibicara mulai Jun

Posted:

Khir Toyo dibicara mulai Jun

Khir Toyo dibicara mulai Jun

Oleh NOOR AZMAH IBRAHIM
pengarang@utusan.com.my


KHIR Toyo di Mahkamah Tinggi Shah Alam, semalam.


SHAH ALAM 6 Jan. - Kes Datuk Seri Dr. Mohamad Khir Toyo yang didakwa memperoleh dua lot tanah dan sebuah rumah bernilai RM6.5 juta hanya dengan harga RM3.5 juta daripada sebuah syarikat akan dibicarakan di Mahkamah Tinggi di sini selama tiga minggu mulai 6 Jun ini.

Hakim Datuk Wira Mohtarudin Baki turut memerintahkan pengarah syarikat Ditamas Sdn. Bhd. (Ditamas), Datuk Shamsuddin Hayroni yang didakwa bersubahat melakukan perbuatan tersebut dibicarakan bersama bekas Menteri Besar Selangor itu.

Beliau mengarahkan demikian selepas membenarkan permohonan Ketua Unit Pelucuthakan Harta, Jabatan Peguam Negara, Dzulkifli Ahmad agar kedua-dua kes itu dibicara bersama selepas dipindahkan dari Mahkamah Sesyen di sini.

Pada prosiding hari ini, pertuduhan sekali lagi dibacakan terhadap Mohamad Khir dan Shamsudin bagi membolehkan pengakuan tidak bersalah direkodkan daripada kedua-dua tertuduh.

Mahkamah turut melanjutkan jumlah ikat jamin masing-masing iaitu sebanyak RM750,000 yang ditetapkan oleh Mahkamah Sesyen sebelum ini.

Pada 6 Disember tahun lalu, Mohamad Khir, 45, dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini atas tuduhan mendapatkan untuk dirinya dan isteri, Datin Seri Zahrah Kechik, 45, suatu barangan berharga iaitu dua lot tanah dan sebuah rumah daripada Ditamas melalui Shamsuddin, 52.

Hartanah tersebut yang terletak di No. 8 & 10, Jalan Suasa 7/1L, Seksyen 7 di sini diperoleh dengan harga RM3.5 juta sedangkan ia dibeli oleh Ditamas pada 23 Disember 2004 dengan harga RM6.5 juta.

Perbuatan itu didakwa dilakukan dalam keadaan Mohamad Khir mengetahui bahawa Shamsuddin mempunyai hubungan dengan tugas rasminya sebagai Menteri Besar Selangor pada ketika itu.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Panjang itu didakwa melakukan kesalahan itu di kediaman rasmi Menteri Besar Selangor di Jalan Permata 7/1, Seksyen 7 di sini pada 29 Mei 2007.

Dakwaan terhadapnya mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Shamsuddin pula didakwa bersubahat melakukan kesalahan itu dengan Mohamad Khir pada tarikh dan tempat sama mengikut Seksyen 109 dan dibaca bersama Seksyen 165 Kanun Keseksaan.

Pendakwaan turut dibantu Timbalan-Timbalan Pendakwa Raya, Manoj Kurup dan C. Vignes Kumar.

Sementara Mohamad Khir diwakili peguam-peguam M. Athimulan, Datuk Jahaberdeen Mohamed Yunoos dan Adzly Ab. Manas manakala Shamsudin diwakili Datuk K. Kumaraendran dan Datuk C. Vijayakumar.

Full Feed Generated by GetFullRSS.com, sponsored by USA Best Price.

Bekas eksekutif bank dituduh palsukan dokumen pindah RM5.2j

Posted:

Bekas eksekutif bank dituduh palsukan dokumen pindah RM5.2j

Bekas eksekutif bank dituduh palsukan dokumen pindah RM5.2j

SHAH ALAM 6 Jan. - Seorang bekas eksekutif akaun sebuah bank dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas lapan tuduhan menggunakan dokumen palsu bagi urusan transaksi pemindahan wang berjumlah RM5.2 juta melalui Internet, dua tahun lalu.

Yusma Norul Yusob, 30, yang dilihat menangis sepanjang prosiding mengaku tidak bersalah bagi setiap pertuduhan selepas kesemuanya dibaca di hadapan Hakim Wan Mohd. Norisham Wan Yaakob.

Wanita itu didakwa menggunakan lima borang permohonan kiriman wang dan tiga keping cek palsu bernilai RM58,500 di CIMB Bank Berhad cawangan Menara MRCB, Seksyen 14 di sini antara 1 dan 24 April 2009.

Dia didakwa mengikut Seksyen 471 Kanun Keseksaan dan boleh dihukum di bawah Seksyen 467 akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya, S. Lavainyamalar memohon mahkamah menetapkan ikat jamin RM1 juta dengan alasan perbuatan tertuduh adalah serius, selain ia melibatkan transaksi wang berjumlah RM5.2 juta.

Katanya, tertuduh juga telah mempergunakan jawatannya semasa berkhidmat di bank tersebut untuk melakukan kesalahan-kesalahan itu.

Peguam Saleh Ahmad bagaimanapun memohon jumlah tersebut dikurangkan dengan alasan anak guamnya langsung tidak memperoleh wang yang dipindahkan melalui Internet itu, sebaliknya ia diperoleh oleh pihak ketiga.

Jelas beliau, tertuduh yang telah kehilangan pekerjaan serta datang dari keluarga yang tidak mempunyai pekerjaan tetap juga tidak berkemampuan mengemukakan jaminan yang tinggi selain mempunyai masalah kesihatan.

Wan Mohd. Norisham menerima hujahan bahawa jaminan adalah untuk memastikan kehadiran dan bukan untuk menghukum dengan membenarkan wanita itu diikat jamin RM100,000 dengan seorang penjamin.

Beliau turut memerintahkan tertuduh melapor diri di balai polis terdekat pada setiap bulan serta menyerahkan pasport antarabangsa kepada mahkamah.

Kes itu akan sebut semula pada 19 Januari ini.

Full Feed Generated by GetFullRSS.com, sponsored by USA Best Price.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan