Utusan Online - Muka Hadapan |
Posted: 'Tahan Shuhaimi di bawah ISA'Oleh ABDUL YAZID ALIAS
SHAH ALAM 2 Jan. - UMNO Selangor mahu Kementerian Dalam Negeri (KDN) mengambil tindakan tegas terhadap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seri Muda, Shuhaimi Shafiei ekoran kenyataan yang didakwa menghasut rakyat menentang institusi beraja di negeri ini. Ketua Penerangannya, Abdul Shukor Idrus berkata, tindakan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) harus dikenakan terhadap wakil rakyat Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu kerana kenyataannya yang dibimbangi boleh menggugat sistem pentadbiran dan keselamatan negara. Katanya, negara ini mengamalkan sistem Raja Berperlembagaan dengan kedudukan sultan atau raja diiktiraf sebagai ketua bagi sesebuah negeri. Justeru beliau menegaskan, sebarang kenyataan atau tindakan oleh mana-mana individu yang mempertikaikan kedudukan serta bidang kuasa institusi itu merupakan satu pengkhianatan terhadap prinsip-prinsip Perlembagaan apatah lagi mengajak rakyat menentang asas perundangan negara. "Kita memandang serius perkara tersebut atas dasar menjaga kedudukan Perlembagaan serta keselamatan negara ini. Tindakan Shuhaimi seolah-olah mahu mewujudkan fahaman anarki dalam masyarakat khususnya di Selangor. "Ini amat membimbangkan dan kita mahu KDN mengambil tindakan tegas terhadapnya termasuklah ISA sekiranya perlu," katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini. Pada 31 Disember lalu, Shuhaimi menerusi laman blognya, http://srimuda.blogspot.com didakwa terang-terangan menentang keputusan Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah yang memperkenankan pelantikan Mohammed Khusrin Munawi sebagai Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK). Menurut Shuhaimi, pelantikan jawatan SUK tidak memerlukan perkenan Sultan Selangor sebaliknya ia adalah di bawah bidang kuasa Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) dan baginda seharusnya bertindak berdasarkan nasihat majlis berkenaan, bukannya berkecuali. Malah, Shuhaimi menerusi kenyataan di dalam laman blog berkenaan seolah-olah turut memberikan amaran kepada institusi beraja Selangor supaya tidak berterusan bertindak membelakangkan MMKN atau terpaksa berdepan dengan gelombang kebangkitan rakyat bagi menentang pihak istana. Tidak cukup dengan itu, wakil rakyat PKR itu turut menyatakan kononnya rakyat akan menolak sebarang tindakan "Beraja di mata, bersultan di hati" oleh mana-mana pihak yang bertindak sewenang-wenangnya, tidak kira sama ada oleh "raja yang berjiwa rakyat atau rakyat yang berjiwa raja". | ||
Dakwa penderhaka sultan di bawah Seksyen 121 Kanun Keseksaan Posted: Dakwa penderhaka sultan di bawah Seksyen 121 Kanun KeseksaanKUALA LUMPUR 2 Jan. – Ahli Parlimen Kulim- Bandar Baharu, Zulkifli Noordin hari ini mencadangkan beberapa tindakan tegas diambil ke atas pihak yang menghina serta menderhaka kepada Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah berhubung pelantikan Datuk Muhammed Khusrin Munawi. Beliau yang juga seorang peguam berkata, semua pihak yang mengugut dan menentang perkenan Sultan Sharafuddin dalam isu tersebut perlu didakwa di bawah Seksyen 121 Kanun Keseksaan kerana 'Perbuatan memerangi Raja-Raja Melayu' yang jika sabit kesalahan, hukumannya gantung sampai mati. Selain itu katanya, pertuduhan alternatif juga boleh dibuat di bawah Seksyen 121 (1B) kerana 'merancang, mengada-ada, mereka-reka atau berusaha akan pemecatan atau perlucutan raja pemerintah sebuah negeri' yang jika sabit kesalahan, hukumannya pula adalah penjara seumur hidup. "Ini bukan perbuatan yang boleh dibiarkan, apatah lagi bertolak ansur, kerana amat biadab lagi kurang ajar bagi mana-mana rakyat di negeri Selangor melakukan perbuatan derhaka seperti itu. Jangan biarkan mereka ini terus memaki-hamun dan mempertikai kedudukan sultan kerana kelak ia menjadi barah. "Bagi maksud ini, teman (saya) mencadangkan kepada mana-mana rakyat Selangor supaya membuat laporan polis menurut Seksyen 121 atau Seksyen 121 (1B) supaya tindakan segera boleh diambil. Kita tidak mahu sejarah membaringkan diri di bawah kereta sultan berulang lagi," katanya. Beliau berkata demikian di dalam blognya, http://zul4kulim.blogspot.com, bagi menggesa pihak berkuasa bertindak tegas terhadap beberapa pemimpin pembangkang yang berterusan mempertikai, menentang serta mengugut Sultan Selangor dalam isu pelantikan Mohammed Khusrin. Antara paling biadab ialah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sri Muda, Shuhaimi Shafiei yang mendakwa, ketegasan Sultan Sharafuddin untuk tidak berganjak daripada keputusannya merestui pelantikan Mohammed Khusrin, biarpun mendapat pelbagai kecaman daripada pembangkang, sebagai ego. Malah, tidak cukup dengan kebiadaban itu, wakil rakyat daripada Parti Keadilan Rakyat (PKR) tersebut juga menyifatkan pelantikan SUK baru berkenaan sebagai bukti tindakan pilih kasih yang diamalkan oleh institusi beraja Selangor terhadap pakatan pembangkang dan Barisan Nasional (BN). Mengulas lanjut, Zulkifli berkata, jika pemimpin pembangkang masih hendak mempolitikkan isu tersebut serta sengaja mahu menimbulkan ketegangan, beliau mencadangkan darurat diisytiharkan di negeri Selangor dan dilantik sebuah Majlis Gerakan Negeri untuk mentadbir negeri buat sementara. |
You are subscribed to email updates from Utusan Online - Muka Hadapan To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan