Utusan Online - Mahkamah |
Bekas Pengurus Besar Kanan Sime Darby didakwa rasuah Posted: Bekas Pengurus Besar Kanan Sime Darby didakwa rasuahJOHOR BAHRU 3 Jan. - Seorang bekas Pengurus Besar Kanan Sime Darby Engineering Sdn. Bhd. mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas dua tuduhan menerima rasuah berjumlah RM55,300 kerana membantu meluluskan dan mempercepatkan satu kontrak bernilai RM23.9 juta. Mohd. Zaki Othman, 48, merupakan individu ketiga dari Sime Darby Bhd. (Sime Darby) yang didakwa di mahkamah sejak pendedahan mengenai kerugian RM2.1 bilion yang ditanggung oleh firma perladangan konglomerat itu pada Mei tahun lalu. Bagi tuduhan pertama, Mohd. Zaki didakwa menerima rasuah bernilai RM33,600 bagi bayaran set perabot iaitu masing-masing satu set sofa import R087, set meja makan model Dossier, set meja makan Eve, seunit kerusi Cleopatra model 301 dan seunit meja bulat marmar daripada Europe Asia Furniture Expo Sdn. Bhd. Kesemua barangan itu didakwa diterima daripada pengarah urusan sebuah syarikat penyediaan perkhidmatan, Abdul Salam Ahmad di alamat No. 4, Jalan Austin Perdana 2/11, Taman Austin Perdana di sini kira-kira pukul 10 pagi, 14 Disember 2007. Suapan tersebut didakwa sebagai dorongan untuk membantu Abdul Salam mendapat Surat Hasrat bertarikh 11 Januari 2008 bagi projek 'EPCIC For MOQ Package 16, BE Process and BG Utility Platforms' bernilai RM23,901,959 kepada Duplex Energy Sdn. Bhd. (Duplex Energy). Mohd. Zaki didakwa mengikut Seksyen 11(a) Akta Pencegahan Rasuah 1997 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 16 akta yang sama. Bagi pertuduhan kedua, dia didakwa menerima suapan berupa sebuah jam tangan jenama Rolex bernilai RM21,700 daripada Abdul Salam di tempat yang sama kira-kira pukul 9 malam, 10 Mac 2009. Suapan itu didakwa untuk isteri Mohd. Zaki, Harison Hamzah sebagai upah kononnya membantu melulus dan mempercepatkan tuntutan bayaran kemajuan kontrak projek yang sama di Sime Darby Engineering Sdn. Bhd., Pasir Gudang dan sub-kontrak projek Kumang dan Tangga Barat Cluster Development (fasa 1) oleh Duplex Energy. Bagi pertuduhan tersebut, dia didakwa mengikut Seksyen 17(a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24 akta yang sama. Kedua-dua seksyen bagi setiap kesalahan itu membawa hukuman penjara tidak melebihi 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana yang lebih tinggi jika sabit kesalahan. Kedua-dua pertuduhan itu dibacakan oleh jurubahasa kepada Mohd. Zaki di hadapan Pendaftar Mahkamah Sesyen, Hidayah Abdul Manap. Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya dari Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Abdul Ghafar Abdul Latif yang mengendalikan pendakwaan mencadangkan jaminan RM20,000 bagi kedua-dua tuduhan dengan seorang penjamin terhadap tertuduh. Peguam S. Vijaya yang mewakili tertuduh pula memohon mahkamah mengurangkan jumlah tersebut kepada RM10,000 berikutan tertuduh telah diberhentikan kerja pada 20 Disember lalu. Dalam keadaan sedemikian juga, menurut beliau, anak guamnya perlu menanggung empat anak yang masih belajar dan isterinya pula tidak bekerja. Hidayah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM15,000 bagi kedua-dua pertuduhan dan menetapkan sebutan kes pada 25 Februari ini. Pada 21 Disember tahun lalu, bekas Pengurus Kanan Kebolehan Marin Sime Darby Engineering Sdn. Bhd., Mazhazmi Jamaludin, 36, mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur atas tuduhan menerima rasuah RM200,000 berkaitan cadangan mendapatkan kontrak bernilai AS$134.2 juta (RM467.9 juta) pada 2008. Pada 6 Ogos tahun yang sama, Pengurus Besar Sime Darby Holdings Bhd., Zamri Mohd. Iderus, 39, mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Shah Alam atas dua tuduhan menerima rasuah RM99,000 serta menggunakan maklumat harga bidaan tanpa kebenaran syarikat pada 2008. |
Lelaki tikam, simbah asid dipenjara, sebat Posted: Lelaki tikam, simbah asid dipenjara, sebatJOHOR BAHRU 3 Jan. - Seorang lelaki dihukum penjara 17 tahun dan sebatan lima kali oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini kerana cuba membunuh dan menyebabkan kecederaan parah dengan menyimbah asid terhadap Nurain Ashikin Jemadi (gambar), 18, pada pertengahan Disember lalu. Hakim Salawati Djambari menjatuhkan hukuman itu selepas Habin Sulaiman, 42, mengaku bersalah atas kedua-dua pertuduhan yang dihadapinya. Nurain Ashikin kini masih menerima rawatan di Hospital Sultan Ismail (HSI) setelah mengalami cedera parah akibat ditikam bertubi-tubi dengan pisau sebanyak 19 kali dan disimbah asid oleh lelaki terbabit. Pada prosiding hari ini, Habin mengaku cuba membunuh Nurain Ashikin dengan menggunakan sebilah pisau untuk menikam dan menggunakan bahan yang berbahaya kepada tubuh badan iaitu asid cuka getah sehingga menyebabkan kecederaan parah serta boleh membawa maut. Dia didakwa melakukan kesalahan tersebut di No. 41, Jalan Cemara 2, Kampung Baru, Sungai Redan, Kota Tinggi, dekat sini kira-kira pukul 9.15 pagi, 16 Disember lalu. Dakwaan terhadapnya mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun. Bagi tuduhan kedua, Habin didakwa telah menyebabkan cedera parah ke atas Nurain Ashikin dengan menggunakan sebilah pisau untuk menikam dan asid cuka getah yang berbahaya kepada tubuh badan pada masa, tarikh dan tempat yang sama. Tuduhan tersebut dikemukakan mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda atau sebatan. Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Natassa Zaini manakala tertuduh tidak diwakili peguam bela. Salawati menjatuhkan hukuman penjara 17 tahun dari tarikh tangkap bagi tuduhan cuba membunuh manakala bagi tuduhan menyebabkan cedera parah, Habin dihukum penjara 17 tahun serta sebatan lima kali. |
You are subscribed to email updates from Utusan Online - Mahkamah To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan