Isnin, 3 Januari 2011

Utusan Online - Rencana

Utusan Online - Rencana


Cabaran 2011 untuk Najib

Posted:

Cabaran 2011 untuk Najib

Cabaran 2011 untuk Najib

Ramai meramalkan 2011 merupakan 'tahun pilihan raya umum' dengan pentadbiran Datuk Seri Najib Tun Abdul Razak memasuki fasa kedua selepas mengambil alih tadbir-urus negara pada April 2009.

Sejak Najib memimpin, pelbagai dasar dan agenda dilancar, diumum dan disampaikan. Pelan Transformasi Kerajaan (PTK), Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA), Pelan Transformasi Ekonomi (PTE), Model Baru Ekonomi (MBE), Rancangan Malaysia Ke-10 (RMK-10) dan 1Malaysia merupakan 'Doktrin Najib'.

Pelaksanaan dan pemantauan ke atas gagasan ini akan menjadi tumpuan sepanjang 2011. Pencapaian dan keputusannya memberi gambaran bilakah pilihan raya umum diadakan. Barangkali tahun 2012. Selepas keberkesanan dan pencapaian diteliti serta data dikemas kini.

Pertemuan Najib dengan wakil rakyat Barisan Nasional (BN) minggu ini mencari kepastian sama ada 222 kawasan Parlimen boleh dilabel putih (kubu kuat BN), kelabu (masih boleh menang walau samar-samar) ataupun hitam (kubu kuat pembangkang). Tanpa 75 peratus kawasan putih, sukar untuk Perdana Menteri mengumumkan tarikh pilihan raya dalam masa terdekat.

Justeru, yang penting buat masa ini adalah bagaimana transformasi dilakukan melalui sistem penyampaian yang cekap, efektif dari segi kos dan lancar.

Jika sektor awam, swasta, pembuat dasar, pelaksana dasar dan rakyat sebagai kumpulan sasar bergandingan dan memahami tugas masing-masing, kesemua agenda boleh menjadi kemuncak kejayaan kepimpinan Najib.

Gagasan 1Malaysia yang menjadi dasar pemuafakatan, perpaduan dan integrasi nasional akan tercapai jika wujud usaha memperkasa rakyat.

Dilemanya adalah bagaimana untuk mendekati kumpulan sasar yang berbeza terutama di kawasan luar bandar agar mereka dapat menggarap nilai sebenar agenda kepimpinan Najib.

Adakah mereka memahami PTK, NKRA, PTE mahupun MBE? Apa isu sebenar pengundi baik di bandar mahupun luar bandar? Adakah sasaran yang ditetapkan oleh pengundi dari pemimpin difahami dan telah dibuat penilaian sepenuhnya?

Hasil tinjauan Merdeka Centre wajar dijadikan rujukan. Hanya 27 peratus dari responden Cina menyatakan kerajaan berada di landasan yang betul. Kira-kira 25 peratus menyatakan ekonomi negara boleh meningkat. Sekitar 19 peratus responden etnik ini menganggap bahawa PTE membolehkan negara mencapai status negara maju berbanding 61 peratus responden Melayu dan 55 peratus responden India.

Walau banyak usaha dilakukan Najib, mengapa masyarakat Cina masih tidak berganjak? Sokongan pengundi Cina di Bagan Pinang dan Galas kembali kepada BN tetapi secara menyeluruh masih di tahap tidak berpihak kepada BN.

Kesedaran mengenai PTE dalam kalangan kesemua kumpulan etnik juga membimbangkan.

Mungkinkah komunikasi kerajaan tidak sampai kepada kumpulan tertentu sehingga dianggap kompleks atau pendekatan perlu diubah?

Koordinasi antara pihak berwajib dan kumpulan sasar perlu melahirkan keserasian dua hala jika mahukan hasil positif.

Oleh itu, wajar bagi kerajaan memikirkan bagaimana untuk merealisasikan sasarannya melalui majlis daerah, jawatankuasa keselamatan dan kemajuan kampung (JKKK) atau pimpinan akar umbi.

Apa yang dekat di hati pengundi di setiap kawasan adalah isu tempatan seperti infrastruktur, kemudahan asas, peluang perniagaan dan pekerjaan, kemiskinan, pengangkutan, kesihatan dan pendidikan.

Isu lain termasuklah sejauh mana rutin harian mereka tergugat dengan pergolakan politik, ekonomi dan sosial negara seperti kenaikan harga barang, rasuah, jenayah, diskriminasi dan kesaksamaan.

Pengundi bandar barangkali mahu melihat ketelusan, kebebasan, good governance dan sistem perkhidmatan yang baik. Mereka akan membandingkan pencapaian negeri-negeri di bawah pentadbiran pembangkang seperti Kedah, Selangor, Pulau Pinang dan Kelantan.

Memperkasakan masyarakat setempat dengan membina NKRA dan pelan tindakan sesuai dengan sesebuah kawasan akan meningkatkan pemahaman rakyat ke atas dasar negara.

Usaha mengukuhkan kedudukan pimpinan akar umbi yang sebelum ini begitu aktif menangani masalah masyarakat perlu dibangunkan semula. Mereka dikenali sebagai gurkha parti yang bekerja siang dan malam untuk memastikan nilai tersebut diterjemah dalam bentuk undi.

Ini perlu disalurkan oleh Najib kepada semua 222 wakil rakyat dan penyelaras kawasan dalam pertemuan beliau dengan mereka.

Para pemimpin ini perlu jujur kepada Pengerusi BN tanpa membodek ataupun menyatakan perkara yang hanya sedap didengar dan menyorok situasi sebenar di kawasan masing-masing. Ini merupakan kesempatan untuk melakukan sumbang-saran demi membina semula kedudukan di kawasan masing-masing.

Jika penyelaras DUN dan kawasan Parlimen serta barisan kepimpinan menerajui perubahan dan keyakinan, kepercayaan umum akan kembali terbina. Pengundi hari ini bijak dan tidak lagi beremosi seperti pada Mac 2008.

Walaupun isu kebangsaan akan digunakan sebagai senjata berkempen, isu tempatan sudah menjadi dominan dan akan menjadi teras dalam pilihan raya umum akan datang. Ini termasuklah latar belakang calon dan keberkesanan jentera parti. Jentera parti di peringkat tempatan perlu diiktiraf dan diberi penghormatan untuk menunjukkan harapan pimpinan atasan kepada pimpinan bawahan.

Tahun 2011 juga akan melihat siapakah yang kreatif dalam memanipulasi persepsi umum. Ia merupakan satu kesinambungan dari tahun lalu yang masih tidak dapat diatasi oleh strategis Najib sepenuhnya.

Maka, perubahan kepimpinan yang berlaku dalam komponen parti BN perlu bersama memobilisasi sokongan di peringkat akar umbi agar yang diutamakan adalah rasa tanggungjawab ke atas keperluan dan kemahuan rakyat.

Pemikiran rakyat biasa perlu bijak dihalusi jika mahu mendapatkan semula sokongan padu. Begitu juga dengan perubahan kepimpinan negeri dalam parti UMNO yang sudah tiba masanya untuk memperkemaskan jentera parti.

Cabaran Najib selain menyusun strategi menjana hasil memberangsangkan dalam kesemua pelan transformasi adalah memastikan kerjasama dalam parti kekal stabil dan krisis kepimpinan pada tahap minimum.

Pemilihan dalam parti PKR dan DAP boleh dijadikan rujukan sepanjang 2011. Semuanya akan cuba bermain dengan provokasi dan sentimen simpati dalam usaha meraih sokongan.

Mekanisme belakang tabir perlu diaktifkan supaya media bukan dijadikan tempat meluahkan rasa tidak puas hati tetapi bermusyawarah dalam mencari titik penyelesaian.

Pilihan Raya Kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Tenang akan menjadi kayu ukur sama ada BN bergerak sebagai 'satu pasukan' dan bukan 'pelbagai pasukan' di bawah bumbung yang sama.

Jika jentera parti bersepadu, tidak perlu bimbang dengan lawan. Walau yakin menang di Tenang, bilangan majoriti menjadi taruhan sebenar.

BN kini dikatakan sedang mengembalikan sokongan sementara pembangkang bergelut dengan masalah dalaman untuk mengekalkan momentum.

Barangkali, ada yang sudah nampak Datuk Seri Anwar Ibrahim menjadi liabiliti dalam pembangkang. Lebih lama beliau menjadi ketua untuk mengikat Pas, DAP dan PKR maka lebih sukar untuk kembali pulihkan sokongan.

Trend politik 2011 dilihat masih akan bertumpu kepada 'manipulasi' sekali gus menyebabkan industri politik melahirkan lebih banyak isu dan komentar serta calon politikus.

Misalnya, isu Ladang Bukit Jalil, Kuala Lumpur yang kerja merobohnya ditangguhkan sehingga 15 Januari 2011 boleh menjadi satu lagi isu seperti Kampung Buah Pala, Pulau Pinang jika Kerajaan Pusat gagal menanganinya dengan bijak.

Jika di Pulau Pinang barisan pembangkang bertanggungjawab ke atas kemelut tersebut sehingga menimbulkan perasaan curiga pengundi India, isu Ladang Bukit Jalil boleh menyebabkan BN kehilangan sokongan yang sedang kembali perlahan-lahan. Barisan pembangkang pasti manipulasi isu berkenaan seolah-olah Kerajaan Pusat menindas kebajikan penduduk di situ.

Tahun 2011 kritikal bagi pembangkang kerana tradisi meraih simpati dan bersifat populis akan diteruskan tanpa sebarang agenda pembaharuan yang dijanjikan dalam manifesto 2008. Pembangkang sedang berhadapan dengan krisis keyakinan dan kepercayaan pengundi. Jika gagal diatasi serta-merta, mereka boleh dilabel tidak efektif.

Dalam Pilihan Raya Umum (PRU 13) mereka tidak lagi boleh menyalahkan pengundi hantu atau memilih untuk melihat kelemahan lawan semata-mata. Kekuatan pembangkang sendiri akan menjadi asas ukuran PRU 13.

BN juga perlu mencari kekuatan. Cabaran besar Najib adalah untuk memobilisasi sokongan bertunjangkan kekuatan BN supaya mandat pilihan raya dapat digunakan untuk meletakkan landasan perjalanan beliau dalam meneruskan transformasi tanahair.

Tahun 2011 barangkali boleh dinamakan sebagai 'tahun persediaan pilihan raya' dan pelaksanaan manifesto – Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan' dalam berhadapan dengan slogan 'Ubah Sekarang dan Selamatkan Malaysia' oleh barisan pembangkang.

PROFESOR MADYA DR. SIVAMURUGAN PANDIAN

Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan

Universiti Sains Malaysia

Full Feed Generated by GetFullRSS.com, sponsored by USA Best Price.

Pentingnya Pemimpin dan Kepimpinan

Posted:

Pentingnya Pemimpin dan Kepimpinan

Pentingnya Pemimpin dan Kepimpinan

Oleh TAN SRI ALIMUDDIN MOHD. DOM
tansrialimuddin@yahoo.com

KEPIMPINAN yang berkesan sangat diperlukan bukan sahaja kepada organisasi tetapi juga kepada negara. Negara akan lebih maju dan berkembang pesat jika kita mempunyai ramai pemimpin yang hebat, berkarisma dan berkhidmat dengan penuh dedikasi.

Syarikat perniagaan pula boleh membawa keuntungan yang besar dan menyebabkan mereka yang memiliki saham tersenyum lebar dengan adanya pemimpin yang berkesan.

Bagi organisasi bukan kerajaan, pemimpin yang cekap membolehkan visi dan misi tercapai dengan cepat. Kepimpinan keluarga yang berkesan membolehkan anak-anak dibesarkan dengan sihat, mendapat didikan yang baik dan menjadi warga negara yang berguna.

Sebaliknya, kepimpinan yang lemah akan memberi kesan yang tidak baik dan sering mengundang masalah. Organisasi akan bergerak perlahan, lesu dan membawa kerugian kepada semua pihak.

Kajian menunjukkan kepimpinan yang lemah kerap membuat keputusan yang silap, tidak mantap dan tidak tepat. Akibatnya organisasi akan menghadapi masalah pelaksanaan, menyukarkan orang bawahan, membuang masa, kerugian dari segi kewangan dan matlamat organisasi tidak tercapai.

Pemimpin yang berkesan biasanya berkait rapat dengan sejauh mana penerimaan orang bawahan terhadap kepimpinannya. Kemampuan beliau membawa perubahan dan menghadapi halangan serta rintangan sering dinilai. Kepimpinan begini biasanya tahan diuji dan sedia mengambil risiko terhadap sebarang keputusan yang telah diambil.

Pemimpin dan kepimpinan yang berkesan boleh mencorakkan kehidupan rakyat dan pembangunan negara. Setiap lima tahun kita akan memilih pemimpin melalui pilihan raya umum. Sudah tentulah pilihan kita ialah mereka yang dapat memberi perkhidmatan yang baik, telah terbukti dan berupaya membawa perubahan kepada masyarakat dan negara.

Dalam perniagaan pula, para pelabur akan mengalu-alukan pemimpin yang cekap dan mampu membawa keuntungan yang besar kepada pelaburan mereka. Dengan kata lain pemimpin yang bijak dan hebat boleh membawa keuntungan yang banyak kepada syarikat yang kecil tetapi pemimpin yang lemah boleh mendatangkan kerugian walaupun syarikat besar.

APAKAH MAKSUD KEPIMPINAN?

Kepimpinan adalah suatu proses di mana seorang pemimpin berusaha mempengaruhi pemikiran, sikap dan perlakuan orang bawahannya. Pemimpin berperanan menyediakan arah tuju, menjelaskan apa yang ada di hadapan, memberi kefahaman apakah yang ingin dicapai, sentiasa memberi galakan dan motivasi.

Kepemimpinan yang baik boleh mengukuhkan perpaduan, mengelakkan konflik dan bergerak ke matlamat yang sama. Mereka juga mampu memastikan setiap orang melakukan yang terbaik seolah-olah memberi suatu suntikan tenaga kepada mereka untuk mencapai matlamat organisasi.

Banyak pendapat mengatakan bahawa tanpa pengikut maka tiadalah pemimpin. Sebagai contoh dalam tahun 1930-an di mana Winston Churchill menyeru rakyat Britain supaya membuat persediaan bagi menghadapi dan menyekat ancaman Hitler daripada Jerman.

Tetapi mereka tidak mengendahkannya kerana percaya peperangan tidak akan sampai ke negara mereka dan keamanan akan tercapai pada bila-bila masa.

Kepimpinan Churchill ditolak oleh rakyat dan beliau mempunyai jumlah pengikut yang kecil bilangannya. Tetapi realitinya adalah berlainan apabila Jerman mula mengumpulkan bala tenteranya dan memulakan peperangan dengan menyerang beberapa negara di Eropah termasuk England.

Ramalan Churchill menjadi kenyataan dan dengan menggunakan kebolehan dan karisma akhirnya beliau mendapat sokongan padu rakyat negaranya dan menjadi antara Perdana Menteri yang paling popular.

Pada masa kini pemimpin yang tulen dan berkebolehan kadang-kadang sukar untuk dibezakan dengan pemimpin yang berpura-pura. Ada pemimpin yang sanggup menunjukkan aksi hebat tetapi sebenarnya mereka adalah pemimpin yang lemah.

Lebih memburukkan keadaan ada antaranya pula mempunyai kepentingan diri dan kumpulan. Pemimpin sebegini sangat bahaya kerana ia boleh merosakkan organisasi dan masyarakat.

Kepimpinan yang bersikap tidak jujur dan tidak bertanggung jawab boleh dihindari sekiranya mereka mempunyai etika dan integriti yang kuat. Etika dan integriti bolehlah dianggap seperti sebuah kompas yang berupaya menunjukkan ke arah yang betul dan tepat. Mereka yang mempunyai etika dan integriti atau kekuatan dalaman boleh menjadikan mereka lebih jujur dan lebih bertanggungjawab.

Kesimpulannya sebagai negara sedang membangun kita memerlukan ramai pemimpin yang bijak dan berkesan. Mereka perlu mempunyai visi dan misi yang jelas, mudah didampingi dan sanggup mengambil risiko. Pemimpin yang jujur dan bertanggung jawab biasanya akan dihormati dan disanjung.

PENULIS ialah bekas Ketua Pengarah Pelajaran

Full Feed Generated by GetFullRSS.com, sponsored by USA Best Price.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan