Utusan Online - Kota |
Posted: Tidak banyak bas masukOleh NUR NAZLINA NADZARI
KUALA LUMPUR 6 Jan. - Terminal Bersepadu Selatan-Bandar Tasik Selatan (TBS-BTS) yang memulakan operasi Sabtu lalu masih kelihatan lengang dan premis perniagaan juga masih lagi ada yang belum beroperasi. Tinjauan Utusan Malaysia ke terminal itu mendapati, lima kaunter tiket sahaja dibuka dan hanya beberapa penumpang kelihatan datang untuk membeli tiket di situ. Seorang penumpang, Ng Kim See, 30, berkata, dia terasa agak tertipu dan kecewa kerana mendapati masih tidak banyak syarikat bas yang berpindah ke terminal tersebut dan menyebabkan dia susah mendapatkan bas. "Saya ingin pulang ke Pontian (Johor), tapi apabila saya bertanya pada kaunter tadi hanya terdapat satu syarikat bas sahaja yang mempunyai perjalanan ke sana dan ia pada pukul 3 petang. Maknanya saya harus tunggu lama kerana sekarang baru pukul 11.45 pagi. "Sebelum ini saya baca di surat khabar banyak syarikat bas yang sudah masuk tapi bila mahu beli hanya satu bas sahaja yang ada perjalanan ke sana. Saya pun tak tahu sama ada mahu tunggu di sini atau pergi ke Terminal Bas Bukit Jalil," katanya. Sementara itu, seorang pekerja kedai perhiasan wanita, Rotiya Ly, 23, berkata, kedai itu baru tiga hari beroperasi dan pelanggan mereka kebanyakannya daripada staf terminal itu sendiri. "Terminal ini masih baru lagi, jadi tidak hairan kalau tidak ramai orang di sini. Paling banyak jualan yang dapat sehingga kini hanya RM170 sehari. "Namun saya yakin apabila semua syarikat bas dan premis-premis dibuka nanti, makin ramai pelanggan yang akan datang," ujarnya. Dalam pada itu, seorang pengunjung, Noramaria Zulkapli, 28, berkata, pihak pengurusan perlu memberi lebih banyak pendedahan mengenai terminal tersebut kepada orang awam kerana pendedahan yang kurang antara penyebab suasana lengang di situ. "Tempat ini memang amat cantik dan canggih seperti berada terminal lapangan terbang. Ia juga lengkap dengan kemudahan pengangkutan awan yang dekat. "Suasana yang lengang ini mungkin kerana belum semua kedai dibuka lagi, malah bas pun tak banyak lagi," katanya. Sementara itu Pengurus Komunikasi Korporat Maju Holdings Sdn. Bhd., Badrul Izhan Yeop Abdullah ketika dihubungi pula berkata, TBS-BTS lengang kerana masih ada lagi syarikat bas yang belum berpindah ke situ. "LPKP telah memberi tempoh kepada syarikat-syarikat bas ini sehingga 15 Januari untuk berpindah. Saya yakin apabila semua syarikat bas berpindah operasi di TBS-BTS akan lebih giat. "Bagi premis-premis perniagaan pula, mereka akan masuk dari masa ke semasa. Ada juga pemilik masih membuat pengubahsuaian kedai dan kami jangkakan semua premis akan penuh pada bulan Februari nanti," jelasnya. | ||
Penduduk nafi 'usik' meter elektrik Posted: Penduduk nafi 'usik' meter elektrikKUALA LUMPUR 6 Jan. - Penduduk Pangsapuri Idaman Sutera di Medan Idaman, Setapak, di sini berasa kecewa dan membantah tindakan Tenaga Nasional Berhad (TNB) menuntut ganti rugi kepada mereka atas kerosakan jangka (meter) di perumahan itu. Menurut mereka, TNB mendakwa meter berkenaan rosak kerana telah 'diusik' oleh penduduk. Dakwaan TNB itu disifatkan oleh penduduk tidak berasas sama sekali memandangkan sepanjang menetap di pangsapuri tersebut penduduk tidak pernah mengusik jangka meter itu. Oleh itu, penduduk berkata dakwaan yang dilemparkan oleh TNB terhadap penduduk, di samping menuntut ganti rugi, seperti menganiayai penduduk yang tidak bersalah. Pengerusi MCA Wangsa Maju, Datuk Yew Teong Look berkata, setakat ini sebanyak 16 penduduk telah membuat aduan kepadanya bahawa mereka mendapat notis daripada TNB agar membayar ganti rugi tersebut. Katanya, jika mereka yang terlibat tidak membayar, TNB akan mengambil tindakan memotong bekalan elektrik di kediaman mereka dalam tempoh 14 hari. Ujarnya, TNB tidak membuat siasatan teliti terlebih dahulu tetapi terus menyalahkan penduduk adalah sangat tidak wajar. "Mengikut aduan yang diterima daripada 16 penduduk ini, mereka dikehendaki membayar ganti rugi di antara RM2,000 sehingga RM15,000. "Saya juga yakin, lebih ramai penduduk yang menghadapi masalah yang sama mendapat amaran dari TNB ini," katanya kepada wartawan selepas menerima kunjungan kumpulan penduduk yang terlibat dalam isu itu di pejabatnya di sini baru-baru ini. Tambahnya, ini merupakan kejadian pertama yang berlaku melibatkan kes seperti ini dan beliau tidak menolak kemungkinan mungkin ada kesilapan dan salah faham. Katanya, justeru pihak TNB harus menyiasat secara terperinci sebelum mengeluarkan amaran tersebut kepada penduduk. Ujarnya, beliau akan memastikan isu ini diselesaikan dan turut mengharapkan pihak pengurusan pangsapuri berkenaan turut mengambil tindakan bagi memberi keadilan kepada penduduk. "Saya akan menelefon TNB meminta penjelasan dan mendesak mereka supaya jangan memotong bekalan elektrik sehingga siasatan selesai dijalankan terlebih dahulu," katanya. Sementara itu seorang penduduk, Low Kok Leng, 35, berkata, dia tidak pernah melihat meter itu kerana ia di dalam peti berkunci serta dijaga pihak pengurusan serta mustahil untuk penduduk merosakkannya. Katanya, tuduhan dan notis oleh TNB itu merupakan penindasan terhadap penduduk di sini. Ujarnya, penduduk telah menerima surat pada 3 Disember lalu meminta mereka membayar ganti rugi tersebut dan jika ingkar TNB akan memotong bekalan dalam tempoh dua minggu. "Sebagai penduduk kami merasa hairan dengan tindakan ini dan berharap pihak TNB menarik balik amaran yang dikeluarkan itu kerana kami benar-benar tidak pernah mengusik meter tersebut," katanya. Mengikut notis yang dikeluarkan oleh TNB kepada salah seorang penduduk, yang salinannya diperoleh media, pemeriksaan oleh pegawai TNB di premis penghuni berkenaan pada 23 Oktober tahun lalu mendapati meter atau jangka tenaga (KWH) yang merekodkan penggunaan elektrik di premis penduduk berkenaan telah diusik. Menurut notis itu, akibatnya meter berkenaan tidak merekodkan dengan tepat penggunaan elektrik yang sebenar. Sementara itu, sumber dari TNB ketika dihubungi Utusan Malaysia berkata, mereka telah pun menerima aduan daripada penduduk mengenai perkara ini dan ia telah dibawa ke peringkat atasan untuk diteliti. |
You are subscribed to email updates from Utusan Online - Kota To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan