Utusan Online - Kota |
Posted: Kampung Baru 111 tahunKampung Baru yang dirakamkan pada tahun 1990-an (gambar kiri) dan sekarang (gambar kanan) menunjukkan masih tidak banyak perubahan berlaku seperti keadaan di kawasan sekitarnya. KUALA LUMPUR 5 Jan. – Ramai yang tidak menyedari bahawa Kampung Baru yang merupakan penempatan utama masyarakat Melayu di tengah-tengah ibu kota akan berusia 111 tahun pada 12 Januari ini. Bagi meraikannya pelbagai program yang julung-julung kali diadakan bakal dianjurkan oleh Centrepro Sdn. Bhd. bersama Kementerian Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar serta Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) yang akan turut diraikan kira-kira 35,000 penduduknya. Pengarah Urusan Centrepro Sdn. Bhd., Ishak Abdul Kadir berkata, acara akan bermula esok dengan majlis tahlil dan kesyukuran di Masjid Jamek dan beberapa buah surau. Acara kemuncak sambutan ialah majlis makan malam yang dijangka dihadiri Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak pada bulan depan atau bulan berikutnya. "Sambutan buat julung kalinya dalam sejarah penubuhan Pentadbiran Petempatan Pertanian Melayu (MAS) ini bertujuan untuk menghargai dan mengenang kembali perjuangan mereka yang telah tiada mahupun yang masih ada di kampung bersejarah ini. "Di samping itu, ia bagi mengabadikan kenangan 111 tahun kewujudan pentadbiran MAS Kampung Baru di ibu kota Kuala Lumpur. "Angka 111 tahun merupakan angka unik dan MAS sebagai satu lembaga di bawah kaum Melayu dilihat sebagai pentadbir yang teguh mempertahankan sebuah kampung untuk orang Melayu. "Tanggungjawab sebagai orang Melayu yang mementingkan sentimen Melayu menjadi pendorong untuk mengadakan sambutan memperingati perjuangan bangsa sendiri dalam mempertahankan sebuah kampung yang pernah ditadbir penjajah suatu masa dahulu," kata Ishak.
Beliau yang juga Penyelaras Acara Kampung Baru Warisan Kita memberitahu antara program sambutan ialah Hari Kesihatan pada Sabtu ini bermula 8 pagi hingga 6 petang dengan pelbagai program disediakan seperti senaman, derma darah, pemeriksaan kesihatan percuma dan peraduan untuk kanak-kanak yang akan berlangsung di Kelab Sultan Sulaiman. Selain itu, penduduk dari peringkat kanak-kanak hingga dewasa juga berpeluang menyertai Hari Sukan dan Permainan Tradisional pada Ahad ini dilokasi yang sama. Forum Perdana bertajuk 'Bermula di sini – Kampung Baru' akan diadakan pada Selasa depan juga di Kelab Sultan Sulaiman, Karnival Kampung Baru (12 Januari), Hari Hijau (15 Januari), Hari Kesenian dan Warisan (16 Januari) serta Karnival Futsal selama dua hari bermula 22 Januari. Menteri Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar, Datuk Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin dijadual menghadiri Karnival Kampung Baru pada 12 Januari dan seterusnya melancarkan Pameran MAS Kampung Baru (Tiga Alam) yang merujuk kepada MAS yang mentadbir Kampung Baru di bawah pentadbiran British dan pendudukan Jepun sebelum negara mencapai kemerdekaan. – BERNAMA | ||
Posted: Kerajaan negeri pandang remehOleh TERMIZI CHE ANUAR
SUNGAI BULOH 5 Jan. – Kerajaan Parti Keadilan Rakyat (PKR) Selangor diminta segera membantu Sekolah Agama Menengah Paya Jaras di Sungai Buloh dekat sini yang serba kekurangan dan mungkin akan roboh akibat dimakan anai-anai tidak berapa lama lagi. Tinjauan Utusan Malaysia hari ini mendapati, 432 pelajar di sekolah itu terpaksa berhimpit di dalam kelas dan bengkel Kemahiran Hidup juga terpaksa ditukar menjadi kelas untuk menampung bilangan pelajar yang semakin meningkat. Naib Yang Dipertua Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) sekolah tersebut, Zainal Abidin Abd. Rani berkata, masalah tersebut telah dibawa ke pengetahuan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) sebelum ini. Katanya, berikutan itu, kerajaan negeri telah meluluskan sebidang tanah untuk pembinaan bangunan sekolah yang baru namun ia terhenti setakat itu apabila tiada tindakan susulan diambil. "Exco Hal Ehwal Islam, Adat-Adat Melayu, Infrastruktur dan Kemudahan Awam Selangor, Datuk Dr. Hasan Mohamed Ali juga pernah datang untuk melihat keadaan sekolah ini namun jawapan yang diterima amat menyedihkan, tiada peruntukan. "Kami mahu kerajaan negeri yang kononnya mahu memartabatkan agama Islam bertanggungjawab dengan berusaha membina bangunan baru walaupun satu bangunan sebagai permulaan," katanya ketika ditemui hari ini. Katanya, Kementerian Pelajaran telah pun bersetuju untuk membantu sekolah ini tetapi sekolah agama terletak di bawah bidang kuasa kerajaan negeri dan keadaan tersebut membantutkan bantuan tersebut. "JAIS perlu memulakan pembinaan sekolah itu dengan segera walaupun hanya dengan satu bangunan kerana setelah itu barulah kementerian boleh membantu menambah bangunan dan segala kemudahan lain. "Justeru, kami berharap kerajaan negeri, khususnya JAIS, dapat menyediakan tempat yang lebih selesa dan selamat kepada pelajar sekolah ini dengan seberapa segera kerana ia melibatkan banyak nyawa," ujarnya. Sementara itu, seorang bapa pelajar sekolah itu, Sallehuddin Abdul Rahman, 39, berkata, dia bimbang dengan keadaan keselamatan pelajar kerana banyak struktur bangunan telah dimusnahkan oleh anai-anai. "Pihak JAIS perlu melihat isu ini dengan waras kerana ramai pelajar yang berminat untuk belajar aliran agama di sini namun setelah melihat keadaan sekolah, ia telah membunuh minat mereka. "Jangan tunggu sehingga ada pelajar yang terbunuh baru hendak diselesaikan masalah ini kerana pada masa itu nasi mungkin telah menjadi bubur," katanya. |
You are subscribed to email updates from Utusan Online - Kota To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan