Utusan Online - Dalam Negeri |
- TPM lawat Berklee College of Music
- Wisma Putra pantau WikiLeaks
- Tak adil hukum Sakti Delima - Sheila
TPM lawat Berklee College of Music Posted: TPM lawat Berklee College of Music
BOSTON 11 Jan. - Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini meninjau Berklee College of Music - sekolah muzik terulung di dunia bagi menjalin hubungan yang lebih rapat dalam bidang pendidikan muzik antara Malaysia dan Amerika Syarikat (AS). Dalam lawatan kira-kira sejam itu, Timbalan Perdana Menteri diberi taklimat oleh Naib Presiden Hal Ehwal Pelajar kolej berkenaan Lawrence E. Bethune khususnya mengenai sejarah kejayaan institusi pengajian tinggi terkenal di dunia itu dalam melahirkan siswazah dalam bidang muzik sejak 50 tahun yang lalu. Menurut Muhyiddin, Berklee College of Music menjadi pilihan ramai pelajar Malaysia yang ingin melanjutkan pendidikan dalam bidang muzik kerana pusat pengajian tinggi itu mempunyai tenaga pengajar terbaik dengan latar belakang muzik yang hebat. Katanya, pada masa ini International College of Music (ICOM) di Malaysia sudah mengadakan kerjasama dengan universiti ini menerusi program pindahan kredit bagi pengajian di peringkat ijazah. "Universiti ini yang menawarkan pengajian muzik profesional merupakan antara universiti terbaik di dunia. "Saya berharap lawatan ini berupaya menjalin hubungan yang baik antara kedua-dua negara terutama bidang pendidikan termasuk pengajian muzik," katanya kepada wartawan Malaysia di sini hari ini. Timbalan Perdana Menteri yang tiba di sini semalam adalah dalam rangka lawatan kerja enam hari ke Boston dan Washington, AS. Pada masa ini, Berklee College of Music dan ICOM mengadakan kerjasama dalam pengajian muzik menerusi Program Pindahan Kredit Berklee. Menerusi program itu, para pelajar dibenarkan membuat pindahan jam kredit secara automatik sehingga 60 jam bagi program di peringkat ijazah pertama dengan pilihan sehingga 12 pengkhususan. Para penuntut boleh mengikuti program ini secara dua tahun di ICOM dan dua tahun lagi di Berklee College of Music . Pada masa ini, ICOM merupakan satu-satunya kolej di Asia dan Australia yang disenaraikan di dalam Rangkaian Antarabangsa Berklee (BIN), satu persatuan kolej muzik Yang dianggotai oleh AS, Greek, Sepanyol, Jepun, Korea, Jerman dan Perancis. Menerusi BIN para penuntut ICOM layak memperoleh nilai biasiswa sehingga 50 peratus bagi pembiayaan yuran pengajian di Berklee College of Music. - Utusan | ||
Posted: Wisma Putra pantau WikiLeaksKOTA KINABALU 11 Jan. - Kerajaan memantau secara dekat setiap dakwaan yang dibuat WikiLeaks berhubung 'keburukan' negara ini bagi mengelakkan persepsi negatif itu terus berakar dan berlegar di kalangan negara lain. Menteri Luar, Datuk Seri Anifah Aman berkata, pemantauan itu amat perlu bagi mengelak berlaku kejutan sekali gus mengeruhkan hubungan dua hala antara negara ini dengan negara lain. Katanya, pemantauan itu bermaksud apabila berurusan dengan negara luar atau semasa melawat negara mereka, pihaknya akan membuat persediaan mencukupi bagi menjawab segala tohmahan yang dilemparkan oleh WikiLeaks itu. Beliau berkata demikian kepada pemberita sebelum mempengerusikan mesyuarat UMNO Bahagian Kimanis di sini malam tadi. | ||
Tak adil hukum Sakti Delima - Sheila Posted: Tak adil hukum Sakti Delima - SheilaOleh SHAZRYN MOHD. FAIZAL KUALA LUMPUR 11 Jan. - Aktres dan penerbit drama terkenal, Sheila Rusly, 39, menafikan drama bersiri terbaru terbitannya, Sakti Delima mengandungi unsur syirik dan tahyul sehingga boleh memesongkan akidah. Kata Sheila, setiap kali menerbitkan karya menerusi syarikatnya, JS Pictures, dia dan suaminya yang juga seorang pengarah, Azman Yahya atau Jinggo cukup mementingkan soal mesej. Malah katanya, dia juga amat menitik beratkan unsur Islamik dalam drama-dramanya kerana mahu mendidik masyarakat. "Jadi apabila saya diberitahu Sakti Delima diberhentikan siarannya atas alasan ia mampu mengelirukan penonton, saya melihatnya sebagai sesuatu yang tidak adil. "Kalau diperhatikan, sebelum ini bukannya tidak ada drama tempatan yang menerapkan unsur atau elemen yang boleh menimbulkan keraguan mahupun kekeliruan. "Jika hendak mengatakan tentang soal tahyul dan kekeliruan, saya rasa drama Indonesia lebih sarat dengan unsur-unsur itu tetapi mengapa tiada yang mempertikaikan? "Saya agak kecewa apabila terjadinya perkara seperti ini seolah-olah karya anak tempatan dianaktirikan. Ia menyekat kreativiti anak tempatan dalam berkarya dan memberikan produk terbaik kepada masyarakat," luahnya dengan nada kesal ketika dihubungi Utusan Malaysia hari ini. Bermula semalam, Lembaga Penapisan Filem Malaysia (LPF) telah mengarahkan drama Sakti Delima yang ditayangkan menerusi slot Legenda di TV3 itu diberhentikan sementara waktu. Ia berikutan dakwaan LPF yang melihat Sakti Delima memiliki unsur syirik dan tahyul yang sangat ketara sehingga dikatakan mampu menimbulkan kekeliruan kepada penonton. Tambah Sheila, apa yang membuatkannya sedikit ralat apabila arahan itu dikeluarkan hanya selepas empat episod drama itu ditayangkan sejak 3 Januari lalu. Sedangkan, katanya, sudah menjadi satu prosedur wajib bagi semua penerbit drama menayangkan produk masing-masing kepada LPF terlebih dahulu sebelum ia diluluskan untuk tayangan umum. "Jangan cepat menghukum dan membuat kesimpulan jika tidak menilainya secara keseluruhan serta mendalam. "Sakti Delima dihasilkan mengikut konsep slot Legenda itu sendiri yang menampilkan kisah-kisah rakyat dan mitos terkenal. "Sebelum ini, saya sudah menghasilkan tiga drama untuk slot itu iaitu Musang Berjanggut, Cucu Betong dan Anak Betong tetapi semuanya diluluskan tanpa sebarang masalah," katanya lagi. Mengenai nasib drama itu pula, Sheila menjelaskan masih terlalu awal untuk mengulas tentangnya. "Terbaru, saya diberitahu sekarang ini LPF mahu menilai semula Sakti Delima daripada episod pertama hingga episod ke-20. Seandainya, semua berjalan lancar dan mendapat kelulusan penuh daripada mereka, ia akan ditayangkan semula bermula Mac nanti. "Saya hanya berdoa agar semuanya berjalan lancar agar peminat akan dapat menontonnya semula," ujarnya penuh mengharap. Sementara itu, TV3 dalam satu kenyataan yang dikeluarkan hari ini berkata, mereka akur dengan arahan LPF itu dengan menarik balik tayangan drama bersiri itu untuk seketika. "Kami akan menyerahkan semua 20 episod pita rakaman Sakti Delima untuk proses pemantauan dan penilaian pihak LPF. "Semuanya adalah untuk mereka menilai bagi memastikan jalan cerita dan elemen yang dipaparkan tidak mengandungi sebarang unsur syirik dan tahyul sehingga mampu memesongkan akidah Islam," menurut kenyataan itu lagi. Sakti Delima merupakan kisah yang diadaptasi daripada filem arahan Seniman Agung, Allahyarham Tan Sri P. Ramlee berjudul Pancha Delima pada tahun 1957. Drama arahan Jinggo itu dibarisi pelakon-pelakon popular seperti Bienda, Safura, Aida Khalida, Catriona Ross, Liza Hanim, Iqram Dinzly dan Sheila sendiri. |
You are subscribed to email updates from Utusan Online - Dalam Negeri To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan